Skip to toolbar
Pelan PenyimpananPerbankan

Langkah-langkah Pengendalian Mata Wang Malaysia

Pengenalan

Bank Negara Malaysia (BNM) komited dalam usaha memelihara alam sekitar dan melestarikan sumber asli untuk kepentingan dan manfaat generasi akan datang. Menyedari akan keperluan ini, BNM sentiasa memastikan wang kertas dan duit syiling Malaysia yang digunakan oleh orang ramai mempunyai tahap integriti yang tinggi, iaitu mempunyai ciri-ciri keselamatan yang moden dan terkini; menepati standard kualiti yang ditetapkan dengan menggabungkan pelbagai inovasi dan ciri keselamatan yangmlebih canggih dari segi teknologi berbanding dengan siri wang kertas dan duit syiling keluaran terdahulu; serta dijaga dengan betul dan baik bagi memastikan jangka hayatnya dalam edaran lebih lama. Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan tempoh penggunaan mata wang negara adalah lebih lama supaya sumber alam sekitar dapat dipelihara dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Bagi mencapai matlamat ini, penting bagi kita sebagai pengguna untuk memastikan wang kertas dan duit syiling Malaysia dalam edaran berada dalam keadaan yang baik serta mudah dipastikan ketulenannya. Dua denominasi wang kertas yang sering digunakan ialah RM1 dan RM5 yang diperbuat daripada substrat polimer. Antara manfaat wang polimer adalah seperti yang berikut:

  • Tahan lebih lama,
  • Boleh dikitar semula,
  • Tidak menyerap cecair,
  • Lebih bersih, dan
  • Sukar dikoyakkan.

Bagi memastikan wang kertas RM1 dan RM5 dapat digunakan untuk jangka masa yang lebih panjang, langkah-langkah pengendalian berikut perlu dilakukan:

  • Jangan ikat wang polimer dengan getah. Sebaliknya, gunakan pembalut kertas.
  • Jangan lipat wang polimer. Sebaliknya, simpan wang ini secara menegak.
  • Bersihkan wang polimer dengan air jika terdapat kekotoran.

A. Standard Kualiti Mata Wang Dalam Edaran

Wang kertas Malaysia diterima untuk pembayaran dan sesuai diedarkan semula apabila memenuhi semua kriteria yang berikut:

  • Tulen dan bukan palsu;
  • Tidak berlubang, koyak, bertampal atau hilang beberapa bahagian daripadanya;
  • Bersih secara keseluruhan dan tidak terlalu kotor;
  • Tidak luntur, terutamanya pada potret SPB Yang di-Pertuan Agong; dan
  • Tidak berconteng.

Wang kertas dan duit syiling yang tidak lagi sesuai digunakan untuk pembayaran mahupun edaran semula boleh ditukar di mana-mana bank perdagangan, Ibu Pejabat BNM di Kuala Lumpur atau Pejabat BNM di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching. Wang kertas tidak lagi sesuai untuk edaran semula sekiranya:

  • Terbakar,
  • Renyuk,
  • Berlubang,
  • Luntur warna,
  • Mengecut, atau
  • Diubah suai (termasuk contengan)

Gantian nilai bagi wang kertas yang tidak sesuai untuk edaran semula tertakluk kepada garis panduan seperti yang berikut:

  • Saiz wang kertas
    • Nilai penuh – Lebih 2/3 daripada saiz asal wang kertas
    • Nilai separuh – Lebih 1/2 tetapi kurang 2/3 daripada saiz asal wang kertas
    • Tiada nilai – Kurang 1/2 daripada saiz asal wang kertas
  • Wang kertas yang berconteng
    • Nilai penuh – Contengan yang sedikit
    • Tiada nilai – Contengan yang ketara, contengan tanda pada potret SPB Yang di-Pertuan Agong atau contengan berunsurkan politik, agama atau perkauman.

Gantian nilai bagi duit syiling yang tidak sesuai untuk edaran pula adalah seperti yang berikut:

  • Nilai penuh – Kemik, terhakis tetapi paparan denominasi masih kelihatan, terbakar, kotor, kecacatan pengilangan
  • Tiada nilai – Berlubang, dipotong, terbelah

B. Ciri-ciri Keselamatan Mata Wang Dalam Edaran

Dalam laman sesawang BNM, anda boleh melihat panduan mudah untuk mengenal pasti ciri-ciri keselamatan pada wang kertas melalui kaedah rasa, lihat dan sendeng. Maklumat lanjut adalah seperti yang berikut:

Sebagai contoh, berikut adalah ciri keselamatan wang kertas denominasi RM50

Sila imbas kod QR di bawah atau rujuk laman sesawang BNM melalui http:// www.bnm.gov.my/securityfeatures untuk panduan bergambar yang menerangkan ciri-ciri keselamatan bagi setiap denominasi wang kertas.

 

 

 

 

Selain itu, BNM turut mengeluarkan aplikasi mudah alih MyRinggit bagi memudahkan orang ramai mempelajari serta memeriksa ciri-ciri keselamatan mata wang Malaysia bagi setiap denominasi. Aplikasi MyRinggit kini boleh didapati di Apple Store dan juga Google Play. Muat turun sekarang.

 

 

 

C. Perkara Yang Perlu Dilakukan Sekiranya Mendapat / Menerima Wang Palsu
Wang kertas palsu tidak mempunyai nilai. Jika anda ragu-ragu mengenai ketulenan wang kertas ketika melakukan transaksi,
ikuti langkah-langkah mudah yang berikut:

a) Minimumkan sentuhan terhadap wang kertas yang disyaki palsu,
b) Jangan tulis, conteng, potong atau ubah paparan wang kertas yang disyaki palsu,
c) Jangan edar semula wang kertas yang disyaki palsu,
d) Simpan wang kertas yang disyaki palsu dalam sampul surat atau sampul plastik,
e) Catat maklumat tentang cara anda menerima wang kertas yang disyaki palsu dalam kertas yang berasingan, dan
f) Laporkan segera kepada pihak polis sekiranya mendapat atau menemui wang kertas yang disyaki palsu.

Sumber:www.bnm.gov.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 111/Januari 2020

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button