Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Melabur untuk Pertumbuhan atau Pendapatan?

Bagi pelabur-pelabur saham, soalan lazim yang selalu bermain dalam fikiran ialah “Patutkah saya melabur untuk pertumbuhan atau pendapatan?” Sebelum membuat keputusan, seorang pelabur perlu memahami perbezaan antara saham pendapatan dan saham pertumbuhan.

Apa sebenarnya saham pendapatan (income stock)?

Saham pendapatan ialah saham yang membayar dividen. Tujuan memiliki saham pendapatan ialah untuk mendapatkan dividen tinggi secara konsisten, iaitu sebagai sumber pulangan semasa dan bukannya untuk mengharapkan naik nilai harga saham anda. Harga saham pendapatan lazimnya kurang meruap (volatile) berbanding saham-saham lain yang didagangkan di pasaran saham. Oleh itu, apabila pasaran menurun, harga saham-saham pendapatan akan mengalami penurunan harga yang perlahan kerana para pelabur akan mengekalkan pegangan saham mereka selagi syarikat membayar dividen.

Saham-saham seperti ini kurang terjejas disebabkan oleh kitaran perniagaan, iaitu produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat masih tetap diperlukan pengguna walaupun keadaan ekonomi kurang baik. Ini termasuklah saham syarikat berkaitan kemudahan awam, makanan dan keperluan harian yang lain. Ini bererti, saham syarikat yang menawarkan produk dan perkhidmatan sebegini berisiko rendah.

Walau bagaimanapun, anda perlu memantau kadar faedah dan inflasi apabila melabur dalam saham-saham ini. Hal ini disebabkan ia sensitif kepada perubahan kadar tersebut. Apabila kadar faedah naik, atau jika kadar hasil dividen sesuatu saham itu kekal, ataupun turun pada tahap yang lebih rendah berbanding kadar faedah yang ditawarkan oleh instrumen pelaburan yang lain (seperti simpanan tetap ataupun bon korporat), maka harga saham ini mungkin turun. Selain itu, sekiranya kadar inflasi naik dan kadar hasil dividen sesuatu saham itu dikekalkan setiap tahun, hakikatnya, dividen sebenar yang diperolehi adalah lebih rendah.

Bagaimana pula dengan saham pertumbuhan (growth stock)?

Berbeza dengan saham pendapatan, saham pertumbuhan membayar dividen yang minimum ataupun tidak membayar dividen langsung. Sebaliknya, saham pertumbuhan menawarkan potensi pertumbuhan yang tinggi. Ia biasanya mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan purata (lazimnya dua angka), untuk tiga tahun berturut-turut . Kebanyakan syarikat pertumbuhan yang berpotensi terlibat dalam industri yang sedang berkembang pesat, seperti syarikat-syarikat teknologi maklumat dan teknologi bio. Syarikat-syarikat ini selalunya mendahului pasaran ataupun mempunyai potensi untuk mendahului pasaran. Antara ciri-ciri utama syarikat-syarikat ini ialah kos penyelidikan dan pembangunan mereka yang tinggi berbanding pendapatan mereka. Selain itu, syarikat-syarikat yang kukuh dalam bidang pasaran tertentu ataupun syarikat-syarikat yang mempunyai halangan kemasukan yang tinggi juga tergolong dalam kategori ini.

Walau bagaimanapun, melabur dalam saham pertumbuhan mempunyai risiko tersendiri. Oleh sebab potensi pertumbuhan ialah sesuatu yang belum terjadi dan persekitaran perniagaan sentiasa berubah-ubah, maka syarikat syarikat ini juga menanggung risiko yang lebih tinggi apabila produk dan perkhidmatan mereka gagal mengikuti perkembangan semasa dalam pasaran mereka.

Jadi, mana satu yang patut dipilih?

Sekarang, anda sudah mempunyai pemahaman asas mengenai saham pendapatan dan saham pertumbuhan serta perbezaan antara keduaduanya. Persoalannya yang mana satukah saham yang perlu dipilih? Bagi menentukan saham mana satu yang sesuai, anda perlu menilai kedudukan dan menetapkan matlamat kewangan anda terlebih dahulu. Secara amnya, sekiranya anda tergolong dalam kategori berikut, saham pendapatan lebih sesuai untuk anda kerana risikonya lebih rendah dan lebih mudah dijangka:

  • Anda inginkan pendapatan yang tetap daripada pasaran saham untuk menampung perbelanjaan anda; atau
  • Anda hampir bersara dan bergantung kepada pendapatan daripada pasaran saham untuk mengekalkan taraf kehidupan anda; atau
  • Anda baru sahaja hendak mula melabur dalam pasaran saham.

Manakala, saham pertumbuhan sewajarnya menjadi pilihan anda jika:

  • Anda mempunyai sejumlah wang dan ingin melabur untuk jangkamasa panjang bagi memperoleh kenaikan modal.

Pastikan anda mengenali saham syarikat yang dilaburkan

Membeli saham sesebuah syarikat secara tidak langsung bermakna anda memiliki sebahagian daripada perniagaan syarikat tersebut. Sekiranya anda yakin ia berpotensi tinggi dan memiliki asas/fundamental yang kukuh, maka anda perlu percaya kepada naluri dan meneruskan niat untuk melabur dalam syarikat tersebut.

Pendapat berikut mungkin tidak sama dengan pandangan umum, tetapi bukan semua syarikat dalam industri terbaru dan terkini merupakan pilihan pelaburan yang baik. Jangan melabur dalam saham syarikat teknologi bio semata-mata kerana orang ramai mengatakan ia bagus dan mereka juga melabur dalam syarikat itu. Sentiasa ingat bahawa anda perlu memahami perniagaan syarikat yang anda pilih dan bagaimana syarikat tersebut mengaut keuntungannya. Hal ini disebabkan oleh saham pertumbuhan biasanya berisiko tinggi kerana ketidakpastian dalam potensi perniagaan syarikat. Pastikan anda membuat kajian terlebih dahulu agar dapat mengurangkan kemungkinan anda kehilangan wang.

Tujuan utama melabur ialah untuk membuat wang, tidak kira sama ada ia membayar pendapatan dividen ataupun untung modal. Walau bagaimanapun, anda seharusnya membina portfolio berdasarkan keperluan peribadi – iaitu sama ada anda memerlukan wang untuk jangka masa pendek atau anda hendak mengumpul kekayaan dalam jangkamasa panjang. Anda juga boleh mencuba untuk menggabungkan kedua dua jenis saham dalam portfolio pelaburan dan menilai keuntungannya secara keseluruhan.

Sumber : www.investsmartsc.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 54/Oktober 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button