Pengguna

Memilih Pakej Saringan Perubatan

Pemeriksaan kesihatan secara berkala sama pentingnya seperti anda sentiasa memeriksa dan menyelenggara kereta anda. Anda perlu menjaga dan merawat tubuh badan anda dengan sempurna. Walaupun anda tidak mempunyai tanda-tanda penyakit, namun melakukan pemeriksaan kesihatan akan membantu anda menilai status semasa kesihatan badan anda.

Pelbagai pilihan telah tersedia ada jika anda ingin membuat pemeriksaan. Anda perlu bijak dan membuat sedikit penyelidikan atas perkhidmatan yang ditawarkan. Ini disebabkan terdapat pelbagai cara yang berbeza dalam melakukan pemeriksaan. Anda perlu melakukan beberapa pemeriksaan badan, dengan kemudahan makmal yang terhad terdapat di hospital atau klinik, maka keupayaan untuk memeriksa anda secara yang menyeluruh juga terhad. Contohnya anda melakukan ujian darah, tetapi ujian tersebut belum tentu dapat mengesan kemungkinan anda menghidapi kanser.

Inilah sebabnya mengapa anda perlu melihat pakej perubatan yang memberikan anda pelbagai ujian yang berbeza. Pemeriksaan kesihatanbiasanya perlu dilakukan untuk seseorang yang diambil bekerja atau sebelum berkahwin. Namun begitu, langkah terbaik anda perlu menyemak jenis pakej perubatan dan kos terlibat sebelum menjalani pemeriksaan.

Hospital dan Klinik

Anda perlu memberikan perhatian bahawa anda tidak akan ditawarkan sebarang pakej saringan perubatan di hospital-hospital awam. Hospital-hospital awam tidak menawarkan ujian secara “walk-in”. Sekiranya anda masih ingin untuk membuat saringan kesihatan di klinik kerajaan untuk pemeriksaan asas perubatan, anda boleh berbuat demikian. Namun, untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang lebih lanjut, dengan peralatan hospital yang terhad, biasanya mereka akan memberi anda rujukan untuk membuat pemeriksaan lanjut. Kos untuk pemeriksaan kesihatan dianggarkan sekitar RM150 hingga RM200.

Kebanyakan hospital swasta menawarkan pelbagai pakej perubatan. Namun begitu, jenis pakej yang ditawarkan adalah berbeza. Satu pakej perubatan pra-pekerjaan di hospital swasta dan klinik boleh dikenakan bayaran RM80. Manakala pemeriksaan kesihatan asas seperti pemeriksaan fizikal dan perundingan boleh dikenakan bayaran antara RM400- RM1200. Semua ini bergantung kepada perkhidmatan dan jenis pakej perubatan yang disediakan.

Hospital Pakar

Selain menjalani pemeriksaan saringan asas kesihatan di hospital swasta, anda juga bolehmenjalani pemeriksaan yang lebih khusus, seperti yang disediakan di hospital pakar. Anda boleh menjalani ujian khas untuk jantung, sakit puan atau sakit tuan dan sebagainya. Kos rawatan bergantung kepada jenis ujian dan peralatan yang digunakan.

Hospital pakar adalah tempat yang paling sesuai sekiranya anda ingin mendapatkan pakej saringan perubatan. Kebanyakan hospital pakar menawarkan pakej pemeriksaan yang asas, dan juga pemeriksaan yang lebih terperinci, yang melibatkan kos yang lebih mahal, seperti mengesan tumor di bahagian tertentu pada badan anda. Kadangkala, hospital pakar juga memberikan kadar tawaran istimewa bergantung kepada musim atau jenis insurans dan kad kredit anda.

Ujian yang paling asas untuk pakej perubatan, antaranya x-ray dada, kiraan darah (full blood count), ujian fungsi hati dan sebagainya boleh dikenakan kos pemeriksaan antara RM250 hingga RM280. Jika pemeriksaan yang dijalankan untuk tumor, tiroid, kencing manis, mamogram, ultrasounds dan lain-lain, kos pemeriksaan tersebut boleh mencecah antara RM995 hingga RM1,700.

Kebanyakan keputusan ujian saringan kesihatan boleh diperoleh dalam masa satu hari di hospital swasta, tetapi bagi ujian lain seperti ujian darah mungkin mengambil masa selama beberapa hari. Semua kos ini dimasukkan dalam satu pakej, termasuk khidmat rundingan dan keputusan ujian.

Dapatkan pakej yang sesuai

Terdapat pelbagai pakej perubatan di pasaran, seperti kesihatan wanita dan lelaki, pemeriksaan kesihatan pra-universiti, ujian alahan dan pemeriksaan gigi. Langkah yang terbaik sebelum mendapatkan pakej rawatan ialah dengan berbincang dengan doktor terlebih dahulu. Ini bagi menentukan pakej kesihatan yang diperlukan berdasarkan profil kesihatan anda. Kos juga bergantung kepada umur dan jantina anda. Biasanya wanita memerlukan pelbagai jenis ujian berbanding lelaki.

Setiap hospital menawarkan pakej pemeriksaan kesihatan yang tersendiri. Anda perlu membuat semakan dengan beberapa klinik dan hospital untuk mendapatkan harga yang terbaik. Anda juga boleh menyemak dengan ejen insurans untuk mengetahui sama ada anda boleh mendapatkan diskaun tertentu untuk pemeriksaan. Semak juga jenis ujian yang akan anda jalani dan kenal pasti sejarah kesihatan keluarga anda ketika melakukan ujian.

Sekiranya kewangan anda terhad, berbincang dengan profesional kesihatan sama ada anda boleh menjalani pemeriksaan kesihatan secara berperingkat – pemeriksaan dilakukan beberapa kali setahun. Pemeriksaan seperti ini lebih murah jika dibandingkan dengan pakej pemeriksaan secara penuh. Apa yang penting ialah, jika anda dapat mengesan penyakit dengan lebih awal, maka pelaburan anda akan mendatangkan pulangan beberapa kali ganda, bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga anda dapat merawat penyakit tersebut ketika di peringkat awal lagi.

Sumber: Artikel asal Michelle Brohier, dalam RinggitPlus.com

Sumber : Artikel asal Michelle Brohier, dalam RinggitPlus.com/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 48/April 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button