Pengguna

Membaiki, Mengganti atau Bayaran Balik?

Pengguna masa kini semakin bijak dalam memilih jenis dan kualiti barangan. Setiap barangan yang dipasarkan kepada pengguna mestilah bermutu serta menepati ciri-ciri dan fungsi yang wajar dipasarkan kepada pengguna. Ini merupakan salah satu syarat dan jaminan yang diberikan oleh Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Namun begitu, terdapat sedikit kekeliruan dalam kalangan pengguna berkenaan hak mereka untuk menuntut tebus rugi daripada pembekal jika barangan yang dibeli itu didapati mempunyai masalah ataupun rosak. Akta Perlindungan Pengguna 1999 memberikan dua hak kepada pengguna jika menghadapi situasi seperti ini.

Hak yang pertama ialah pengguna diberikan hak untuk menuntut daripada peniaga/pembekal. Menurut akta tersebut, pengguna diberikan hak untuk menuntut tebus rugi dalam tiga bentuk daripada pembekal iaitu;

  1. Membaiki barangan yang telah rosak;
  2. Mengganti barangan yang rosak dengan barangan yang baru, sama ada dari segi unit yang sama atau harga yang sama; atau
  3. Menuntut bayaran balik.

Pengguna perlu memahami mekanisme ketigatiga jenis tuntutan tebus rugi ini. Pengguna tidak boleh sewenang- sewenangnya menuntut salah satu daripada mekanisme tersebut. Ia bergantung kepada situasi setiap kes yang dilalui oleh pengguna. Jika barangan yang dibeli disertai dengan waranti, maka lebih wajar jika peniaga/pembekal diberikan kebenaran untuk membaiki barangan tersebut terlebih dahulu. Apabila barangan tersebut telah dibaiki beberapa kali atas disebabkan oleh masalah yang sama atau berlainan dalam tempoh masa yang singkat dan tidak munasabah, pengguna dibenarkan untuk menuntut supaya barang yang rosak tersebut digantikan dengan unit yang baru atau unit lain dengan harga yang sama.

Jika kedua-dua langkah awal di atas telah diambil oleh pengguna, namun masalah masih tidak dapat diselesaikan, pengguna mempunyai hak untuk menuntut bayaran balik dengan syarat mereka juga perlu mengembalikan barangan tersebut kepada pembekal semula. Pengguna juga mempunyai hak untuk menuntut bayaran balik jika barangan tersebut tidak dapat dibaiki atau digantikan dengan barangan yang baru.

Hak yang kedua pula adalah pengguna mempunyai hak untuk menuntut tebus rugi daripada pengilang. Melalui hak ini, pengguna dibenarkan untuk menuntut dengan cara membaiki barangan yang rosak atau menuntut supaya menggantikan barangan tersebut dengan barangan yang baru. Namun, terdapat sedikit perbezaan antara hak menuntut daripada peniaga/pembekal dan pengilang. Jika hak terakhir untuk menuntut daripada peniaga/pembekal adalah bayaran balik, lain pula bagi hak untuk menuntut daripada pengilang. Menurut Akta Perlindungan Pengguna 1999, hak terakhir yang boleh dituntut oleh pengguna daripada pengilang adalah harga susut nilai bagi barangan tersebut yang mana kerosakan tersebut berpunca daripada pengilang sendiri.

Oleh itu, para pengguna mestilah memahami hak-hak mereka sebelum membuat tuntutan daripada peniaga/pembekal dan pengilang. Ini bagi mengelakkan pengguna daripada membuat tuntutan sesuka hati tanpa memahami langkah-langkah tuntutan yang sewajarnya. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan salah faham dalam kalangan pengguna, penguat kuasa undang-undang, malah ia juga dapat memberikan keadilan kepada semua pihak termasuk peniaga/pembekal dan pengilang.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 43/November 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button