Pelan PerbelanjaanPengurusan Kewangan

Mampukah Anda Menampung Kos Miliki Anak?

Mempunyai sebuah keluarga dengan kehadiran anak-anak merupakan satu kebahagiaan yang sangat bernilai. Apabila anda telah berkahwin, maka anda perlu bersedia dari segi emosi, fizikal dan kewangan untuk mengharungi segala cabaran yang bakal dihadapi.

Menurut Denise Chan, penulis portal kewangan Ringgitplus, terdapat beberapa perkara penting yang perlu anda dan pasangan anda teliti sebelum mempunyai anak:-

a) Insurans perubatan

Biasanya anda dan pasangan anda akan teruja apabila mendapat berita tentang kehamilan. Perkara penting yang anda dan pasangan perlu lakukan adalah menyediakan perlindungan perubatan sekiranya berlaku kes-kes kompilasi semasa bersalin. Kebanyakan kad perubatan dan perlindungan insurans kesihatan tidak mempunyai perlindungan bersalin. Anda boleh berhubung dengan syarikat insurans untuk mendapatkan perlindungan tambahan semasa mengandung dan melahirkan anak secara kompilasi. Kadar insurans mungkin berbeza mengikut umur, faktor kesihatan dan jumlah minimum yang boleh dilindungi.

b) Pemeriksaan kehamilan

Wanita yang mengandung perlu menjalani pemeriksaan wajib setiap bulanan di hospital bagi memantau perkembangan dan denyutan jantung janin dalam kandungan. Pemeriksaan perlu dilakukan seawal 10 hingga 12 minggu pertama kehamilan. Anda juga boleh melakukan pemeriksaan pada bila-bila masa sekiranya anda berasa tidak selesa dengan kehamilan anda.

Pemeriksaan kehamilan boleh dilakukan di klinik kesihatan ibu dan anak yang disediakan oleh kerajaan di setiap daerah atau kawasan. Sekiranya anda memilih untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik swasta, kadar bayaran bagi pemeriksaan kehamilan kemungkinan berbeza dan bergantung kepada keperluan anda. Anggaran bagi pemeriksaan kehamilan daripada RM80 hingga RM180.

c) Makanan tambahan untuk penjagaan kehamilan

Penjagaan makanan semasa kehamilan boleh memberi permulaan yang sihat kepada bayi anda. Makanan tambahan seperti Omega-3 Minyak ikan, Obimin dan Asid folik adalah makanan tambahan yang baik sepanjang kehamilan. Sesetengah hospital menyediakan beberapa makanan tambahan ini. Anda juga boleh membelinya di kedai-kedai farmasi. Ingat! Dapatkan terlebih dahulu nasihat daripada doktor berhubung dengan tahap kehamilan anda sebelum mengambil makanan tambahan. Anggaran kos setiap bulan bagi makanan tambahan ialah RM50 hingga RM150.

d) Kos wad

Kos bersalin bergantung kepada hospital yang anda pilih. Anggaran kos bersalin secara normal ialah RM300 (tidak termasuk wad dan bayaran lain) dan kos bersalin secara pembedahan pula ialah RM800 di hospital kerajaan. Manakala, kos bersalin di hospital swasta pula, anda perlu menyediakan kos lebih 5 hingga 6 kali ganda daripada kos di hospital kerajaan.

Selepas bersalin pula, anda perlu tinggal di wad selama beberapa hari untuk memantau keadaan diri anda dan bayi anda. Anggaran bayaran untuk satu katil sehari di hospital kerajaan ialah RM80. Hal ini tidak termasuk kos ubat-ubatan dan perkhidmatan lain. Manakala, kos satu katil bagi hospital swasta pula, sekurang-kurangnya RM120 hingga RM150 sehari bergantung pada jenis bilik.

