Pelan Perlindungan

Memilih Kad Perubatan Yang Sesuai

Kad perubatan telah menjadi satu keperluan dalam kalangan rakyat Malaysia pada hari ini. Seorang pengguna yang memiliki kad perubatan akan mendapat akses kepada hospital dan klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan dengan lebih cepat dan mudah.

Walaupun kepentingannya tidak disangkal, namun pengguna perlu bijak memilih kad perubatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Pengguna perlu mengimbangi antara kos, aspek liputan rawatan, akses kepada perkhidmatan dan perkhidmatan lain yang disediakan bagi memastikan pengguna mendapat perlindungan yang menyeluruh. Bagi membantu anda dan keluarga anda memilih kad perubatan yang sesuai, berikut adalah beberapa panduan mudah:

1. Pastikan had tahunan

Walaupun perlindungan bagi rawatan di hospital agak besar kosnya, tetapi pengguna perlu mempertimbangkan had tahunan sebelum membuat keputusan. Pemegang polisi perlu memahami berapakah jumlah bil yang dibenarkan bagi setiap tahun dan jangka masa perlindungan tersebut.

2. Kad perubatan asas atau produk pelaburan

Pengguna perlu memastikan jenis insurans / takaful yang dilanggan sekiranya ia polisi asas atau yang dipakej sekali bersama-sama dengan produk pelaburan (investment linked). Pengguna dengan polisi asas dan produk pelaburan perlu membayar kadar bulanan yang lebih mahal. Namun begitu, polisi seperti ini mempunyai kelebihan simpanan tunai, yang juga boleh digunakan untuk membayar kadar bulanan bagi satu jangka masa tertentu.

3. Bandingkan pakej polisi lain dan pilih yang sesuai dengan anda

Akhir sekali, pengguna perlu memahami jenis dan kos rawatan yang ditanggung oleh polisi. Pengguna juga boleh membandingkan dengan pakej polisi lain atau menambah baik pakej yang sedia ada. Sebagai contoh, terdapat polisi yang memberikan elaun bagi pemegang polisi yang dimasukkan ke dalam wad.

Memiliki kad perubatan adalah satu keperluan, namun pemahaman tentang polisi akan membantu anda apabila ingin mendapatkan rawatan kelak. Pengguna disaran supaya membaca terma dan syarat polisi serta memahami kepentingan untuk mengisytihar penyakit sedia ada bagi mengelakkan kesulitan pada kemudian hari.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button