Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Masa Untuk Belajar Mengenai Pelaburan

Adakah anda seorang pelabur yang bijak? Adakah anda merupakan sebahagian daripada kumpulan pelabur yang istimewa kerana mempunyai pengetahuan yang cukup, tahu hak sebagai pelabur, terlindung daripada skim penipuan dan berusaha untuk mencapai matlamat kewangan? Seseorang pelabur menjadi pelabur yang bijak apabila dia memperoleh pengetahuan mencukupi mengenai pelaburan. Mengapa anda perlu menghabiskan masa untuk belajar mengenai pelaburan?

Di sini disenaraikan beberapa sebab (tetapi sebagai pelabur bijak, anda tentunya boleh menambah lebih banyak lagi)

  1. Anda boleh menentukan pelaburan yang betul dan konsisten dengan matlamat kewangan dan toleransi anda terhadap risiko.
  2. Anda boleh bertanya soalan yang betul kepada mereka yang arif, atau mendapatkan maklumat yang betul daripada sumber yang betul dan boleh dipercayai. Kemudian, anda akan lebih memahami dan dapat menggunakan jawapan atau maklumat tersebut untuk membuat keputusan pelaburan.
  3. Anda boleh memantau pelaburan secara lebih cekap dan berkesan.
  4. Anda boleh memaksimumkan pulangan pelaburan anda dengan menggunakan peluang yang ditawarkan oleh sesuatu pelaburan. Anda juga boleh mengubah strategi pelaburan anda jika ia sudah tidak lagi memenuhi objektif pelaburan anda.
  5. Anda boleh melindungi diri dan juga keluarga anda daripada skim penipuan.
  6. Anda tahu mengenai risiko pelaburan dan kesannya, serta berupaya untuk menguruskannya.
  7. Anda tahu mengenai hak anda sebagai pelabur dan berupaya melaksanakannya jika perlu.
  8. Anda boleh mendidik keluarga anda untuk menjadi pelabur bijak.

Bagaimana anda hendak menjadi pelabur yang berpengetahuan?

Kini anda menyedari tentang pentingnya pengetahuan dalam pelaburan. Disarankan di sini beberapa cara untuk membantu anda melengkapkan diri sebagai pelabur erpengetahuan.

  • Baca laporan kewangan, artikel mengenai kewangan peribadi dan buku-buku atau majalah mengenai pelaburan.
  • Dapatkan bantuan daripada golongan professional berlesen, seperti penasihat pelaburan atau perancang kewangan.
  • Hadiri seminar pendidikan mengenai perkara, seperti pelaburan atau perancang kewangan.
  • Layari laman sesawang pendidikan pelabur yang boleh dipercayai untuk mendapatkan lebih pengetahuan. Misalannya, laman sesawang Pelabur Malaysia http://www.min.com/. Tetapi berhati-hatilah dengan penipuan yang menggunakan Internet.
  • Bentuk kumpulan perbincangan untuk bertukartukar maklumat dan berkongsi pengalaman melabur. Ingatlah bahawa, “Kerja berkumpulan – kerja lebih ringan, kejayaan lebih berganda”. Tetapi jangan berkongsi ramalan, menyebarkan khabar angin atau maklumat tidak sah di kalangan ahli kumpulan perbincangan itu!
  • Hubungi Securities Industry Development Corporation (SIDC) – Jabatan Pendidikan Pelabur di nombor 03-6204 8889 untuk keterangan lanjut

Artikel perancangan kewangan dan pelaburan ini merupakan salah satu usaha berterusan SIDC dalam melahirkan pelabur yang arif dan berpengetahuan dalam pasaran modal. Selain itu, SIDC turut meningkatkan tahap kesedaran mengenai pelaburan bijak dan pengurusan kewangan melalui seminar dan bengkel pendidikan pelabur yang disasarkan untuk pelbagai lapisan masyarakat, seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, ibu bapa, wanita dan pekerja kolar putih dan biru. Untuk maklumat lanjut, layari www.min.com.my, hubungi 03-62048889 atau lawati Facebook kami di www.facebook.com/BMWSIDC.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 38/Jun 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button