PenggunaPengurusan Kewangan

Memperkukuh Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab

Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan satu set langkah yang bertujuan untuk mengelak hutang isi rumah yang berlebihan dan memperkukuh amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab oleh pemberi kredit utama.

Langkah-langkah ini ialah:

  • Tempoh pinjaman maksimum selama 10 tahun untuk pembiayaan bagi kegunaan peribadi.
  • Tempoh pinjaman maksimum selama 35 tahun untuk pembiayaan bagi pembelian harta kediaman dan bukan kediaman.
  • Larangan menawarkan produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.

Meskipun disokong oleh pendapatan dan keadaan guna tenaga yang positif, namun sejak akhir-akhir ini, terdapat peningkatan trend dalam penawaran produk kewangan yang tidak mengambil kira kepentingan pengguna dalam jangka panjang. Ini termasuk tempoh pembiayaan yang dilanjutkan hingga 45 tahun bagi pembiayaan rumah dan 25 tahun bagi pembiayaan peribadi. Walaupun tempoh pembiayaan yang lama ini mengurangkan pembayaran balik bulanan, namun dalam jangka panjang, pembiayaan ini meningkatkan beban hutang isi rumah secara keseluruhan. Amalan seperti ini menggalakkan pengumpulan hutang yang berlebihan oleh isi rumah dan meningkatkan kelemahan sektor ini.

Langkah Bank Negara Malaysia tersebut merupakan langkah awal pencegahan bagi mengelak berlaku kemungkinan krisis hutang seperti mana berlaku di Amerika Syarikat. Keadaan ini dapat mengelakkan berlaku kemelesatan ekonomi negara yang lebih kritikal untuk tempoh kurang daripada tiga tahun yang akan datang. Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah berbanding Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat purata 12 peratus setahun sejak lima tahun lalu dan berada pada paras 82.9 peratus setakat akhir Mac 2013, paras tertinggi bagi negara-negara membangun di Asia (Singapura dan Hong Kong masing-masing mencatatkan 67% dan 59% daripada KDNK). Pertumbuhan ini tidak selaras dengan peningkatan pendapatan yang dicerminkan oleh pertumbuhan KDNK, iaitu antara empat hingga enam peratus.

Langkah ini dilakukan memandangkan kadar hutang isi rumah pada masa ini berada tahap yang membimbangkan. Kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna (CRRC) yang dijalankan pada tahun 2012 menunjukkan lebih kurang 47% pekerja muda mempunyai hutang yang serius, iaitu lebih daripada 30% daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang. Kajian juga mendapati 37% pekerja muda mengaku bahawa mereka berbelanja melebihi tahap kemampuan. Hal ini merupakan salah satu penyebab utama mengakibatkan seseorang menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan.

Semua segmen masyarakat, termasuk mereka yang masih muda dan meminjam buat kali pertama daripada institusi kewangan harus diberi persediaan mengenai pendidikan pengurusan kewangan agar mereka tidak terbeban dengan masalah hutang yang serius dan akhirnya menjadi muflis. Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan sebanyak 37,493 kes individu berumur 25 hingga 44 tahun diisytiharkan bankrap. Sebanyak 29,338 kes melibatkan hutang pinjaman kenderaan, diikuti dengan 15,299 kes melibatkan pinjaman peribadi.

Pengurusan kewangan seharusnya bermula sejak dari kecil dan institusi kekeluargaan perlu mendidik anak-anak mereka dengan amalan menabung. Ingat, simpan sedikit, lama-lama menjadi bukit! Nilai wang yang dimiliki pada masa sekarang jauh lebih bernilai berbanding dengan wang pada masa akan datang. Oleh itu, tabungan perlu ditingkatkan, di samping memilih pelaburan yang terbaik untuk simpanan jangka masa panjang. Golongan muda perlu didedahkan dengan maklumat dan kesan apabila mereka membuat pinjaman. Apabila membuat pinjaman, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbang, antaranya tujuan pinjaman, kemampuan membayar balik pinjaman, tempoh pinjaman, kadar faedah dan syarat serta terma pinjaman. Mereka perlu mengutamakan pembelian barangan untuk keperluan dan menangguhkan barangan untuk memenuhi kehendak.

Langkah-langkah di atas akan membendung hutang isi rumah dan menggalakkan pembiayaan bertanggungjawab serta pertumbuhan kredit pengguna yang mampan.

Sumber : FOMCA/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 40/Ogos 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button