Pelan PerlindunganPengguna

Memahami Insurans Dan Takaful (Bahagian 1)

Artikel ini menjelaskan jenis produk insurans dan takaful yang terdapat dalam pasaran serta prinsip-prinsip asas insurans dan takaful.

Apakah itu insurans?

Secara ringkasnya, insurans ditakrif sebagai memindahkan risiko kerugian kepada syarikat insurans bagi mengurangkan beban kewangan ketika anda mengalami kerugian tertentu.

Apakah itu takaful?

Takaful ialah satu skim insurans berlandaskan prinsip Islam, iaitu saling menjamin, apabila sekumpulan peserta bersetuju untuk saling menjamin sesame mereka terhadap kerugian tertentu. Anda juga bersetuju untuk menderma sebahagian daripada caruman ke dalam kumpulan wang takaful bagi membantu mana-mana peserta kumpulan yang mengalami mana-mana kerugian tertentu. Tertakluk kepada terma dan syarat sijil takaful, seseorang peserta juga boleh berkongsi lebihan kumpulan wang takaful sekiranya beliau tidak pernah membuat tuntutan sepanjang tempoh takaful. Sesiapa sahaja boleh menyertai skim ini tanpa mengira kepercayaan agama seseorang itu.

Apakah jenis produk insurans/takaful yang saya perlukan?

Keperluan insurans/takaful anda bergantung kepada keadaan risiko, umur dan gaya hidup. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa jenis insurans/takaful yang diwajibkan oleh undang-undang contohnya insurans/takaful motor.

Apakah jenis produk insurans/takaful yang ada?

Terdapat pelbagai jenis produk yang boleh memenuhi keperluan anda. Jenis produk insurans/takaful yang biasa didapati ialah:-

  • Insurans hayat/takaful keluarga – satu langkah untuk memberikan bantuan kewangan kepada tanggungan anda sekiranya anda meninggal dunia. Terdapat juga produk insurans hayat/takaful keluarga yang memberikan pampasan sekiranya anda tidak mampu bekerja disebabkan penyakit atau ketidakupayaan. Contohnya ialah insurans hayat seumur hidup atau endowmen. Anda juga boleh menabung atau melabur melalui insurans hayat/takaful keluarga. Contohnya ialah insurans/takaful berkaitan pelaburan.
  • Insurans/takaful motor – memberi pampasan bagi kerugian tertentu disebabkan kerosakan pada kenderaan anda akibat kemalangan, kebakaran atau kecurian. Ia turut memberi pampasan untuk kerugian pihak ketiga yang diakibatkan oleh kenderaan bermotor anda dalam sesuatu kemalangan.
  • Insurans/takaful empunya/isi rumah – membayar pampasan bagi kerugian tertentu apabila rumah atau harta peribadi anda musnah akibat kejadian seperti banjir, kebakaran, paip pecah dan sebagainya. Anda juga boleh dilindungi daripada tuntutan pihak ketiga yang dibuat berikutan kejadian tersebut.
  • Insurans/takaful perubatan dan kesihatan – membayar pampasan bagi pelbagai jenis perbelanjaan hospital dan perubatan yang anda mungkin tanggung sekiranya anda sakit atau mengalami kecederaan. Pampasan ini termasuk bayaran bilik di hospital, perkhidmatan professional serta keperluan dan perkhidmatan perubatan.
  • Insurans/takaful kemalangan diri – membayar sejumlah wang sekiranya anda hilang upaya (sementara/kekal) atau meninggal dunia disebabkan kemalangan.

Bagaimanakah untuk mengetahui sama ada sesebuah pengendali takaful mematuhi prinsip Syariah?

Jawatankuasa Syariah telah ditubuhkan oleh semua pengendali takaful bagi memastikan operasi takaful mereka sejajar dengan prinsip Syariah. Bank Negara Malaysia juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Syariah yang berfungsi sebagai pusat rujukan bagi hal-hal  berkaitan perbankan Islam dan takaful di Malaysia.

Prinsip-prinsip utama insurans/takaful

Produk insurans/takaful tertakluk kepada empat prinsip utama secara umum iaitu kepentingan boleh insurans/kepentingan boleh lindung, penuh percaya, indemniti dan caruman.

  • Kepentingan boleh insurans

Untuk mendapatkan perlindungan insurans, anda mesti mempunyai kepentingan boleh insurans terhadap barang atau hayat yang diinsuranskan. Kepentingan boleh insurans biasanya wujud melalui hubungan pertalian dengan seseorang atau hak milik terhadap sesuatu harta benda. Contohnya ke atas nyawa diri sendiri atau anak, rumah atau kenderaan bermotor.

  • Kepentingan boleh lindung

Anda mesti mempunyai kepentingan boleh lindung sebelum anda boleh menyertai skim takaful. Sesebuah pelan takaful tanpa kepentingan boleh lindung adalah seumpama kontrak perjudian untuk memperoleh keuntungan daripadanya.

  • Penuh percaya

Penuh percaya bermaksud anda mesti menyatakan semua fakta penting apabila membeli polisi insurans atau menyertai skim takaful. Ini bertujuan untuk membolehkan syarikat insurans/pengendali takaful membuat keputusan sama ada untuk memberikan perlindungan insurans/takaful tersebut kepada anda dan menentukan amaun premium/caruman takaful daripada anda. Sekiranya anda tidak mematuhi keperluan ini, polisi insurans/sijil takaful anda boleh menjadi tidak sah dan syarikat insurans/pengendali takaful berhak menolak tuntutan anda.

  • Indemniti

Apabila anda mengalami kerugian, prinsip indemniti hanya akan membenarkan anda memperoleh amaun yang akan mengembalikan keadaan anda sama seperti sebelum berlakunya kerugian.

  • Caruman

Di bawah prinsip caruman, semua pengendali takaful yang memberikan perlindungan kepada sesuatu harta yang sama akan berkongsi membayar pampasan untuk kerosakan terhadap harta tersebut. Dengan cara ini, seseorang itu tidak boleh “memperoleh keuntungan” dengan membeli lebih daripada satu pelan takaful untuk harta yang sama.

Senarai semakan mendapatkan pelan insurans/takaful

Berikut adalah senarai semakan yang boleh dijadikan panduan semasa membeli pelan insurans/takaful:-

  • Berurusan hanya dengan pihak yang dibenarkan sama ada ejen berdaftar/broker insurans/takaful berlesen atau secara terus dengan syarikat insurans atau pengendali takaful.
  • Bandingkan kadar premium/caruman. Dapatkan sebut harga daripada beberapa syarikat insurans/pengendali takaful dan ejen.
  • Bandingkan manfaat, terma, ciri-ciri produk, kekurangan dan pengecualiannya.
  • Pastikan anda mampu membayar premium atau caruman untuk perlindungan tersebut.
  • Dapatkan perlindungan yang mencukupi. Elakkan daripada mempunyai perlindungan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit.
  • Pastikan borang permohonan anda diisi dengan lengkap, maklumat yang diberikan adalah tepat dan semua fakta penting didedahkan sepenuhnya.
  • Buat pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya secepat mungkin.

Sumber : infoinsurans/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 19/November 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button