Pelan Pelaburan

Membina Lebihan Wang

Bagaimana anda ingin membina lebihan wang? Di manakah anda ingin bermula? Apakah aset dan liabiliti anda? Bagaimana anda hendak membuat kunci kira-kira dan penyata pendapatan? Inilah beberapa persoalan yang akan anda pelajari dalam artikel ini.

Berikut adalah beberapa kajian kes yang menunjukkan tentang bagaimana mengurus kewangan.

Aziz dan Lisa

Aziz dan Lisa merupakan pasangan bahagia. Mereka mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan yang masih kecil. Aziz membuka sebuah klinik pergigian dan isterinya pula Lisa, seorang juruteknik audio. Selepas ditolak cukai, pendapatan bersih mereka berdua ialah RM7,200.

Mereka menyewa sebuah rumah teres di pinggir Bandar Kuala Lumpur. Mereka juga memiliki dua buah kereta yang bayaran ansuran sebulan sebanyak RM1,780. Sewa rumah mereka ialah RM1,200 sebulan. Makanan, pakaian, utiliti, pengangkutan, perbelanjaan anak-anak, pembantu rumah dan perbelanjaan sampingan lain ialah sebanyak RM2,590.

Selepas ditolak dengan perbelanjaan sara hidup, hutang dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka mempunyai lebihan pendapatan bulanan selepas cukai sebanyak RM1,630. Aziz tidak terfikir untuk melabur. Beliau menganggap bahawa klinik pergigiannya akan berkembang dan mampu menampung keperluan masa hadapan mereka. Sebaliknya Lisa, yang terdedah kepada program berita kewangan, ingin mencuba untuk melabur dalam unit amanah.

Impian mereka ialah membeli sebuah rumah, dan mempunyai sejumlah wang yang mencukupi untuk mengembangkan perniagaan, pendidikan anak-anak, dan keselesaan waktu bersara nanti. Setakat ini, mereka tidak mempunyai perancangan kewangan yang jelas untuk mencapai objektif mereka.

Kumar

Kumar, 26 tahun, masih bujang, seorang pengatur cara komputer yang seluruh hidupnya berkisar sekitar internet. Beliau mereka cipta tapak laman sesawang dan membuat pengaturcaraan untuk pelanggannya. Perniagaannya semakin berkembang, maka semakin bertambah pendapatannya.

Beliau seorang yang berjimat cermat dan tinggal dengan ibu bapanya. Beliau menyimpan sebahagian besar pendapatannya dalam simpanan tetap dan akaun simpanan. Beliau membeli kereta terpakai yang dibuat bayaran penuh. Sebagai ahli perniagaan, dia tidak menyertai skim KWSP.

Berdasarkan nasihat daripada kawan, dia mengeluarkan sedikit wang simpanannya untuk membeli beberapa saham. Tidak lama selepas dia membeli saham-saham itu, pasaran saham jatuh. Dengan kejatuhan itu, sebahagian besar pegangan sahamnya lesap begitu sahaja.

Selepas mengalami pengalaman yang pahit ini, Kumar berazam untuk menyimpan wangnya dalam akaun simpanan yang lebih selamat. Beliau tahu faedah daripada simpanannya kurang daripada inflasi, tetapi sekurang-kurangnya lebih selamat. Kumar ingin berpindah daripada rumah ibu bapanya, Beliau ingin berkahwin, berkeluarga, dan mengembangkan perniagaannya. Beliau tahu bahawa beliau perlu mengumpulkan lebih banyak modal, berbanding dengan modal yang beliau sedia ada, tetapi tidak tahu apa yang hendak dilakukan.

Adakah kisah kewangan yang dinyatakan di atas biasa anda dengar? Kisah kewangan setiap orang berlainan, namun ada persamaan. Sesetengah orang berjimat cermat dan mempunyai perancangan kewangan. Sementara bagi yang lain pula, mereka gagal untuk merancang belanjawan masa hadapan dan percaya bahawa wang hanya untuk dibelanjakan. Dalam masa yang sama, terdapat juga golongan yang berada di tengah-tengah.

Mengapa Aziz, Lisa dan Kumar, termasuk anda juga, perlu melabur?

  • Mempunyai wang untuk masa kecemasan yang tidak terduga.
  • Boleh mengambil kesempatan apabila muncul peluang perniagaan.
  • Mampu memberi pendidikan terbaik kepada anakanak.
  • Sebagai tambahan kepada caruman KWSP dan dana saraan.

Ini merupakan antara keperluan biasa yang anda boleh peroleh dengan mendisiplinkan diri dan berhati-hati dalam merancang pelaburan.

Tanggapan salah mengenai pelaburan

  • Untuk menjadi pelabur berjaya, ia memerlukan banyak masa, pengetahuan khusus dan wang.

