Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Langkah Ke Arah Pengurusan Kewangan Berhemat dan Amalan Perniagaan yang Bertanggungjawab

Penggunaan kad kredit, yang dikeluarkan oleh institusi-institusi perbankan dan pengeluar yang lain, semakin mendapat tempat sebagai instrumen pembayaran dalam kalangan rakyat Malaysia. Statistik Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia, setakat Jun 2011, telah menunjukkan rakyat Malaysia secara purata mempunyai baki tertunggak sebanyak RM3,900 untuk setiap kad kredit yang dimiliki. Sehubungan ini, perkembangan penggunaan kad kredit yang semakin meluas perlu dipantau dengan sewajarnya bagi melindungi kepentingan pengguna secara keseluruhannya.

Langkah-langkah Baru

Sebagai langkah menggalakkan amalan perniagaan yang wajar dan bertanggungjawab oleh pengeluar kad kredit, beberapa langkah baru telah diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia, yang akan berkuatkuasa mulai 2012. Antara langkah-langkah yang diperkenalkan adalah:

  1. Kelayakan pendapatan minimum untuk pemegang kad kredit baharu ditetapkan pada RM24,000 setahun;
  2. Bagi pemegang kad yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja. Pemegang kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar diberikan tempoh sehingga akhir tahun 2011 untuk menentukan pengeluar kad pilihan masing-masing. Pemegang kad juga akan diberikan tempoh sekurangkurangnya dua tahun untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang telah dibatalkan bagi memenuhi keperluan ini. Di samping itu, had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar. Sekiranya pemegang kad sedia ada mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum kredit yang ditetapkan, pemegang diberi tempoh tangguh selama dua tahun untuk memenuhi keperluan baharu ini.

Pengeluar kad disarankan agar berbincang dengan pemegang kad yang terbabit bagi membantu mereka menstrukturkan semula pembayaran hutang dalam usaha memudahkan pelaksanaan langkah ini. Selain itu, pemegang kad juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan nasihat berkaitan dengan pengurusan hutang mereka.

Tanggungjawab Pengeluar Kad Kredit Dalam Pemberian Kad Kredit

  1. Wajar, telus dan bertanggungjawab dalam memasarkan dan menawarkan kad kredit kepada pengguna.
  2. Tidak dibenarkan untuk menaikkan had kredit pemegang kad tanpa persetujuan pemegang kad terlebih dahulu.

“Pemegang kad juga akan  diberikan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang telah dibatalkan ….”

  1. Tidak dibenarkan untuk menawarkan pendahuluan kredit dalam bentuk cek berbayar kepada pemegang kad melainkan pemegang kad kredit telah memohon untuk pendahuluan kredit.
  2. Bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan dan keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi, pengeluar kad dikehendaki menyediakan lembaran penzahiran produk (product disclosure sheet) yang mengandungi maklumat penting mengenai ciri-ciri kad, fi dan tanggungjawab pemegang kad.
  3. Memberikan peringatan dengan jelas untuk memberitahu pemegang kad akan implikasi jika hanya membuat bayaran secara minimum dan sebahagian.

“Memberikan peringatan dengan jelas untuk memberitahu pemegang …”

  1. Pengeluar kad kredit perlu memaklumkan kepada pemegang kad kredit mengenai tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan keseluruhan baki pinjaman (dengan andaian tiada sebarang transaksi selanjutnya) dan jumlah faedah yang perlu dibayar sekiranya pemegang kad kredit hanya membuat pembayaran minimum setiap bulan. Maklumat ini akan disertakan di dalam penyata kad kredit terakhir pada setiap tahun.

Penambahbaikan ciri keselamatan infrastruktur kad kredit

  1. Pemberitahuan transaksi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) akan dilaksanakan oleh pengeluar kad kepada pemegang kad mereka selepas transaksi dilakukan.
  2. Langkah ini akan disusuli dengan pelaksanaan pengesahan nombor pengesahan peribadi (Personal Identification Number, PIN) untuk semua transaksi kad kredit mulai 1 Januari 2015.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan garis panduan baharu kad kredit tersebut boleh menghubungi ABM Connect di 1-300-88-9980, pusat hubungan pengeluar kad masingmasing dan TELELINK Bank Negara Malaysia di 1300-88-5465.

Sumber : infoperbankan/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 20/Disember 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button