Pengguna

Mengenal Pasti Penipuan Kewangan Berkaitan Pinjaman Peribadi

Tidak dinafikan pinjaman peribadi adalah satu kemudahan kewangan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Sehingga hari ini, ramai rakyat Malaysia mempunyai pinjaman peribadi dan mendapat manfaat daripadanya.

Jika digunakan untuk kebaikan, pinjaman peribadi banyak memberi manfaat kepada setiap individu. Contohnya, untuk membaiki rumah, membantu ibu bapa, menguruskan hutang, dan juga sebagai modal untuk perniagaan.

Namun, anda perlu berhati-hati terhadap pinjaman peribadi yang ditawarkan; terutamanya jika pinjaman tersebut tidak ditawarkan oleh bank. Bank Negara Malaysia (BNM) juga sering memberi nasihat dan peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pinjaman peribadi daripada pihak yang tidak dikenali.

Kami ingin kongsikan dengan anda beberapa cara untuk mengenal pasti penipuan kewangan berkaitan pinjaman peribadi.

1. Tawaran melalui media sosial

Pernahkah anda melihat iklan di media sosial, seperti Facebook, Instagram, WeChat atau Twitter, berkenaan tawaran pinjaman peribadi yang boleh diluluskan walaupun nama anda sudah disenarai hitam? Jangan terkejut kerana perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan untuk pemberi pinjaman peribadi melakukan penipuan.

Ini adalah perkara yang paling mudah untuk anda mengenal pasti pemberi pinjaman peribadi tersebut adalah betul atau sekadar satu penipuan. Sebenarnya, tawaran seperti ini adalah satu berita gembira kepada individu yang tidak layak mendapatkan pinjaman peribadi daripada pihak institusi kewangan.

2. Pinjam RM5,000, bayar RM5,000

Cara lain yang membolehkan anda mengetahui pemberi pinjaman tersebut menipu adalah melalui tawaran pinjaman tanpa faedah atau keuntungan di pihak pemberi pinjaman.

Contohnya adalah seperti tawaran, ‘Pinjam RM5,000, Bayar RM5,000’. Ini bermakna, pihak pemberi pinjaman menawarkan pinjaman tanpa kadar faedah atau keuntungan.

Seperti kita tahu, setiap syarikat pemberi pinjaman adalah satu perniagaan dan sudah pasti mahukan keuntungan daripada setiap pinjaman yang ditawarkan. Jadi, sangat mustahil untuk sesuatu syarikat memberi perkhidmatan mereka tanpa menjana keuntungan.

Selain itu, anda juga perlu berhati-hati jika ada syarikat pemberi pinjaman yang memberikan kadar faedah yang terlalu rendah sehingga kurang daripada kadar faedah semasa sebagaimana yang ditawarkan oleh pihak institusi kewangan.

3. Bayaran awal dan pendahuluan

Modus operandi yang biasa dilakukan oleh syarikat jenis ini adalah dengan memberitahu bahawa permohonan pinjaman tersebut sukar untuk diluluskan. Oleh itu, untuk meluluskan permohonan pinjaman tersebut, peminjam perlu memberi bayaran pendahuluan.

Selepas bayaran awal diterima, syarikat tersebut biasanya akan terus hilang dan tidak dapat dihubungi. Kes seperti ini biasanya berlaku apabila pemohon pinjaman peribadi terlalu mengharap dan terdesak untuk mendapatkan pinjaman peribadi tersebut.

Akhirnya, pinjaman peribadi tidak dapat, kerugian pula yang perlu ditanggung.

Selain bayaran awal, syarikat pemberi pinjaman yang ingin menipu anda biasanya akan meminta anda membayar kos pengurusan yang terlalu tinggi.

4. Akaun media sosial palsu

Bagi individu yang aktif dalam dunia media sosial, anda mungkin pernah dihubungi oleh individu yang menawarkan pinjaman peribadi. Kebiasaannya, mereka akan menggunakan gambar wanita cantik untuk mengumpan anda.

Perkara pertama anda boleh lihat ialah gambar pada akaun media sosial tersebut. Jika gambar yang digunakan adalah gambar seperti haiwan atau gambar orang lain, kemungkinan untuk berlaku penipuan adalah tinggi.

Mereka juga gemar untuk menghantar pesanan ringkas (SMS) atau melalui aplikasi WhatsApp dengan tawaran yang sangat menarik dan sukar untuk ditolak.

Selain itu, mereka juga lebih gemar untuk memproses segala urusan secara dalam talian sahaja dan tidak perlu berjumpa. Cara ini menjadikan mereka lebih mudah untuk melakukan penipuan kerana tidak perlu berjumpa dengan orang ramai.

5. Memaksa tandatangan

Bagi individu yang sudah diluluskan pinjaman peribadi, mereka perlu menandatangani surat perjanjian sebagai tanda persetujuan.

Jika anda sebagai peminjam tidak diberi peluang untuk membaca isi kandungan perjanjian dan dipaksa menandatangan perjanjian tersebut, itu menandakan anda mungkin akan ditipu melalui perjanjian yang berat sebelah.

Perkara yang sering berlaku adalah apabila peminjam tidak sedar tentang kadar faedah yang mereka ambil adalah terlalu tinggi. Akhirnya, pelanggan terpaksa membayar jumlah pinjaman tersebut sehingga melebihi 10 kali ganda daripada jumlah pinjaman.

Bagaimana Jika Anda Sudah Tertipu dan Apa Yang Perlu Dilakukan?

Jika anda merupakan mangsa skim penipuan pinjaman peribadi, anda boleh lakukan perkara-perkara berikut:

1. Buat laporan polis
Pertama sekali, sila buat laporan di balai polis. Tujuan laporan polis dilakukan adalah supaya pihak polis boleh membantu jika terdapat penipuan dan juga melindungi diri anda daripada sebarang ancaman.

Berdasarkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, penipuan tersebut akan disiasat dan si penipu boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda jika bersalah.

2. Dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan
Anda mungkin menghadapi masalah yang lebih teruk untuk mengurus kewangan anda selepas terjebak dalam penipuan pinjaman peribadi tersebut. Oleh itu, cara terbaik adalah untuk mendapatkan nasihat kewangan supaya pengurusan kewangan anda menjadi lebih baik.

3. Sebarkan nama penipu tersebut
Jangan berasa malu untuk kongsikan pengalaman anda ditipu oleh syarikat pinjaman peribadi. Perkongsian tersebut mungkin berjaya menyelamatkan ramai lagi individu daripada terjebak dalam penipuan yang sama dan mungkin mengalami kerugian yang lebih besar.

Akhir kata, jika anda ingin mendapatkan pinjaman peribadi, pastikan anda memohon daripada syarikat atau melalui saluran yang betul supaya tidak tertipu.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 104/December 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button