Pengurusan Kewangan

Mahasiswa Perlu Bijak Urus Pinjaman

Suasana kehidupan di kampus berlainan dengan suasana persekolahan. Dahulu semasa di alam persekolahan, semuanya diuruskan oleh ibu bapa, tetapi kini mahasiswa perlu mengambil tanggungjawab tersebut. Di samping mengulang kaji pelajaran, melengkapkan tugasan dan belajar untuk peperiksaan, mahasiswa juga perlu mengurus sumber  kewangan mereka sendiri.

Sumber kewangan mahasiswa sangat terhad, iaitu pendapatan utama mereka diterima daripada biasiswa, pinjaman pendidikan dan bantuan kewangan daripada ibu bapa atau ahli keluarga. Kemahiran pengurusan kewangan peribadi amat penting dalam usaha untuk memastikan kelangsungan hidup mahasiswa dalam situasi ekonomi semasa yang tidak menentu.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang menawarkan pinjaman untuk pelajar melanjutkan pendidikan tinggi di Malaysia. Bagi mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan mengikuti kursus ijazah sarjana muda sastera misalnya, mereka akan menerima wang pinjaman pendidikan daripada PTPTN sebanyak RM3,090 untuk tempoh satu semester.

Anggaran yuran pengajian yang dikenakan adalah sebanyak RM1,400 bagi satu semester. Ini bermakna wang pinjaman PTPTN bersih yang diterima adalah sebanyak RM1,690. Jumlah ini perlu diurus untuk menampung keperluan perbelanjaan selama satu semester atau empat bulan.

Secara purata, seorang mahasiswa akan mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM430 daripada pinjaman pendidikan mereka. Berdasarkan senario diatas, ramai dalam kalangan mahasiswa menyatakan bahawa amaun yang diterima tidak mencukupi untuk menyara kehidupan mereka di kampus. Walau bagaimanapun, ada yang menyatakan bahawa mereka boleh menyimpan daripada wang pinjaman pendidikan yang diterima. Malahan ada yang boleh membantu keluarga mereka pula.

Harus diingatkan bahawa sama ada wang pinjaman tersebut mencukupi atau tidak adalah suatu yang bersifat subjektif, sukar diukur dan tidak sama untuk semua individu. Perbincangan di sini bukanlah bertujuan menentukan sama ada jumlah pinjaman diterima itu mencukupi atau sebaliknya. Persoalan utama yang perlu difikirkan adalah bagaimana wang pinjaman pendidikan itu diurus dan dibelanjakan.

Kemahiran

Kemahiran pengurusan kewangan ini perlu dikuasai oleh mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang serba mencabar. Selepas mempunyai kerjaya, komitmen kewangan semakin bertambah, terutama apabila mereka mula mengambil pelbagai jenis pinjaman, seperti pinjaman kenderaan, peribadi, kad kredit dan perumahan. Mereka yang mempunyai literasi kewangan yang rendah, sudah pasti akan menanggung bebanan hutang, yang akan menjadi masalah besar dalam kehidupan mereka.

Keadaan yang berbeza pula bagi mereka yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentang pengurusan kewangan peribadi. Lantaran itu, mengurus wang pinjaman pendidikan adalah salah satu kaedah efektif untuk mahasiswa belajar cara menguruskan sumber kewangan mereka yang terhad.

Hal ini termasuklah soal bagaimana wang mereka diagihkan, ke mana wang dibelanjakan dan bagaimana wang tersebut boleh dilipatgandakan. Dua kemahiran asas pengurusan kewangan peribadi yang penting di sini ialah soal penyediaan bajet dan merekodkan perbelanjaan. Bajet atau rancangan perbelanjaan boleh disediakan dalam bentuk mingguan atau bulanan atau semester mengikut keselesaan masing-masing.

Penyediaan bajet memerlukan seseorang untuk menyenaraikan item  perbelanjaan  yang sering dilakukan, misalnya makanan dan minuman, keperluan pembelajaran, aktiviti kokurikulum dan perbelanjaan lain. Melalui bajet yang disediakan, mahasiswa dapat membuat perbandingan antara jumlah anggaran dan jumlah perbelanjaan sebenar.

Seterusnya, mahasiswa akan melihat sama ada perbelanjaan yang dilakukan melebihi daripada pendapatan (wang pinjaman pendidikan) yang diterima atau sebaliknya. Sekiranya terdapat lebihan wang pada bulan tersebut, bolehlah dibuat simpanan atau digunakan untuk keperluan perbelanjaan lain. Sekiranya berlaku defisit, mahasiswa perlu melihat semula ke mana wang tersebut dibelanjakan. Mahasiswa boleh mengenal pasti item perbelanjaan yang kurang penting, seperti makan di luar, pembelian gajet dan aksesori serta aktiviti hiburan seperti menonton wayang. Ini bukan bermaksud mereka langsung tidak boleh berbelanja terhadap item tersebut. Tidak salah jika sekali sekala mereka berbelanja ke atas item itu, tetapi mereka perlu bijak mengawalnya agar tidak melebihi bajet yang ditetapkan.

Gaya berbelanja perlu diubah sesuai dengan status sebagai seorang pelajar. Kaedah lain yang boleh difikirkan untuk menampung defisit tadi ialah dengan mencari pendapatan tambahan, sama ada dengan melakukan kerja sambilan atau menggunakan kemahiran dan bakat yang ada pada diri sendiri, asalkan ia tidak mengganggu pembelajaran.

Catatkan semua perbelanjaan dan menjadikannya sebagai budaya. Hampir semua mahasiswa memiliki telefon pintar tetapi berapa ramai yang telah memuat naik aplikasi pengurusan kewangan peribadi dalam telefon pintar mereka serta menggunakannya? Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh dimuat naik secara percuma, antaranya MyTabung BNM, Buku Bajet, Money Manager Expense & Budget, Wallet & Budget Tracker, eZ Budget Planner dan sebagainya. Tiada alasan sekiranya mahasiswa sendiri tidak mengetahui ke mana wang mereka dibelanjakan. Gunakan kemudahan teknologi yang ada dengan sebaiknya.

Pengalaman berada di kampus selama empat tahun adalah satu tempoh masa yang sesuai untuk mahasiswa memantapkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan kewangan peribadi. Biasanya, mahasiswa yang bijak menguruskan kewangan mereka ialah yang mempunyai pencapaian akademik yang baik. Amalkan hidup dalam kesederhanaan, ubah cara gaya hidup dan menjadikan amalan pengurusan kewangan yang betul sebagai budaya hidup anda sebagai mahasiswa.

Mahasiswa disaran agar belajar untuk mengurus pinjaman pendidikan yang diterima sebaik mungkin dan berhemat. Hal ini disebabkan keupayaan mengurus kewangan secara bijak ketika belajar akan membantu dan memudahkan mereka untuk membayar balik pinjaman PTPTN selepas tamat pengajian.

Penulis ialah Prof Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button