e) Berpantang

Untuk penjagaan selepas bersalin, tempoh berpantang adalah masa yang penting bagi ibu-ibu selepas bersalin. Ketika ini, seorang wanita berpantang perlu mengupah pembantu untuk memasak, memandikan bayi dan melakukan urutan secara tradisional. Sekiranya anda inginkan penjagaan seumpama ini, anggaran kos yang akan terlibat adalah antara RM3,000 hingga RM4,000.

f) Penjagaan Perubatan untuk Anak

Suntikan imunisasi perlu diberikan kepada anak anda. Antara vaksinasi mandatori yang perlu diambil oleh anak anda seawal usia satu bulan pertama hingga umur dua tahun seperti Hepatitis B, Difteria, Tetanus, Pertussis (batuk kokol) / dan Haemophilus influenzae jenis B. Vaksinasi ini boleh melindungi anak anda daripada penyakit yang mengancam nyawa. Anda juga boleh mendapatkan suntikan imunisasi di klinik-klinik kerajaan secara percuma. Namun, sekiranya anda memilih untuk mendapatkan suntikan mandatori di klinik-klinik biasa dengan anggaran kurang daripada RM1,000 dan pakar kanakkanak dengan anggaran sehingga RM3,000.

g) Pusat Jagaan Kanak-Kanak atau Pengasuh

Bagi ibu yang bekerja, selepas selesai cuti bersalin, anda perlu bertugas seperti biasa. Anda perlu membuat keputusan sama ada ingin mendapatkan khidmat Pusat Jagaan Kanak-Kanak atau pengasuh. Kos untuk mendapatkan khidmat pengasuh biasanya lebih mahal berbanding Pusat Jagaan Kanak-Kanak. Anggaran bagi mendapatkan kedua-dua khidmat tersebut adalah daripada RM400 hingga RM850 sebulan.

h) Barangan keperluan

Bayi memerlukan sepenuh perhatian sepanjang 24 jam, termasuk penjagaan masa minum susu, belian pakaian baru setiap dua hingga tiga bulan, lampin pakai buang dan barangan permainan bayi mengikut peringkat umur. Pembelian seperti kereta bayi, katil bayi merupakan pelaburan untuk sekali sahaja. Kos bagi barangan keperluan bayi secara bulanan boleh mencecah antara RM100 hingga RM1,000 sebulan.

Penulis menunjukkan harga barangan keperluan bayi dan jumlah kos bagi setiap bulan.

Harga di atas merupakan anggaran perbelanjaan yang diperlukan oleh seorang bayi untuk sebulan. Penyediaan keperluan bayi juga bergantung pada kemampuan anda sebagai ibu bapa. Paling penting, anda perlu menyenaraikan barangan mengikut keutamaan dan bajet anda.

Langkah-langkah penjimatan untuk penjagaan bayi

a) Memasak sendiri makanan bayi anda

Bayi yang berusia enam bulan ke atas boleh diberi makanan lembut. Anda boleh menyediakan sendiri makanan bayi anda seperti bubur dicampur lobak merah dan kentang yang direbus. Penyediaan makanan sendiri ini lebih menyihatkan dan menjimatkan perbelanjaan anda.

b) Menggunakan kemudahan hospital kerajaan

Anda boleh mendapatkan perkhidmatan hospital kerajaan untuk pemeriksaan rutin dan rawatan perubatan susulan secara percuma, melainkan jika bayi anda memerlukan rawatan khusus atau kecemasan.

c) Membeli barangan terpakai

Anda boleh membeli barangan terpakai seperti peralatan permainan bayi dan kelengkapan bayi. Pastikan tahap kebersihan peralatan tersebut terlebih dahulu sebelum anda membelinya.

Secara asasnya, anak ialah satu anugerah yang paling berharga. Andalah yang mencorakkan masa hadapan anak anda dengan memberikan kasih sayang, menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada bayi anda. Sebagai ibu bapa, anda perlu membuat persiapan mengikut kemampuan anda sendiri. Buatlah perancangan secara bijak.

Sumber : Denise Chan, penulis Ringgitplus/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 56/Disember 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button