Pelan PerlindunganPengguna

Memenuhi Keperluan Orang Kurang Upaya

Pendaftaran Orang Kurang Upaya

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, “Orang Kurang Upaya (OKU) termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat”.

Agensi yang terlibat dalam pendaftaran OKU adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pendaftaran OKU adalah atas dasar sukarela dan hanya untuk warganegara Malaysia yang bermastautin di Malaysia.

Bagi maksud pendaftaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengklasifikasikan OKU kepada tujuh kategori utama ketidakupayaan seperti berikut:

Kategori

  1. Pendengaran

Tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua belah telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran. Terdapat 4 tahap yang boleh dikategorikan sebagai OKU pendengaran, iaitu:

    • Minima (mild): 15 – <30 dB (kanak-kanak) / 20 – <30 dB (orang dewasa)
    • Sederhana (moderate): 30 – <60dB
    • Teruk (severe): 60 – 90dB
    • Sangat teruk (profound): >90dB
  1. Penglihatan

Buta kedua-dua belah mata atau buta di sebelah mata atau penglihatan terhad di kedua-dua belah mata atau lain-lain gangguan penglihatan kekal. Kurang upaya penglihatan boleh dibahagi kepada:

  • Terhad bermaksud penglihatan lebih teruk daripada 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang daripada 20 darjah daripada fixation.
  • Buta bermaksud penglihatan kurang daripada 3/60 atau medan penglihatan kurang daripada 10 darjah daripada fixation
  1. Fizikal

Bermaksud ketidakupayaan kekal anggota badan sama ada disebabkan oleh kehilangan atau ketiadaan atau ketidakupayaan mana-mana anggota badan yang boleh menjejaskan fungsi mereka dalam melakukan aktiviti asas sepenuhnya. Aktiviti asas yang dimaksudkan ialah seperti penjagaan diri, pergerakan dan penukaran posisi tubuh badan. Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada kecederaan (trauma) atau penyakit pada mana-mana sistem saraf kardiovaskular, respiratori , hematologi , imunologi, urologi dan lain-lain yang menyebabkan ketidak fungsian. Contoh penyebab ketidakupayaan adalah:

    • Limb defects (congenital / acquired), termasuk kehilangan ibu jari tangan
    • Spinal cord injury
    • Stroke
    • Traumatic brain injury
    • Kerdil
    • Cerebral palsy

Individu yang mengalami keadaan kekurangan (impairment) tanpa menjejaskan fungsi, contohnya kehilangan jari, mempunyai lebih jari dan tidak ada atau tidak sempurna cuping telinga tidak dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran.

  1. Masalah Pembelajaran

Bermaksud masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah Lewat Perkembangan Global (global development delay), Sindrom Down (down syndrome), kurang upaya intelektual. Kategori ini juga merangkumi keadaan autisme (autistic spectrum disorder), Attention Deficit Hyperactive Disorder (AHDH) dan masalah pembelajaran spesifik seperti dyslexia, dyscalculia, dygraphia.

  1. Pertuturan

Bermaksud tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempurna dan tidak boleh difahami oleh mereka yang berinteraksi dengannya. Keadaan ini adalah kekal atau tidak akan sembuh

  1. Mental

Seseorang yang menghadapi penyakit mental yang teruk yang telah menjalani rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya 2 tahun oleh pakar psikiatri. Akibat daripada penyakit yang dialami, mereka masih tidak berupaya untuk berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat walaupun setelah menjalani rawatan psikiatri. Antara jenis-jenis penyakit mental tersebut adalah Skizofrenia, Mood Disorder dan Organic Mental Disorder yang serius dan kronik

  1. Pelbagai

Individu yang mengalami lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak lain yang sedia ada sesuai diklasifikasikan di bawah mana-mana 6 kategori. Contohnya, seorang individu yang mengalami 2 jenis ketidakupayaan dari segi penglihatan dan pendengaran akan didaftarkan dalam kategori kurang upaya pelbagai.

Mengapakah OKU digalakkan mendaftar?

Sebab utama adalah seperti berikut:

  • Untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini bagi maksud merancang program berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan.
  • Untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU
  • Untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian menurut keperluan berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan mereka

Apakah cara-cara untuk membuat permohonan pendaftaran?

  • Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian.
  • Menggunakan Borang Permohonan Pendaftaran Orang Kurang Upaya yang boleh dimuat turun dari laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat www.jkm.gov.my.
  • Menyertakan 3 keping gambar ukuran kad pengenalan (dewasa), 4 keping gambar ukuran kad pengenalan (kanak-kanak) dan dokumen sokongan seperti salinan MyKad, MyKid atau Sijil Kelahiran

Apakah syarat-syarat pendaftaran?

  • Warganegara yang bermastautin di Malaysia.
  • Telah disahkan / diperakui oleh Pegawai Perubatan Hospital Kerajaan / Pakar Psikiatri atau Pakar Perubatan Swasta.

Apakah Kad OKU?

  • Kad OKU adalah suatu tanda pengenalan diri yang dikeluarkan kepada orang kurang upaya yang telah berdaftar bagi memudahkan mereka berurusan dengan pihak-pihak yang berkenaan

Dalam keadaan manakah saya boleh menukar Kad OKU?

Penukaran Kad OKU boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian disebabkan:

  • Kad OKU hilang,
  • Kad OKU rosak,
  • Mencapai umur 18 tahun
  • Perubahan kategori ketidakupayaan

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 60/April 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button