Pelan Pelaburan

Melindungi Dana Skim Persaraan Swasta (PRS) Anda (Bahagian 1)

Satu daripada soalan lazim yang kami terima daripada orang ramai ialah, “Adakah pelaburan PRS ini selamat?” Ini adalah soalan yang perlu dijawab kerana ia membabitkan langkah bagi memastikan dana persaraan akan memenuhi penggantian pendapatan apabila seseorang bersara. PRS direka bentuk untuk memastikan keyakinan dan kebimbangan orang ramai terhadap perlindungan dana persaraan berjangka panjang mereka ditangani secara teratur dan secukupnya.

Industri PRS dilancarkan dengan rangka kerja perundangan dan statutori yang menyeluruh dan kukuh untuk berkembang dan melindungi kepentingan ahli dalam Skim PRS. Oleh itu, PRS yang berperanan sebagai tonggak keselamatan sosial ketiga untuk menyediakan dana persaraan tambahan perlu melahirkan keyakinan kepada orang ramai bahawa skim tersebut ditadbir urus dalam perundangan yang kuat, diselia dan dibangunkan dengan baik dari semasa ke semasa.

Struktur tadbir urus risiko pelbagai tahap telah dilaksanakan bagi memastikan perlindungan yang mencukupi dan sewajarnya terhadap kepentingan ahli dengan pembahagian peranan dan tanggungjawab yang rapi serta teratur untuk semua pihak utama yang terlibat.

Pertama, semua pihak utama yang terlibat perlu berlesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), iaitu di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). SC memberi kelulusan kepada Penyedia PRS, pengedar, pemegang amanah dan Pentadbir Pencen Swasta (PPA) untuk beroperasi dalam industri PRS. Hanya pihak berlesen tersebut diluluskan untuk turut serta dalam PRS.

Kedua, PPA ditubuhkan sebagai satu-satunya pentadbir pusat bagi menyediakan pentadbiran akaun sepanjang hayat yang cekap, memberi perkhidmatan semasa kepada ahli-ahli, maklumat, dan pendidikan kepada ahli PRS. PPA, unik hanya di Malaysia adalah pertubuhan bebas yang berkhidmat dan melindungi kepentingan ahli PRS

Ketiga, terdapat hanya 8 Penyedia PRS berlesen diluluskan oleh SC berdasarkan garis panduan yang ketat untuk beroperasi sebagai Penyedia bagi Skim PRS. Penyedia-penyedia ini dipilih berasaskan keupayaan pengurusan pelaburan, pengalaman dan rekod prestasi mereka dalam menguruskan dana awam. Tugas dan tanggungjawab utama Penyedia PRS merangkumi pemasaran, pentadbiran dan pengurusan pelaburan dana-dana PRS. Malahan, Penyedia juga dikehendaki menyediakan struktur pematuhan dan pengurusan risiko mereka bagi memastikan mereka mematuhi semua standard dan garis panduan peraturan.

Keempat, Garis Panduan itu menetapkan satu Pemegang Amanah Skim bebas dilantik bagi memantau pengurusan dan operasi Skim, seiring dengan dokumen ikatan amanah dan penzahiran. Selain itu, pemegang amanah berperanan sebagai ‘penjaga’ wang yang dilaburkan dalam Dana PRS yang memberikan pengasingan teratur antara penjagaan dan pengurusan Penyedia Dana PRS.

Yang terakhir, SC bertanggungjawab mengawal selia semua pihak terlibat dengan menguatkuasakan peraturan dan pematuhan kepada Garis PRS, yang menetapkan keperluan teratur dan tingkah laku bagi melindungi kepentingan ahli-ahli Skim PRS.

Rangka kerja peraturan tersebut membentuk asas bagi memberikan keyakinan kepada orang ramai dan melindungi dana PRS. Namun, terdapat aspek perlindungan lain yang bersama dengan rangka kerja peraturan berperanan menjadikan PRS seberapa selamat yang boleh untuk penyimpanan dan pelaburan persaraan berjangka panjang.

Dalam artikel akan datang, kami akan berkongsi mengenai cara-cara pengurusan risiko dana PRS daripada perspektif pelaburan dan bagaimana risiko itu boleh ditangani, dan pada masa yang sama, mencari peluang-peluang pulangan kewangan.


Dato’ Steve Ong adalah CEO Pentadbir Pencen Swasta (PPA), pentadbir pusat Skim Persaraan Swasta (PRS). PPA diberi peranan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan industri PRS, mewujudkan kesedaran umum dan mendidik orang ramai mengenai penyimpanan persaraan. PPA juga berperanan melindungi kepentingan penyumbang PRS.

PPA mengalu-alukan soalan berkaitan perancangan persaraan. Sila hantar soalan anda kepada askppa@ppa.my


Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 62/Jun 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button