Pelan Perlindungan

Memahami Ilustrasi Jualan Insurans Hayat

Memahami ilustrasi jualan insurans hayat tidaklah sukar tetapi ia tidaklah semudah sebagaimana yang diharapkan oleh kebanyakan orang. Berikut adalah perkara penting untuk memahami ilustrasi jualan insurans hayat.

Apakah maklumat penting yang perlu saya berikan perhatian dalam ilustrasi jualan insurans hayat?

Bagi polisi sertaan, penanggung insurans hayat atau ejennya diwajibkan memberikan anda ilustrasi jualan pada masa jualan yang menunjukkan premium dan manfaat yang terpakai untuk cadangan tertentu. Antara maklumat penting yang perlu diambil perhatian adalah seperti berikut:-

  • Apa sebenarnya yang anda ingin beli dan bagaimana ia berfungsi?
  • Apakah manfaat polisi itu?
  • Berapakah kosnya dan adakah terdapat sebarang kos lain yang terlibat?
  • Berapa lamakah anda perlu membayar dan apakah pilihan bayaran yang ada?
  • Apakah terma dan syarat utama polisi itu, terutama sekali apakah yang tidak dilindungi?
  • Apakah andaian yang digunakan untuk membuat ilustrasi itu?

Apakah bahagian utama dalam ilustrasi jualan insurans hayat?

Pada umumnya, ilustrasi jualan insurans hayat mesti mengandungi bahagian berikut:-

  • Jenis pelan, pemerihalan produk dan jumlah premium
  • Ilustrasi manfaat terjamin
  • Ilustrasi manfaat tidak terjamin
  • Nota penting untuk ilustrasi dan andaian yang digunakan
  • Lampiran penerangan produk

Apakah Manfaat Terjamin?

Ilustrasi jualan insurans hayat biasanya menunjukkan nilai pada akhir setiap tahun polisi bagi tahun polisi 1 hingga 20, dan setiap 5 tahun selepas itu sehingga matang bagi hayat yang diinsuranskan berkaitan dengan:

  • Premium dibayar
  • Manfaat kelangsungan hidup terjamin (Survival benefit)
  • Manfaat kematian terjamin (Death benefit)
  • Nilai serahan terjamin (Guaranteed surrender value)

Apa yang penting ialah menentukan sama ada premium dijamin sepanjang tempoh polisi kerana tidak semua pelan adalah sama. Adakalanya, penanggung insurans berhak menyemak kadar premium dari semasa ke semasa. Oleh itu, ia tidak terjamin, terutamanya bagi Insurans Perubatan dan Kesihatan (MHI) dan Pelan Berkaitan Pelaburan (ILP).

Apakah Manfaat Tidak Terjamin?

Ilustrasi jualan insurans hayat juga mesti menunjukkan nilai pada akhir setiap tahun polisi bagi tahun polisi 1 hingga 20, dan setiap 5 tahun selepas itu sehingga matang bagi hayat yang diinsuranskan berkaitan dengan manfaat tidak terjamin seperti:

  • Bonus berbalik (Reversionary bonus)
  • Bonus tunai / dividen (Cash / dividend bonus)
  • Bonus terminal (Terminal bonus)
  • Bonus kematangan (Maturity bonus)

Tidak kurang pentingnya juga bagi anda mengetahui bahawa walaupun manfaat tersebut tidak terjamin, namun tidak bermakna anda tidak akan mendapat sebarang manfaat langsung kemudian nanti. Sebagai penanggung insurans yang bertanggungjawab dalam industri yang dikawal ketat, kebanyakan syarikat insurans akan berusaha sedaya upaya mereka untuk mencapai unjuran mereka.

Justeru, adalah penting untuk menilai andaian yang digunakan sebelum membuat keputusan.

Nota: Informasi di atas adalah juga diguna pakai bagi pelan Takaful Keluarga
Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 59/Mac 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button