Pengurusan Kewangan

Lima Cara Mengurus Wang

Artikel ini akan membincangkan cara-cara yang boleh anda gunakan untuk mengurus wang dengan bijak. Dengan menggunakan panduan yang diberikan, anda akan dapat mengenal pasti teknik yang boleh diguna dalam mengurus wang dan memikirkan cara-cara lain yang bersesuaian dengan diri sendiri.

1) Urus Perbelanjaan Anda Dengan Bijak

Kaji semula perbelanjaan anda dan kenal pasti perbelanjaan tetap dan boleh ubah. Bagi perbelanjaan boleh ubah seperti makan di tempat kesukaan atau membeli belah, kurangkan atau hadkan kekerapannya dan apa yang diperlukan adalah sedikit disiplin dan perubahan kepada aktiviti sosial anda.

Bagaimana pula dengan perbelanjaan tetap? Ia adalah perbelanjaan yang tidak boleh dielak atau dikurangkan terus untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan anda. Perkara yang selalunya dalam kategori ini melibatkan perbelanjaan besar seperti:

  • Pembiayaan rumah, kenderaan atau pinjaman pendidikan;
  • Pembayaran insurans; dan
  • Bil-bil lain yang tetap bayarannya, seperti bil pembetungan, cukai pintu dan cukai tanah Walaupun anda tidak boleh menghapuskan perbelanjaan sebegini, ada cara-cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbelanjaan ini.

2) Kawal Perbelanjaan Anda

Anda sepatutnya tidak berbelanja dengan sewenangwenangnya. Segala usaha anda dalam berjimat cermat akan menjadi tidak berguna jika wang tunai berkurangan dan komitmen lain bertambah. Ingat! Hanya berbelanja untuk keperluan dan tangguhkan apa yang boleh.

3) Hadkan Penggunaan Kad Kredit

Jika anda gemar berbelanja menggunakan kad kredit tanpa sebarang rasa bersalah, sudah tiba masanya sifat tersebut dikikis. Kad kredit memang memberi kemudahan, namun ia boleh menyusahkan jika anda tidak berdisiplin apabila menggunakannya. Dengan kad kredit, anda sebenarnya berbelanja menggunakan duit yang anda tidak ada pada masa ini. Lagi banyak anda berbelanja dan berhutang dengan bank, lagi tinggi bayaran dikenakan selepas dicampur dengan bayaran kadar faedah dan caj-caj lain. Hadkan penggunaan kad kredit kepada satu atau dua kad sahaja. Elakkan hutang kad kredit anda daripada terus bertambah dan jika boleh, jelaskan semua hutang kad kredit setiap bulan.

4) Bina Simpanan Anda

Apabila telah mampu menguruskan wang, besar kemungkinan anda mempunyai lebihan wang tunai. Gunakan lebihan ini untuk membina simpanan. Pastikan simpanan ini mampu bertahan selama sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menanggung perbelanjaan kehidupan seharian. Jika anda mempunyai lebihan daripada simpanan, anda boleh ke langkah seterusnya.

5) Cari Peluang-Peluang Pelaburan Yang Ada

“Di mana ada masalah, di situ ada peluang” – Robert Kiyosaki. Kebanyakan orang gagal untuk melihat peluang yang ada daripada sesuatu krisis. Sebenarnya, ketika waktu yang tidak menentu, terdapat peluang-peluang yang baik dalam pelaburan, tidak kira dalam pasaran saham, hartanah atau produk pelaburan yang lain. Oleh itu, jika mempunyai lebihan wang, pelajari kaedah dan cari peluang-peluang pelaburan yang ada dengan mengambil kira tahap toleransi risiko anda.

Sebenarnya, terdapat pelbagai lagi teknik dan cara yang boleh anda gunakan untuk mengurus wang dengan bijak. Setiap satunya terpulang kepada cara hidup dan apa yang anda anggap penting dalam hidup. Berhubung dengan kami melalui Facebook dengan menaip “Bijak Mengurus Wang SIDC” dan ketahui lebih banyak maklumat mengenai topik pengurusan kewangan dan pelaburan bijak.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 27/Julai 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button