Pelan Perbelanjaan

Membeli Hartanah Lelong

Ramai yang berminat untuk membeli rumah lelong disebabkan harganya yang rendah daripada pasaran. Namun begitu, masih ada yang berasa ragu-ragu dan kurang arif tentang kaedah membeli rumah lelong. Berikut adalah panduan membeli hartanah lelong yang boleh membantu anda membuat keputusan.

Selidik latar belakang hartanah

Kenal pasti hartanah yang ingin anda beli, sama ada bersesuaian mengikut keperluan dan memenuhi kehendak anda.

Buat tinjauan atas hartanah

Anda perlu mengambil kira kemampuan kewangan, iaitu jumlah maksimum yang anda mampu bayar ketika membuat bidaan. Jika berjaya dalam bidaan tersebut, anda dikehendaki untuk meletakkan deposit antara 5% hingga 10% harga rizab harta berkenaan (bergantung kepada pelelong), sama ada dalam bentuk bank draf atau tunai. Biasanya cek tidak diterima. Oleh itu, anda perlu bersedia dengan wang tambahan sekiranya harga pada lelongan akhir adalah lebih tinggi daripada harga rizab.

Siasat hartanah

Dapatkan maklumat terperinci mengenai hartanah, termasuk tunggakan bayaran elektrik, air, sewa dan caj penyelenggaraan oleh pemilik asal. Dapatkan nasihat undang-undang, sama ada menerusi Peguam cara, Pihak Berkuasa Tempatan atau menghubungi terus syarikat lelongan bagi mendapatkan maklumat. Pengguna hendaklah memahami syarat pembelian hartanah sebagai persediaan awal sebelum hari lelongan.

Sediakan bank draf

Pada hari lelongan, pembida diwajibkan untuk membawa bersama-sama antara 5% hingga 10% harga rizab harta berkenaan (bergantung kepada pelelong), sama ada dalam bentuk bank draf atau tunai kerana kebiasaannya cek tidak diterima. Pembida juga perlu membawa kad pengenalan asal dan 2 salinan kad pengenalan. Pembida akan diberi kad bidaan bagi mengenal pasti anda sebagai pembida atas hartanah yang dilelong. Dapatkan salinan syarat pembelian bagi memudahkan anda membuat rujukan.

Buat senarai semak dokumen diperlukan untuk hari lelongan

  1. Pembida Individu
    • Salinan kad pengenalan pembida
    • Bank draf antara 5% hingga 10% daripada harga rizab serta wang tunai tambahan
  2. Syarikat
    • Salinan sijil ‘Memorandum and Articles of Association’ yang sah.
      • Borang 44, 24 & 49
      • Persetujuan Lembaga Pengarah
    • Bank draf antara 5% hingga 10% daripada harga rizab serta wang tunai tambahan.
  3. Ejen / Wakil
    • Surat kuasa sebagai ejen/wakil pembida
    • Salinan kad pengenalan pembida
    • Bank draf antara 5% hingga 10% daripada harga rizab serta wang tunai tambahan

Pada hari bidaan

Pastikan anda hadir sekurang-kurangnya sejam lebih awal sebelum bidaan bermula. Baca dan fahami semua syarat dan terma pembelian.

Cara membida

  • Pelelong akan melakukan lelongan bermula dengan pengumuman maklumat berhubung hartanah yang akan dilelong serta harga rizab. Kenal pasti hartanah yang anda ingin beli dan mengangkat kad bidaan anda untuk membida.
  • Pembida akan meletakkan bidaan tertinggi atau pembida terakhir sebelum pelelong melakukan pukulan bidaan dan akhirnya menyebut “jual” jika ada pembida yang dikira sebagai pembida yang berjaya.
  • Pembida yang berjaya perlu menandatangani kontrak yang diberikan kepada mereka.

Menandatangani kontrak

Kontrak yang ditandatangani akan dikenakan duti setem dengan bayaran sebanyak RM50. Dengan menggunakan kontrak tersebut, anda boleh membuat pinjaman bank. Anda diberi masa antara 90 hingga 120 hari dari tarikh bidaan untuk menyelesaikan baki bayaran.  Dengan mengikuti panduan yang dinyatakan di atas, ia dapat membantu pengguna apabila membeli hartanah lelong. Ini juga membantu mereka apabila berhadapan dengan masalah pada masa hadapan setelah membeli hartanah lelong tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 82/Februari 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button