Pelan Pelaburan

Melindungi Dana Skim Persaraan Swasta (PRS) Anda (Bahagian 2)

Dalam artikel bulan Jun yang lalu, kami berkongsi tentang keteguhan rangka kerja PRS yang membentuk asas kepada perlindungan dana-dana PRS. Dalam artikel ini, kita akan meneroka aspek pengurusan pelaburan dana PRS dan bagaimana risiko diuruskan semasa mencari peluang pulangan.

Skim Pelaburan Kolektif (CIS)

PRS menggunakan struktur Skim Pelaburan Kolektif (CIS) yang menggabungkan semua pelaburan bagi PRS ke dalam portfolio aset bagi mencapai mandat dan objektif dana ini. Struktur CIS adalah mudah dan membolehkan orang ramai berkemampuan untuk menyimpan dan melaburkan simpanan persaraan mereka dengan berkongsi dalam aset-aset sandaran menerusi pemilikan unit dalam dana PRS.

Setiap dana PRS ditadbir urus berdasarkan mandat masing-masing dan objektif-objektif yang didokumentasi dalam Dokumen Penzahiran dan Kertas Penerangan Produk yang menegaskan bagaimana dana sepatutnya diurus dan apa aset sandarannya, yang boleh dilaburkan. Dokumen Penzahiran dan Kertas Penerangan Produk dana PRS mestilah mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum dana PRS itu ditawarkan kepada orang ramai.

Selain itu, dana PRS dilindungi dengan batasan jenis pelaburan dan had tumpuan (misalnya pelaburan dalam suatu aset tidak boleh melebihi 10% Nilai Aset Bersih dana) yang meminimumkan risiko dana PRS. Malah, dana PRS juga dipantau ketat oleh pemegang amanah bebas bagi memastikan pengurus-pengurus pelaburan mematuhi sepenuhnya keperluan yang dimandatkan dan had pelaburan dana.

Kepelbagaian Portfolio

Dana PRS dilaburkan dalam pelbagai porfolio aset sandaran (underlying assets) sebagaimana digariskan oleh mandat dan objektif pelaburan tersebut. Kepelbagaian ini membantu meminimumkan risiko dan sangat penting bagi melicinkan keadaan risiko tidak bersistematik di dalam portfolio supaya prestasi positif akan meneutralkan yang negatif.

Setiap dana PRS memiliki peruntukan aset sandarannya yang sendiri (seperti saham, bon atau instrumen pasaran wang) bagi menjana potensi pulangan dana. Misalnya, peruntukan aset dana boleh dilaburkan 70% dalam ekuiti dan 30% dalam pendapatan tetap dan instrumen pasaran wang. Tidak ada formula mudah bagi mendapatkan peruntukan aset yang sempurna bagi setiap individu. Dengan mencari imbangan risiko pelaburan berserta pulangan yang tepat mungkin akan menjadikannya lebih bersesuaian mengikut kehendak individu. Dana diuruskan bagi menjana potensi pelaburan, manakala peruntukan aset mempelbagaikan risiko portfolio supaya pelaburan anda tidak diibaratkan seperti “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Oleh itu, dana PRS dilaburkan bagi mengoptimumkan pulangan dan menguruskan risiko portfolio dana pada masa yang sama.

Pengurusan Dana Yang Profesional

Dana PRS diuruskan oleh pengurus dana berlesen dan profesional. Tugas mereka ialah menjana potensi pulangan sementara menguruskan risiko dana berdasarkan mandat dan objektif dana. Untuk menjadi pengurus dana, mereka hendaklah dilesenkan oleh SC bagi memastikan mereka memiliki kelayakan dan pengalaman untuk menguruskan dana PRS.

Pengurus dana mempunyai tanggungjawab, pengetahuan pelaburan dan pasaran untuk menguruskan prestasi dana menerusi prestasi aset sandaran yang berhubung kait dengan prospek dan sentimen pasaran. Oleh kerana dana PRS dilaburkan untuk tempoh jangka panjang, pengurus portfolio boleh mengambil pandangan pasaran lebih panjang dalam menguruskan turun naik dan peluang pasaran.

Penggunaan pengurus dana profesional sepenuh masa bagi menguruskan prestasi dana PRS akan memudahkan orang ramai untuk menyimpan dan melabur bagi persaraan mereka, tanpa perlu melakukan penyelidikan sendiri.

Memantau Prestasi Dana

Prestasi pelaburan adalah tertakluk kepada turun naik dan peluang pasaran. Sementara pengurus dana menyasarkan untuk mengoptimumkan prestasi dana PRS, adalah penting bagi ahli PRS untuk mengambil tanggungjawab juga dalam memantau prestasi dana mereka.

PPA telah memudahkan bagi ahlinya untuk mengakses prestasi dana PRS yang dimuat turun dan dilaporkan setiap hari oleh penyelidik dana bebas, Morningstar. PPA menggalakkan ahli-ahlinya untuk memantau prestasi dana PRS mereka sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menilai pengurus dana mereka.

Meluangkan masa untuk menilai dan memantau dana mereka akan memastikan objektif persaraan berada pada landasan betul dan mengambil langkah pembetulan, jika perlu. Dengan mengambil peranan pro-aktif dalam pemantauan simpanan persaraan anda, saya percaya ia adalah ubat terbaik untuk tidur lena kerana mengetahui segalanya berlaku mengikut rancangan. Dalam artikel akan datang, kami akan berkongsi cara bagaimana ahli-ahli boleh memainkan peranan dalam menambah satu lagi lapisan perlindungan untuk simpanan persaraan bagi mengukuhkan lagi perlindungan wang persaraan mereka. Jumpa lagi.

Dato’ Steve Ong adalah CEO Pentadbir Pencen Swasta (PPA), pentadbir pusat Skim Persaraan Swasta (PRS). PPA diberi peranan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan industri PRS, mewujudkan kesedaran umum dan mendidik orang ramai mengenai penyimpanan persaraan. PPA juga berperanan melindungi kepentingan penyumbang PRS.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 64/Ogos 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button