Hakikat pelaburan

Hal ini bergantung kepada perspektif anda. Berapa banyak masa yang anda gunakan untuk menonton televisyen setiap hari? Jika anda menghabiskan selama dua jam sehari – bermakna 14 jam seminggu. Takkan anda tidak boleh berenggang dengan televisyen selama satu atau dua jam seminggu untuk membaca dan mendapatkan maklumat berguna yang boleh membantu menjamin masa hadapan anda? Tentu anda  boleh menggunakan masa sejam lagi untuk membuat dan mengawasi perancangan kewangan, kan!

Bagaimana hendak mula? Apakah langkah pertama anda menjadi pelabur?

Langkah pertama ialah membuat profil kewangan yang mempunyai dua bahagian, iaitu kunci kira-kira dan penyata pendapatan. Kunci kira-kira mengukur keseluruhan kedudukan kewangan anda – aset ditolak liabiliti, manakala penyata pendapatan memberi gambaran purata perbelanjaan bulanan. Kedua-duanya merupakan alat penting untuk membantu mengawal masa hadapan kewangan anda.

Mari lihat kunci kira-kira dan penyata pendapatan bulanan Aziz dan Lisa di muka sebelah dan buat perbandingan dengan diri anda.

Latihan

Sila cetak kunci kira-kira ini dan isikan tempat kosong untuk mengetahui nilai bersih anda. Bergantung kepada kedudukan kewangan anda, mungkin anda perlu menambah lebih banyak tempat kosong. Kemudian, kira penyata pendapatan bulanan anda. Mudah sahaja! Ini merupakan langkah pertama untuk menjadi pelabur berdisiplin.

Langkah kedua ialah belajar daripada kunci kira-kira dan penyata pendapatan yang telah anda buat. Kemudian anda akan mengetahui kepentingan kunci kira-kira dan penyata pendapatan.

Apa yang Aziz dan Lisa boleh pelajari? Aziz dan Lisa mungkin berhasrat untuk menggunakan sebahagian daripada simpanan mereka bagi membeli sebuah rumah kecil. Dengan cara ini, mereka membina ekuiti. Membayar sewa rumah hanya membina ekuiti untuk pemilik rumah. Mereka mungkin juga boleh mempertimbangkan untuk menjual salah satu daripada kereta mereka dan mencari pengangkutan alternatif.

Ini mungkin nampak sukar, tetapi kadang kala anda perlu berkorban membina lebihan pendapatan untuk tujuan pelaburan. Aziz dan Lisa harus cermat menggunakan kad kredit mereka dan membayar hutang kad kredit pada setiap akhir bulan untuk mengelak caj kadar faedah yang tinggi. Kad kredit memang memudahkan urusan, tetapi kadar faedah tinggi yang dikenakan, akan menyusutkan lebihan pendapatan anda.  

Gunakan kunci kira-kira dan penyata kewangan anda untuk mengenal pasti bahagian yang boleh dijimatkan. Cari cara untuk mengurangkan kadar faedah tinggi hutang ansuran. Jangan biarkan prinsipal pengkompaunan membebankan anda.

Ujian Ringkas

  1. Bagaimana kunci kira-kira anda berbanding dengan Aziz dan Lisa? Adakah terdapat lebihan atau defisit?

Kunci kira-kira Aziz dan Lisa menunjukkan nilai bersih RM68,520. Mereka mempunyai lebihan pendapatan bulanan sebanyak RM1,630. Jika jumlah ini dilaburkan secara bijak, mereka sepatutnya boleh mencapai matlamat kewangan mereka. Tidak mengira berapa kecil lebihan pendapatan anda, perkara penting ialah mempunyai lebihan pendapatan.

  1. Apa yang ditunjukkan oleh kunci kira-kira anda?

Ia akan menunjukkan kepada anda, liabiliti yang boleh dikurangkan, seperti hutang kad kredit dan aset, tunai dalam akaun simpanan, yang mungkin kurang memberi untung.

  1. Jika Kumar ingin membina kunci kira-kira, apa yang akan diperolehnya?

Kebanyakan daripada asetnya dalam bentuk tunai, dan kurang memberi keuntungan. Faedah dalam simpanan tetap atau akaun simpanan akan susut disebabkan inflasi.

  1. Apakah tiga salah anggapan biasa tentang pelaburan?

Untuk menjadi pelabur yang berjaya, ia memerlukan banyak masa, pengetahuan khusus dan wang.

Ulasan

Dalam pelajaran ini, anda belajar bagaimana hendak membina kunci kira-kira dan penyata pendapatan anda. Pengajaran daripada latihan ini ialah:

  • Anda kini mempunyai titik permulaan untuk mencapai objektif pelaburan anda. Anda tahu tahap pencapaian anda.
  • Anda boleh mengenal pasti bahagian mana boleh dijimatkan.
  • Anda telah belajar bahawa anda tidak memerlukan pengetahuan khusus dan modal yang besar untuk menjadi pelabur yang untung.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 71/Mac 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button