Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Masa Yang Sesuai Untuk Membuat Pelaburan

Lazimnya pelabur yang bijak menyimpan wang yang secukupnya untuk keperluan kecemasan dan selebihnya dilaburkan untuk memaksimumkan pulangan. Untuk menentukan pelaburan mana yang sesuai dengan anda, maka anda perlu menilai jumlah wang yang mampu anda laburkan berdasarkan keadaan semasa kehidupan anda.

Pilih Pelaburan yang Betul

Matlamat dan keperluan anda

Pelaburan anda bergantung kepada matlamat anda, sama ada untuk membeli rumah, menyediakan pembiayaan untuk pendidikan anak anda atau keperluan anuiti persaraan.

Umur anda ketika melabur

Ini akan menentukan berapa banyak risiko yang anda boleh ambil. Contohnya, jika anda masih muda, anda boleh membuat pelaburan yang secara relatifnya lebih berisiko tinggi.

Pendapatan anda ketika melabur

Jika anda berpendapatan lebih tinggi, maka anda akan mempunyai wang yang lebih untuk dilaburkan.Tahap kekayaan juga mempengaruhi jenis pelaburan yang anda boleh lakukan.

Pekerjaan anda

Contohnya, jika terdapat pelan persaraan dalam pekerjaan anda, maka anda mungkin tidak perlu pelan persaraan lain.

Aset anda

Jenis aset yang anda milik memberi kesan terhadap tahap risiko yang anda hadapi. Simpanan dan deposit tetap mempunyai risiko yang paling minimum dan bon serta ekuiti mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Jangka masa

Bilakah anda mahu menjual aset anda? Anda perlu memastikan tempoh matang aset yang anda pilih.

Kecairan

Keperluan anda terhadap wang pada masa hadapan. Sekiranya anda perlu menggunakan wang dalam masa 2-3 bulan terdekat, anda mungkin perlu menyimpan wang anda di dalam deposit bank yang lebih mudah dicairkan berbanding dengan bon dan unit amanah.

Kesediaan menghadapi risiko

Nilai toleransi anda terhadap risiko. Sejauh mana anda boleh menghadapi ketidaktentuan pasaran?

Strategi Peringkat Hidup

Strategi peringkat hidup merupakan strategi yang lazim digunakan dalam perancangan kewangan untuk pelaburan. Pendekatan ini adalah berdasarkan kepada tempoh tertentu yang dilalui pelabur dalam hidupnya. Jadual di bawah memperjelaskan strategi berbeza yang boleh dilaksanakan seorang pelabur pada peringkat berbeza dalam hidupnya.

Lindungi Pelaburan Anda

Sekiranya anda ingin membuat sebarang pelaburan, perkara utama yang perlu anda lakukan ialah memahami sepenuhnya tentang pelaburan yang akan dibuat serta risiko yang terlibat. Apabila anda berurusan dengan penasihat kewangan, pastikan mereka benar-benar berkelayakan serta berpengalaman dan tidak terlibat dengan sebarang penipuan kewangan. Jangan terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan dan pilihan berkaitan pelaburan tanpa perancangan yang teliti terlebih dahulu. Berikut ialah amalan yang boleh anda guna pakai untuk membantu anda mengurangkan risiko yang dihadapi:

  • Jangan meminjam untuk melabur.
  • Jangan melabur hanya untuk mendapatkan pulangan yang tinggi dan cepat (contohnya skim
    cepat kaya).
  • Jangan melabur dalam pelaburan berisiko tinggi kecuali anda sudah bersedia.
  • Jangan melabur berdasarkan ‘hot tips’ dan khabar angin.
  • Dapatkan maklumat daripada sumber yang dipercayai, seperti laporan syarikat, media, kursus dan seminar.

Sumber : bankinginfo/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 13/Mei 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button