PenggunaPerancangan Kewangan

Menabung Untuk Membeli Rumah Idaman

Memiliki rumah sendiri merupakan impian bagi setiap individu. Lazimnya, ia adalah pelaburan yang paling mahal bagi seseorang itu sepanjang hidupnya. Namun, keputusan membeli sebuah rumah boleh menimbulkan pelbagai implikasi kewangan sebaik sahaja anda memberikan komitmen untuk membeli rumah tersebut. Bayaran balik pinjaman perumahan akan menjadi perbelanjaan yang paling besar pada setiap bulan untuk jangka masa yang panjang.

Oleh itu, anda perlu membuat perancangan yang teliti dengan menentukan jumlah wang yang boleh digunakan untuk membeli rumah idaman. Berikut adalah tiga soalan penting yang perlu dipertimbangkan sebelum melaburkan wang dalam rumah idaman anda:

1) Berapa banyak wang yang mampu anda keluarkan daripada simpanan untuk membiayai bayaran pendahuluan dan kos sampingan pembelian sebuah rumah?

Bayaran pendahuluan ialah wang yang perlu dibayar untuk memastikan anda dapat menjadi pemilik sesebuah rumah yang diidamkan. Lebih tinggi bayaran pendahuluan, maka semakin kecil amaun yang perlu dibayar setiap bulan kepada pihak bank untuk menyelesaikan pinjaman perumahan. Selain itu, kadar bunga yang dikenakan juga lebih rendah. Lazimnya, wang pendahuluan yang sepatutnya dibayar adalah di antara 5-20% harga jualan rumah tersebut. Selain itu, anda juga perlu menyediakan wang yang secukupnya untuk yuran guaman, duti setem, insurans dan kos pengubahsuaian rumah apabila kunci rumah diserahkan kelak.

Berdasarkan aset asas anda, tetapkan jumlah yang mampu dikeluarkan untuk membeli rumah anda. Disini, anda dinasihatkan menyimpan wang sekurang-kurangnya amaun yang sama dengan perbelanjaan bulanan anda, iaitu 4 hingga 6 bulan sebagai simpanan kecemasan. Pastikan anda tidak mengusik wang yang disimpan untuk persaraan anda kelak, lebih-lebih lagi jika anda kini di peringkat pertengahan umur.

2) Berapa banyak wang yang anda boleh keluarkan daripada pendapatan bulanan untuk meningkatkan kadar simpanan atau untuk membayar pinjaman perumahan anda?

Jika anda sudahpun mempertimbangkan soalan (1) dan mendapati wang yang ada dalam tangan tidak mencukupi, langkah seterusnya ialah untuk meningkatkan kadar simpanan anda. Anda boleh cuba untuk membuka satu akaun simpanan khas untuk pembelian rumah. Pastikan anda memperuntukkan peratusan yang tetap daripada gaji anda untuk disimpan dalam akaun tersebut setiap bulan. Kaji dengan terperinci perbelanjaan anda. Dalam masa yang sama, cuba kurangkan perbelanjaan untuk perkara yang tidak perlu seperti barangan mewah, hiburan dan percutian.

Anda juga perlu tahu jumlah yang mampu dibayar untuk pinjaman perumahan anda. Lazimnya, bayaran untuk pinjaman perumahan tidak seharusnya melebihi 30% daripada gaji kasar anda. Selain itu, pastikan wang anda mencukupi untuk membayar perbelanjaan lain seperti yuran penyelenggaraan, bil-bil air, elektrik dan sebagainya. Cara terbaik untuk mengawal perbelanjaan anda ialah dengan membuat bajet dan mendisiplinkan diri anda untuk mengikut bajet yang telah anda sediakan.

3) Berapa banyak wang yang boleh dikeluarkan daripada Akaun 2 KWSP untuk membiayai kos rumah anda?

Periksa akaun KWSP 2 anda untuk mengetahui amaun yang boleh dikeluarkan untuk pembayaran rumah anda. Ini penting kerana ia dapat meringankan beban pembiayaan rumah yang dibeli. Mengikut laman web KWSP, amaun yang layak dikeluarkan pencarum KWSP adalah seperti berikut:

  • Pembelian Individu:

Amaun perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun 2, mengikut mana yang lebih rendah tidak kurang RM500;

  • Pengeluaran Bersama Suami/Isteri, Ahli Keluarga, atau Individu Yang Lain:

Amaun perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada amaun maksimum yang layak dikeluarkan, mengikut mana yang lebih rendah tidak kurang RM500.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di http://www.kwsp.gov.my/ ataupun hubungi mana-mana pejabat KWSP terdekat.

Sesudah mengira semua sumber kewangan yang ada berdasarkan soalan-soalan di atas, anda kini sudah bersedia untuk memulakan pencarian rumah baru anda. Membeli sebuah rumah merupakan satu perkara yang sangat penting bagi kebanyakan orang. Oleh itu, pastikan anda mengambil masa yang secukupnya dalam mencari rumah yang anda idamkan, iaitu sebuah rumah yang menepati kehendak anda serta mampu dimiliki. Jangan terburu-buru dalam membuat pilihan, terutama sekali sewaktu ekonomi berada di paras yang tinggi dan menyebabkan pasaran hartanah melonjak naik. Jika anda membeli rumah pada waktu tersebut, besar kemungkinan anda akan kecewa sekiranya harga rumah yang dibeli turun pada paras yang lebih rendah.

Dalam masa yang sama, anda juga sudah boleh mulai meninjau pakej pinjaman perumahan yang terbaik. Terdapat pelbagai pakej pinjaman ditawarkan oleh pihak bank. Pastikan anda meneliti semua syarat dan terma-terma pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan. Membuat pilihan yang tepat, dengan mengambil kira kadar faedah yang dikenakan dan sebagainya, boleh menjimatkan sejumlah wang yang besar untuk anda. Membeli rumah idaman bukan sahaja menimbulkan rasa puas hati dalam diri, malah ia boleh membawa keuntungan dalam jangka masa panjang sekiranya anda membuat pilihan yang tepat dan merancang pembelian daripada mula lagi.

© Securities Industry Development Corporation. Untuk maklumat lanjut tentang pengurusan kewangan dan pelaburan bijak, layari laman web Pelabur Malaysia (www.min.com.my)

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 20/Disember 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button