Pelan Perbelanjaan

Langkah Kawal Perbelanjaan

Dalam menghadapi kos sara hidup yang meningkat pada masa kini, satu daripada langkah untuk mengurangkan beban kewangan anda ialah dengan mengawal perbelanjaan. Perbelanjaan yang terkawal akan menyekat anda daripada berbelanja melebihi kemampuan anda.

Berikut ialah enam langkah yang anda boleh lakukan untuk mengawal perbelanjaan.

1. Catat semua perbelanjaan harian

  • Catat semua perbelanjaan yang dilakukan setiap hari.
  • Boleh gunakan aplikasi telefon pintar untuk membuat catatan perbelanjaan. Banyak aplikasi yang tersedia di Playstore atau Appstore seperti aplikasi MyTabung yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia. Anda hanya perlu cari dan muat turun di telefon pintar anda sahaja.

2. Jejak perbelanjaan

  • Tujuan mencatat adalah untuk menjejak perbelanjaan anda.
  • Catat perbelanjaan sekurang-kurangnya untuk tiga bulan.
  • Lihat pola perbelanjaan anda, sama ada wang telah dibelanjakan dengan betul atau tidak.

3. Kenal pasti setiap perbelanjaan

  • Kenal pasti dan kategorikan setiap perbelanjaan yang dibuat berdasarkan perbelanjaan keperluan dan kehendak. Perbelanjaan keperluan ialah perbelanjaan untuk memenuhi keperluan asas hidup, contohnya seperti belanja dapur, makanan, bil air, bil elektrik, bayaran rumah, nafkah dan pakaian. Perbelanjaan kehendak ialah perbelanjaan sampingan sekadar untuk memenuhi tuntutan gaya hidup seperti hiburan, bayaran televisyen berbayar dan dan hobi.
  • Kenal pasti setiap perbelanjaan itu sama ada perbelanjaan tetap atau boleh ubah. Perbelanjaan tetap sukar untuk dikurangkan kerana bayaran telah ditetapkan oleh institusi kewangan. Perbelanjaan boleh ubah boleh dikurangkan supaya aliran tunai menjadi lebih baik, seperti hiburan, hobi dan sebagainya.

4. Sediakan bajet sendiri

  • Kenal pasti setiap perbelanjaan dan sediakan bajet.
  • Senaraikan dan tetapkan berapa banyak wang yang perlu diperuntukkan untuk setiap perbelanjaan.
  • Potong mana-mana perbelanjaan yang dirasakan tidak perlu dan membazir.
  • Kurangkan peruntukan untuk perbelanjaan kehendak.
  • Pastikan jumlah perbelanjaan nanti adalah lebih kecil berbanding pendapatan, dan diperuntukkan sedikit untuk simpanan.

5. Ikut bajet yang dibuat

  • Bajet yang dibuat perlu dipatuhi sepenuhnya.
  • Apabila gaji atau ketika anda memperoleh pendapatan lain, keluarkan wang secukupnya untuk menampung perbelanjaan yang ditetapkan.
  • Asingkan dan bahagi-bahagikan mengikut setiap perbelanjaan yang diperuntukkan.
  • Boleh guna kaedah sampul surat, bekas tupperware atau balang makanan, ataupun kaedah lain yang dirasakan sesuai.
  • Belanjakan jumlah yang diperuntukkan sahaja.
  • Jika ada lebihan, masukkan ke dalam simpanan.
  • Jika tidak mencukupi pula, anda tidak boleh mengambil daripada simpanan atau sampul / bekas yang lain.
  • Disiplinkan diri untuk berbelanja mengikut jumlah yang diperuntukkan sahaja.

6. Semak semula bajet dari semasa ke semasa

  • Bajet yang dibuat boleh diubah suai dan disesuaikan dengan pendapatan dan keperluan semasa.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 100/Ogos 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button