Pelan PerlindunganPengguna

Memahami Insurans Dan Takaful (Bahagian 2)

Apakah fakta material atau fakta penting?

Fakta material atau fakta penting ialah mana-mana fakta berkaitan anda atau objek yang ingin dilindungi yang perlu diketahui oleh syarikat insurans/pengendali takaful. Ia dapat membantu syarikat insurans/pengendali takaful membuat keputusan sama ada untuk memberi perlindungan kepada anda atau tidak, jumlah premium yang perlu dibayar dan terma yang akan dikenakan.

Syarikat insurans/pengendali takaful lazimnya akan memperoleh fakta ini berdasarkan borang cadangan yang telah anda lengkapi. Borang cadangan yang digunakan oleh syarikat insurans/pengendali takaful telah direka untuk mengumpulkan fakta yang diperlukan. Anda harus menjawab semua soalan dalam borang cadangan dengan betul dan tepat. Oleh itu, sekiranya timbul sebarang keraguan tentang manamana soalan dalam borang cadangan, anda harus mendapatkan penjelasan dan bukannya meneka atau membiarkan sahaja ruangan jawapan tersebut kosong. Bagi insurans hayat/takaful keluarga, fakta penting lazimnya termasuk pekerjaan, status kewangan, sejarah perubatan keluarga, tahap kesihatan dan gaya hidup.

Membayar premium/caruman

Apabila anda membayar premium/caruman melalui ejen, pastikan cek anda dikeluarkan atas nama syarikat insurans/pengendali takaful anda. Jika tidak, usahakan untuk membayar premium anda terus kepada syarikat insurans/pengendali takaful anda. Terdapat banyak cara pembayaran premium/caruman seperti perkhidmatan autodebit daripada akaun bank, perbankan internet, kad kredit dan perbankan telefon. Anda harus mendapatkan resit bagi pembayaran premium/ caruman anda. Selain itu, hubungi syarikat insurans/pengendali takaful anda sekiranya anda tidak menerima polisi anda dalam tempoh satu bulan dari tarikh pembelian.

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya mempunyai pelan insurans/takaful?

Polisi insurans/sijil takaful ialah dokumen yang sah di sisi undang-undang. Oleh itu, anda perlu memberikan perhatian kepada terma-terma polisi/sijil supaya pelan anda kekal sah. Anda haruslah :-

  • Membaca dan fahami terma dan syarat polisi insurans/sijil takaful anda sebaik sahaja anda menerimanya. Berbincanglah dengan syarikat insurans/pengendali takaful anda sekiranya terdapat percanggahan dengan apa yang telah dipersetujui sebelum ini.
  • Memahami hak dan tanggungjawab anda sebagai pemegang polisi/peserta pelan takaful.
  • Memantau tempoh insurans/pelan takaful dan masa pembayaran premium/caruman anda supaya tidak berlaku kekurangan dalam perlindungan anda.
  • Memaklumkan sebarang perubahan pada fakta-fakta penting kepada syarikat insurans/pengendali takaful anda.
  • Mengemas kini alamat surat-menyurat anda dengan syarikat insurans/pengendali takaful supaya anda dapat menerima notis pada setiap masa.
  • Menyimpan polisi/sijil anda di tempat selamat.
  • Memaklumkan syarikat insurans/ pengendali takaful anda secepat mungkin apabila terdapat tuntutan yang hendak dibuat.
  • Mengambil langkah untuk melindungi aset anda daripada kerugian yang mungkin dialami selepas aset tersebut mengalami kerosakan dalam kemalangan. Sebagai contoh, jangan tinggalkan kereta anda di tempat kemalangan tanpa pengawasan; kerana sekiranya berlaku kecurian, kerugian tersebut tidak akan dilindungi oleh insurans/pelan takaful anda. Sila ambil perhatian untuk memastikan bahawa:-
  • Semua ejen insurans yang menjual polisi insurans hayat berdaftar dengan Persatuan Insurans Nyawa Malaysia.
  • Semua ejen insurans yang menjual polisi insurans am berdaftar dengan Persatuan Insurans Am Malaysia.
  • Semua ejen takaful yang menjual produk takaful berdaftar dengan Pendaftar Pengantara Takaful.
  • Semua penasihat kewangan dan broker insurans dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Insurans 1996.
  • Semua broker takaful adalah dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia dibawah Akta Takaful 1984.

Sumber : infoinsurans/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 20/Disember 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button