Pelan PerbelanjaanPengguna

Manfaat dan Kemudahan Kad Pin & Bayar

Sejak 1 Januari 2017 yang lalu,bank-bank diseluruh Malaysia telah mengeluarkan kad PIN & Bayar yang memerlukan pemegang kad untuk memasukkan PIN atau Nombor Pengenalan Peribadi untuk membuat bayaran. Oleh itu, penggunaan tandatangan akan dihentikan apabila kad dan terminal pembayaran secara atas talian dinaik taraf. Kad PIN & Bayar diperkenalkan untuk meningkatkan keselamatan apabila membuat bayaran dan ia juga diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia selaras dengan piawaian global.

Keselamatan

  • Tahap keselamatan yang lebih tinggi berbanding dengan kad lama. Jika kad kredit atau kad debit anda hilang atau dicuri, pengguna lain tidak boleh menggunakan kad anda jika mereka tidak mengetahui PIN anda. Oleh itu, anda perlu merahsiakan PIN supaya kad anda dilindungi daripada penipuan akibat kehilangan dan kecurian.
  • Menyekat penipuan dan urus niaga tanpa kebenaran. Pengguna kad debit tidak menikmati perlindungan, tidak seperti pengguna kad kredit. Oleh itu, pengenalan kad PIN & Bayar ini amat diperlukan untuk menyekat penipuan dan urus niaga tanpa kebenaran dengan lebih berkesan.
  • Transaksi tanpa sentuh. Bagi urus niaga di bawah RM250, anda hanya perlu menyentuh kad anda di terminal pembayaran untuk membuat bayaran. Hal ini akan mempercepat transaksi dan mengurangkan keperluan untuk mengeluarkan wang dari ATM.

Perbelanjaan Pengguna

  • Anda boleh menukar kad sedia ada kepada kad PIN & Bayar di bank. Tiada bayaran tambahan dikenakan bagi mereka yang ingin menukar untuk kad PIN & Bayar yang baru.
  • Jika anda perlu menggantikan kad anda dengan segera (untuk tujuan melancong atau lain-lain), sesetengah bank boleh memenuhi permohonan anda. Oleh itu, anda bolehlah menghubungi bank anda untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas tentang perkara ini.

Kemudahan Kad PIN & Bayar

  • Proses untuk meluluskan transaksi cepat dan tidak rumit, malah perbezaan antara kad lama dan kad PIN ialah anda tidak perlu menandatangani pada slip tetapi anda hanya perlu memasukkan PIN anda di terminal pembayaran.
  • PIN tidak diperlukan jika membuat bayaran melalui transaksi tanpa sentuh seperti Visa payWave, MyDebit dan MasterCard Contactless. Walau bagaimanapun, jika pembelian anda lebih daripada RM250, anda akan diminta untuk memasukkan PIN apabila anda membuat pembayaran.

Nasihat Ringkas: Pastikan PIN anda tidak mudah diteka dengan mengelakkan penggunaan nombor yang boleh dikaitkan dengan anda seperti tarikh peribadi yang penting, contohnya hari lahir atau hari ulang tahun anda, nombor telefon atau nombor kad pengenalan.

Tidak Boleh Digunakan Untuk Pembelian Atas Talian

  • Nombor PIN digunakan untuk pembayaran menerusi kad kredit dan kad debit di terminal jualan (Point-Of-Sale terminal) sahaja, seperti ketika anda membuat bayaran untuk barangan runcit di pasar raya atau di stesen minyak. Namun begitu, anda tidak perlu menggunakan PIN untuk pembelian atas talian. Jika anda diminta untuk memasukkan PIN anda untuk pembelian atas talian, jangan berikan PIN anda dan laporkan isu ini kepada bank anda dengan segera.
  • Kad PIN & Bayar anda perlu mempunyai tarikh luput yang baharu. Oleh itu, pastikan anda telah mengemas kini maklumat untuk pembayaran bulanan bagi kad lama anda dengan kad PIN & Bayar ini.

Penggunaan Kad PIN & Bayar Di Luar Negara

  • Banyak negara telah menggunakan sistem PIN untuk memudahkan transaksi dan melindungi para pengguna.
  • Namun, terdapat juga negara yang masih belum menggunakan sistem PIN. Oleh itu, anda masih perlu menggunakan tandatangan untuk mengesahkan pembayaran di negara tersebut.
  • Hubungi bank anda untuk mendapatkan informasi tentang pembayaran di negara yang anda akan lawati untuk mengelakkan masalah pembayaran di Negara tersebut.

Kesimpulan

Penggunaan kad PIN & Bayar ini boleh membantu melindungi pengguna daripada penipuan akibat kehilangan atau kecurian kad. Hal ini disebabkan kedua-dua kad dan PIN diperlukan untuk membuat pembayaran dan kemudahan fungsi pembayaran tanpa sentuh akan memudahkan proses pembayaran.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 87/Julai 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button