Pelan PerbelanjaanPengguna

Kuasa Pengguna Tentukan Harga

Pengguna yang bijak, akan bersiap siaga dengan keadaan ini dan mempertingkat pendidikan kepenggunaan dari segala aspek, termasuk aspek sosial, ekonomi dan persekitaran semasa.

Cabaran yang sangat dirasai oleh pengguna ialah kenaikan harga barangan, meskipun harga petrol semakin rendah. Umum mengetahui, kerajaan telah melakukan tiga kali semakan harga bermula pada bulan Disember 2014 hingga Februari 2015. Harga terbaru RON95 dan diesel adalah RM1.70 seliter. Ini merupakan pengurangan sebanyak 26.07% bagi harga RON95 dan 23.77% untuk diesel. Namun, tiada penurunan harga barang di pasaran. Mengapa hal ini berlaku?

Kuasa Pengguna

Di negara-negara Barat, seperti Australia dan Amerika Syarikat, rakyat mereka mengamalkan sikap dasar ekonomi terbuka dan menggunakan kuasa pengguna untuk menentukan harga barangan. Sikap ini perlu dicontohi, iaitu apabila pengguna berhadapan dengan peniaga yang mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan secara berlebihan, maka pengguna perlu menjalankan peranannya. Peranan perlu dimainkan secara holistik agar tekanan dapat dirasai oleh peniaga.

Satu senario yang boleh dikaitkan dengan peranan ini ialah ketika berlakunya fenomena jangkitan selesema burung. Ramai pengguna mengambil keputusan tidak membeli ayam kerana khuatir dijangkiti penyakit ini. Hal ini memberi tekanan kepada industri ternakan ayam, sehingga menyebabkan mereka tiada pilihan dan terpaksa menurunkan harga ayam.

Ia juga boleh memberi tekanan sekiranya pengguna mengambil keputusan mengurangkan kekerapan membeli ayam daripada 7 kali seminggu kepada 3 kali seminggu. Begitu juga dengan harga di restoran dan kedai-kedai makanan.

Aduan yang diterima daripada pengguna mendapati harga meningkat antara 5% hingga 10%. Terdapat peniaga yang bertindak mengecilkan saiz makanan bagi mengekalkan harga dengan alasan kos operasi meningkat.

Pilihan di tangan pengguna

Pengguna berhak menentukan barangan yang mereka ingin beli. Pengguna boleh beralih kepada produk generik yang harganya lebih murah 20% hingga 30% daripada produk berjenama. Contohnya, Kedai Rakyat 1 Malaysia boleh dijadikan sebagai penanda aras produk jenama lain kepada pengguna dalam menentukan harga barangan. Pengguna boleh membandingkan harga barang di sini dengan kedaikedai yang lain.

Kesedaran pengguna terhadap aspek keselamatan makanan juga perlu ditingkatkan, seperti keadaan tin yang kemek, tarikh luput, wujudnya bendasing, label produk dan lain-lain. Hal ini disebabkan terdapat peniaga dan pasar raya menjual produk seumpama ini dengan harga yang murah. Jika pengguna berhadapan dengan situasi ini, laporkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengguna juga boleh memperuntuk masa dengan menyediakan Pengguna juga boleh memperuntuk masa dengan menyediakan makanan sendiri di rumah. Wanita yang bekerjaya sekurang-kurangnya boleh menyediakan makanan malam di rumah sekiranya tidak bekesempatan sarapan. Kurangkan budaya makan di luar dan berkunjung ke restoran makanan segera. Menyediakan makanan sendiri lebih menyihatkan badan dan dapat menjimatkan belanja poket anda.

Pengguna juga digesa untuk membuat aduan sekiranya mendapati harga makanan naik secara mendadak atau peniaga didapati mengambil keuntungan secara berlebihan. Dapatkan resit sebagai bukti sokongan dan membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Kempen Penurunan Harga

Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang mengumumkan penurunan harga bagi 73 barangan, iaitu antara 5% hingga 20% di 570 buah pasar tani sudah tentu memberikan kegembiraan kepada pengguna. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga turut mengadakan dialog dengan pihak pembekal, pemborong dan peruncit bagi mengenal pasti masalah ini.

Namun begitu, pengguna juga mempunyai peranan yang besar dalam menentukan ekonomi di pasaran. Pada masa yang sama, kerajaan perlu mengkaji dasar monopoli import dan eksport bagi menangani masalah kenaikan harga.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 57/Januari 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button