Pengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Matlamat Baru Kewangan Pada Tahun Baru

Cuba tanyakan pada diri anda sendiri, berapa peratuskah matlamat kewangan yang berjaya anda capai pada tahun 2011? Awal tahun 2012 ini merupakan masa yang paling sesuai untuk anda mengenal pasti matlamat perancangan kewangan tahun lalu dan menyemak semula impian serta rancangan kewangan yang tidak terlaksana. Mengenal pasti keadaan kewangan semasa anda adalah satu permulaan yang baik untuk anda perbaiki matlamat kewangan pada masa akan datang. Anda juga perlu menyenaraikan keutamaan dan berazam agar anda benar-benar dapat mencapainya pada tahun ini.

Setiap daripada kita mempunyai matlamat kewangan yang berbeza. Berikut adalah 10 resolusi kewangan yang boleh anda lakukan sempena Tahun Baru 2012.

1) Hentikan pembelian yang tidak perlu

Hentikan pembelian yang tidak perlu dan sentiasa mengingatkan diri anda terhadap matlamat utama yang ingin anda capai. Komitmen dalam tempoh jangka masa panjang akan membantu anda dalam meningkatkan keupayaan menguruskan kewangan dengan baik. Pengajaran dan pengalaman dapat mengubah minda anda dalam membuat keputusan perancangan kewangan.

2) Sentiasa semak aliran tunai anda

Sekiranya anda seorang yang tidak dapat mengawal perbelanjaan, anda harus mengetahui cara-cara yang berkesan untuk menyemak dan menguruskan aliran tunai wang masuk dan keluar secara sistematik. Sentiasa catatkan perbelanjaan harian dan bulanan anda. Anda boleh lihat corak perbelanjaan sebenar anda dan mulakan langkah untuk mengubah sikap anda berbelanja. Aktiviti ini memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Teruskan mencatat perbelanjaan anda sehingga ke akhir tahun dan nilai semula perubahan yang telah anda lakukan.

3) Memberi keutamaan untuk diri sendiri

Bayar untuk diri anda sendiri adalah merupakan perkara yang paling utama. Anda perlu membuat simpanan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bulanan anda. Tingkatkan simpanan dan pelaburan anda dari semasa ke semasa dengan mengambil kira kadar inflasi. Disiplinkan diri anda untuk membuat simpanan dan langkah yang bijak adalah dengan melakukan bayaran secara automatik ke dalam akaun simpanan anda.

4) Tetapkan matlamat kewangan anda

Anda perlu menetapkan matlamat kewangan anda dan impian yang ingin anda capai dalam pengurusan kewangan. Contohnya keputusan untuk membeli rumah, berkahwin, melanjutkan pelajaran, pendidikan anak-anak atau persediaan untuk bersara. Sekali lagi, anda perlu melihat senarai keutamaan dalam menetapkan matlamat kewangan anda.

5) Dapatkan perlindungan insurans yang bersesuaian

Kenal pasti perlindungan yang telah anda beli Adakah perlindungan tersebut mengikut keperluan anda dan kehendak semasa? Semak semula perlindungan anda, keluarga dan anak-anak anda.

6) Uruskan hutang anda dengan bijak

Senaraikan hutang anda mengikut urutan jumlah ansuran, baki hutang, kos pinjaman dan tempoh bayaran. Jika bayaran ansuran hutang melebihi 20% pendapatan bulanan, maka anda mungkin mempunyai masalah kewangan. Tetapkan azam dan disiplin anda untuk melunaskan hutanghutang anda mengikut tempoh bayaran.

7) Libatkan ahli keluarga anda

Libatkan seluruh ahli keluarga anda dalam pengurusan kewangan. Mulakan tahun baru dengan berbincang dan menentukan perbelanjaan keluarga anda. Didik anak anda untuk menyimpan sebahagian daripada wang saku dan hanya belanja kepada barangan yang perlu.

8) Tingkatkan pelan pelaburan anda

Pelaburan memerlukan tempoh masa yang panjang. Anda perlu tentukan jenis-jenis pelaburan yang bersesuaian dengan diri dan keluarga anda. Rujuk kepada pakar bertauliah sekiranya anda tidak pasti dengan produk-produk pelaburan yang ditawarkan.

9) Peruntukan kewangan anda kepada badan-badan kebajikan

Dalam mengejar kemewahan anda tidak harus lupa kepada orang-orang yang memerlukan bantuan. Dermakan wang anda kepada badanbadan kebajikan dan anda boleh mendapatkan pengecualian cukai daripada sumbangan tersebut. Sila rujuk Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk memastikan badan-badan kebajikan yang mendapat pengecualian cukai.

10) Tingkatkan pendidikan pengurusan anda

Tingkatkan pengetahuan anda dalam pengurusan kewangan melalui pembacaan majalah, buku-buku dan menghadiri seminar atau kursus. Anda perlu mencungkil rahsia kejayaan “mentor” kewangan anda dan dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada perunding kewangan anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 21/Januari 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button