Skip to toolbar
Pelan PerbelanjaanPenggunaPengurusan HutangPinjaman

Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar

Institusi perbankan telah memberikan penangguhan kepada pembayaran balik pinjaman / pembiayaan (moratorium) selama 6 bulan iaitu bermula 1 April 2020 sehingga 30 September 2020. Menurut laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementerian Kewangan Malaysia yang memantau pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), sehingga 14 Ogos 2020, jumlah moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang dimanfaatkan oleh rakyat adalah RM48.3 bilion, manakala RM26.0 bilion lagi dimanfaatkan oleh sektor perniagaan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan moratorium berada pada paras RM74.3 bilion.

Sememangnya, skim moratorium ini memberi ruang kelegaan sementara terutamanya kepada golongan yang teruk terjejas dan kehilangan punca pendapatan akibat wabak COVID-19. Dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi yang semakin meluas kini, situasi ekonomi rakyat juga dijangka akan pulih secara berperingkat dan peminjam bolehlah mula menunaikan komitmen pembayaran semula hutang. Bagi mereka yang masih terkesan, kerajaan telah mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar. Pelanjutan ini terpakai kepada individu yang hilang pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan yang baru, serta individu yang masih bekerja, tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19. Di samping itu, institusi kewangan juga telah memberikan komitmen untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat COVID-19.

Bagi mereka yang berada dalam kategori di atas, dan menjangkakan cabaran untuk memenuhi komitmen hutang menjelang tamatnya moratorium pada September 2020, dapatkan bantuan awal dengan menghubungi bank anda. Panduan persediaan menyambung semula komitmen pembayaran balik pinjaman:

1) Jangan tunggu saat akhir

Buat perancangan awal kewangan anda sebelum penangguhan pembayaran balik pinjaman berakhir, sebaiknya mula dari sekarang. Hubungi institusi perbankan pinjaman anda untuk berbincang mengenai pinjaman anda.

2) Kaji semula bajet bulanan

  • Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan, hanya 1 daripada 10 rakyat Malaysia mempercayai bahawa mereka tidak berdisiplin dalam mengurus kewangan mereka.
  • Pengurusan kewangan perlu dilakukan dengan lebih cermat, teliti dan mengambil kira kemungkinan yang berlaku seperti pemotongan elaun, gaji dan mungkin juga pemberhentian kerja.
  • Dahulukan perbelanjaan penting seperti pembayaran hutang, bil, sewa rumah dan lain-lain.
  • Tangguhkan perbelanjaan yang tidak penting seperti makan di luar dan hiburan.

3) Jangan terjebak dengan skim penipuan kewangan

Elakkan daripada menambah hutang sedia ada walaupun diberikan diskaun untuk pembelian dalam talian dan sebagainya. Kebiasaannya apabila pendapatan tidak mencukupi, terdapat sesetengah pengguna yang mengambil keputusan untuk membuat pinjaman daripada Ah Long dan ada juga terjerat dalam penipuan seperti mangsa keldai akaun. Berfikirlah secara rasional sebelum mengambil tindakan yang boleh menjerumuskan kita kepada masalah kewangan yang lebih kompleks.

Sekiranya anda berasa tidak puas hati dengan keputusan selepas perbincangan dengan institusi kewangan, anda boleh merujuk perkara berkenaan di talian 1-300-88-5465 dan emel aduan anda kepada bnmtelelink@bnm.gov.my atau melalui borang maklumat di pautan https://telelink.bnm.gov.my/

Selain itu, anda juga boleh rujuk AKPK di talian khidmat pelanggan 03-2616 7766 atau melalui laman web www.akpk.org.my serta pautan http://bit.ly/AKPKdmp2020 untuk mendapatkan khidmat kaunseling kewangan. Mereka akan memberi nasihat bagaimana anda boleh merancang pembayaran balik pinjaman dan juga cara untuk mengurus dan menyelesaikan semula hutang anda.

Sumber: www.fomca.org.my/www.bnm.gov.my/www.akpk.org.my/Edisi 113/Sept 2020

Artikel Berkaitan

Back to top button