Pelan Perbelanjaan

Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup

Ramai yang mengeluh bahawa kos sara hidup mereka meningkat. Namun tidak ramai yang memikirkan bagaimana untuk mengurangkan kesan akibat kenaikan kos sara hidup tersebut.

Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh digunakan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup.

1. Berkongsi Kereta

Kerajaan sering mengadakan kempen menggalakkan rakyat berkongsi kereta untuk mengurangkan jumlah kenderaan dan menjimatkan masa di jalan raya, khususnya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Malah kini, terdapat aplikasi telefon pintar yang memudahkan anda untuk mencari pemandu dan juga penumpang yang ingin berkongsi kenderaan untuk menuju ke destinasi yang sama. Selain itu, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Grab melalui GrabHitch atau Uber dengan perkhidmatan perkongsian keretanya, UberPOOL.

Bagi yang ingin menghantar anak berulang-alik ke sekolah pula boleh menggunakan perkhidmatan Kidz Carpool.

2. Penggunaan Kad Kredit

Kad kredit dapat membantu anda menjimatkan perbelanjaan. Namun penggunaan kad kredit memerlukan tahap disiplin yang tinggi. Kad kredit mempunyai kebaikan dan keburukan, terpulang kepada cara anda menggunakannya. Anda boleh melayari pelbagai laman sesawang kewangan yang memudahkan anda untuk membandingkan kadar caj dan manfaat kad kredit tersebut.

Cuba cari kad kredit yang menawarkan rebat tunai atau cashback. Ada yang memberi 5% rebat tunai. Contohnya jika anda berbelanja RM100, anda akan mendapat rebat RM5 pada penghujung bulan.

Ada juga yang menawarkan mata ganjaran apabila berbelanja. Apabila sudah cukup banyak, mata ganjaran boleh ditebus untuk mendapatkan pelbagai jenis hadiah daripada pihak pengeluar kad.

Namun anda perlu memastikan bahawa anda membayar sepenuhnya apabila menerima penyata bulanan kad kredit anda. Jangan biarkan kredit anda tertunggak kerana anda akan dikenakan kadar faedah yang tinggi.

3. Bawa Bekal Ke Tempat Kerja

Di negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan atau Amerika Syarikat, istilah lunch atau makan tengah hari sangat asing bagi mereka. Sedangkan kita setiap hari berbelanja sehingga RM10 – RM15 waktu makan tengah hari untuk sepinggan nasi dan lauk serta segelas air.

Kita boleh menjimatkan belanja jika membawa bekal dari rumah. Cuba cari menu sarapan atau makan tengah hari yang ringkas, yang boleh siap dalam masa 10 minit sahaja.

Dengan memasak sendiri sebelum ke tempat kerja, anda boleh mendapat manfaat lain seperti:

  • sebagai senaman pagi sebelum ke tempat kerja
  • mengekalkan kesihatan
  • menjamin kebersihan
  • memberi kepuasan
  • meningkatkan kreativiti
  • mengawal kuantiti makanan untuk tujuan kesihatan

4. Beli Barang Semasa Jualan Murah atau Jualan Gudang

Anda boleh menjimatkan perbelanjaan apabila membeli semasa jualan murah atau jualan gudang dengan menikmati diskaun ketika pihak penjual membuat promosi jualan murah atau jualan penghabisan stok.

Sebagai contoh, pada musim perayaan seperti Hari Raya – ada pasar raya yang membuat promosi besar-besaran. Begitu juga jualan gudang yang diadakan pada setiap akhir tahun boleh membantu anda menjimatkan perbelanjaan menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Sekiranya anda dapat mengamalkan panduan di atas, sedikit-sebanyak ia dapat melegakan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 95/Mac 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button