Pengurusan Hutang

Menangani Beban Hutang Golongan Berpendapatan Rendah

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menganjurkan persidangan bertemakan ‘Ke arah Negara Maju: Meningkatkan Perlindungan dan Ketahanan Pengguna’ pada 13 Oktober 2015.

Persidangan ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menangani isu-isu kepenggunaan dalam mencapai konteks negara maju dan mengenal pasti langkah yang berkesan bagi memperkasa pengguna ke arah berpendapatan tinggi.  

Persidangan ini dihadiri oleh peserta daripada pelbagai latar belakang, seperti sektor kerajaan, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan media massa. Antara skop yang dibincangkan dalam persidangan ini adalah tentang peningkatan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana, status perlindungan pengguna, profil aduan pengguna, akta persaingan dan hutang isi rumah di Malaysia.

Salah seorang ahli panel, Dr Muhammed Abdul Khalid, Pengarah Penyelidikan, Khazanah Research Institute, mendedahkan fakta bahawa, walaupun rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mengeluh mengenai kenaikan kos sara hidup, namun jualan bagi kereta mewah, seperti Porsche dan Mercedes-Benz mencatatkan peningkatan. Dalam masa yang sama, jualan kereta Proton dan Perodua pula merekodkan penurunan. Beliau berpandangan, penambahbaikan perlu dilakukan pada kaedah percukaian bagi mengutip wang daripada golongan kaya, yang kemudiannya boleh digunakan untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana.

Ujar beliau lagi, majoriti golongan berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah berhutang bukan bertujuan untuk pelaburan, tetapi untuk menampung kos kehidupan seharian. Kebanyakan golongan ini berhutang bukan dengan pihak bank, sebaliknya melalui pemberi pinjaman lain yang mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi. Bagi membantu golongan ini, kerajaan perlu membuat peraturan dengan ‘mengharamkan’ promosi barangan kelengkapan rumah yang menawarkan kadar bayaran balik hutang lebih rendah setiap minggu.

Menurut beliau, iklan seperti ini bertujuan untuk menarik golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk berhutang. Kajian yang dilakukan oleh beliau, mendapati kadar faedah yang dikenakan cukup tinggi, iaitu melebihi 160 peratus daripada harga asal barangan. Hal ini tidak disedari oleh pelanggan.

Dr Muhammed Abdul Khalid menambah, budaya berhutang ini perlu ditangani dari awal lagi. Apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila seseorang graduan menamatkan pengajian, mereka sudah pun menanggung hutang berjumlah puluhan ribu ringgit. Beliau mencadangkan supaya Malaysia mencontohi negara Perancis yang mengenakan yuran kemasukan ke universiti yang berbeza mengikut pendapatan keluarga. Keluarga yang kaya perlu membayar lebih tinggi berbanding keluarga yang miskin. Langkah ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk berpendapatan rendah dan sederhana dengan golongan berpendapatan tinggi.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 69/Januari 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button