Pengguna

KWSP: Pengeluaran Haji

Ahli KWSP yang layak dibenar mengeluarkan simpanan dalam Akaun 2 mereka untuk menunaikan haji. Inisiatif ini telah diperkenalkan pada tahun 2013 setelah kerajaan mengumumkan pada pembentangan Bajet 2013 pada 28 September 2012.

Pengeluaran Haji bertujuan untuk menampung perbelanjaan asas mengerjakan Haji dan bukannya keseluruhan kos perbelanjaan Haji. Rasionalnya, untuk memastikan pengeluaran yang dibuat tidak menjejaskan simpanan persaraan ahli.

Syarat-syarat Pengeluaran

Ahli KWSP yang layak adalah seperti berikut:-

  1. Ahli KWSP berumur kurang 55 tahun dan telah menerima surat tawaran berstatus “TERPILIH” untuk mengerjakan Haji daripada Lembaga Tabung Haji (LTH);
  2. Ahli belum cukup simpanan di LTH bagi tujuan mengerjakan Haji;
  3. Kelayakan Amaun Pengeluaran:
    Perbezaan jumlah kos Haji dengan baki simpanan akaun LTH ahli tertakluk kepada amaun maksimum RM 3,000.00 atau baki Akaun 2 (mengikut mana yang lebih rendah);
  4. Bayaran pengeluaran dibayar secara terus ke dalam akaun ahli di LTH;
  5. Kelayakan pengeluaran sekali sahaja; dan
  6. Pengembalian amaun pengeluaran:
    1. Sekiranya ahli membatalkan/menangguhkan pemergian Haji, maka ahli perlu mengembalikan semula amaun pengeluaran kepada KWSP dan tindakan pemulihan akaun akan dibuat.
    2. Sekiranya berlaku kematian ahli selepas pengeluaran dibuat, waris ahli tidak perlu mengembalikan amaun tersebut kepada KWSP kerana telah menjadi harta pusaka dan tuntutan oleh waris tertakluk kepada prosedur semasa LTH.

Kos mengerjakan Haji yang ditetapkan oleh LTH bergantung kepada kos sebenar mengikut musim Haji. Sebagai contoh, anggaran kos yang perlu dibiayai sendiri oleh bakal Haji bagi musim Haji 1435H (2014M) adalah RM9,980. Sementara itu, Jemaah Haji adalah bakal Haji yang berdaftar dengan LTH dan telah menerima surat tawaran berstatus “TERPILIH” daripada LTH.

Kaedah Pelaksanaan

Ahli perlu hadir di mana-mana kaunter cawangan KWSP dengan membawa dokumen-dokumen asal berikut:-

  1. Kad Pengenalan Diri (MyKad / MyPR / KP Polis / KP Tentera)
  2. Surat tawaran berstatus “TERPILIH” daripada LTH; dan
  3. Buku akaun simpanan ahli di LTH (yang telah dikemas kini dalam tempoh 6 bulan)

Ahli tidak perlu mengisi borang permohonan. Bagaimanapun, ahli diminta menurunkan Cap Ibu Jari di atas “Notis Permohonan Pengeluaran” sebagai bukti mengemukakan permohonan. Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, sila hubungi Pusat Pengurusan Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000.

Sumber : KWSP/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 47/Mac 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button