Pelan PenyimpananPelan PerlindunganPengguna

Langkah-Langkah Perlindungan Kewangan Diperkukuhkan Bagi Pengguna (Bahagian 2)

Apakah yang akan berlaku sekiranya bank, syarikat insurans atau pengendali takaful gagal? Pengguna mungkin tertanya-tanya apakah jaminan yang ada bagi memastikan mereka memperoleh manfaat insurans atau takaful mereka. Justeru, setiap pengguna akan berasa lega dan tenang apabila mengetahui bahawa manfaat insurans atau takaful mereka adalah dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

PIDM merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2005 untuk melindungi penyimpan yang mempunyai deposit di bank, pemilik polisi insurans atau peserta takaful sekiranya berlaku kegagalan institusi ahli.

Perlindungan Ke Atas Manfaat Insurans dan Takaful:

 Semua syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen di Malaysia adalah merupakan ahli penginsurans PIDM. Keahlian adalah wajib mengikut peruntukan Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia.

Mulai 31 Disember 2010, peranan PIDM telah diperluas bagi mentadbir sistem yang diperkenalkan oleh Kerajaan iaitu Sistem Perlindungan Manfaat Insurans dan Takaful. Berdasarkan sistem perlindungan ini, andainya sesebuah ahli penginsurans mengalami kegagalan, PIDM akan memenuhi tuntutan manfaat insurans atau takaful yang layak di bawah perlindungan polisi insurans dan sijil takaful anda, yang dibeli daripada ahli penginsurans sekiranya berlaku peristiwa tuntutan, kematangan atau serahan polisi insurans atau sijil takaful.

Sila perhatikan tanda keahlian ini di semua pintu masuk pejabat syarikat insurans atau pengendali takaful anda.

Pemegang polisi insurans atau peserta takaful yang layak mendapat perlindungan di bawah sistem ini termasuklah individu, perniagaan milikan tunggal, perkongsian, kesatuan sekerja, persatuan berdaftar, koperasi, badan amal berdaftar dan perbadanan

Manfaat insurans dan takaful yang dilindungi di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Insurans dan Takaful dan skop perlindungan berkaitan boleh dirujuk dalam Jadual 1 dan Jadual 2 seperti berikut.

Jadual 1: Manfaat Dilindungi bagi Insurans Hayat dan Takaful Keluarga

Jadual 2: Manfaat Dilindungi bagi Takaful Am dan Insurans Am

Untuk layak mendapat perlindungan di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Insurans dan Takaful, polisi insurans atau sijil takaful mesti dikeluarkan di Malaysia oleh ahli penginsurans dalam mata wang Ringgit Malaysia. Sebarang tuntutan adalah tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan dalam kontrak insurans atau takaful.

Manfaat insurans atau takaful yang tidak dilindungi di bawah sistem ini termasuklah polisi insurans atau sijil takaful dalam mata wang asing dan tuntutan kerosakan kepada harta tak ketara.

Bahagian pelaburan bagi polisi atau sijil berkaitan pelaburan (investment-linked) adalah tidak dilindungi, tetapi bahagian manfaat polisi insurans atau sijil takaful yang sama adalah dilindungi di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Insurans dan Takaful.

Sekiranya anda membeli polisi insurans atau sijil takaful dengan manfaat yang sama daripada beberapa ahli penginsurans, manfaat insurans dan takaful anda dengan ahli penginsurans berbeza adalah dilindungi secara berasingan.

Sekiranya berlaku kegagalan sesebuah ahli penginsurans, anda tidak perlu mengemukakan sebarang tuntutan. PIDM akan membuat pengumuman untuk memaklumkan mengenai pembayaran balik kepada pemegang polisi insurans atau peserta takaful bagi manfaat dilindungi yang layak sekiranya berlaku peristiwa tuntutan, kematangan atau serahan sijil takaful atau polisi insurans. Pembayaran balik ini akan dibuat berdasarkan rekod yang diperoleh daripada syarikat insurans atau pengendali takaful yang terlibat.

PIDM juga boleh mengaturkan pindahan polisi insurans atau sijil takaful daripada ahli penginsurans yang gagal kepada ahli penginsurans lain bagi memastikan kesinambungan, khususnya yang berkaitan insurans hayat atau takaful keluarga.

Tiada Permohonan dan Tiada Pembayaran

Sistem Perlindungan Manfaat Insurans dan Takaful disediakan oleh PIDM secara automatik dan tidak memerlukan sebarang permohonan. Pemegang polisi insurans dan sijil takaful tidak dikenakan bayaran bagi perlindungan yang disediakan oleh PIDM.

Untuk maklumat lanjut mengenai sistem perlindungan ini, sila hubungi talian maklumat bebas tol PIDM 1-800-88-1266 (Isnin hingga Jumaat dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang), atau e-mel kepada info@pidm.gov.my, atau layari laman sesawang PIDM di www.pidm.gov.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 38/Jun 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button