Kos Untuk Pembiayaan Anak-Anak

Bagi mereka yang baru menjalani hidup sebagai ibu bapa, pembiayaan untuk keperluan anak-anak merupakan sebahagian daripada komponen penting dalam perbelanjaan keluarga. Oleh itu, belum lagi terlewat untuk membuat persediaan awal dengan merancang perbelanjaan bagi mengatasi kos sara hidup berkeluarga.
Berikut disenaraikan beberapa perbelanjaan yang anda perlu mengambil kira dalam perjalanan kehidupan berkeluarga.
Kos Bersalin
Para ibu yang bakal bersalin akan melalui beberapa proses serta jagaan yang rapi seperti :
- Prenatal (antenatal) – pemeriksaan, prosedur perubatan, ujian serta makanan tambahan
- Natal – Kelahiran
- Postnatal – Penjagaan selepas kelahiran bagi ibu dan juga anak
Kadar caj yang sebenar bergantung kepada beberapa faktor, seperti kos kelas penempatan bilik hospital. Begitu juga jika anda ingin membuat rawatan di hospital swasta atau hospital kerajaan. Pilih rawatan di hospital kerajaan akan melibatkan kos yang lebih rendah.
Berikut adalah beberapa perbezaan peruntukan bagi kos rawatan antara fasiliti di hospital swasta dan hospital kerajaan :
Jenis fasiliti | Purata Kos bagi Kelahiran Normal | Purata Kos bagi Kelahiran Pembedahan |
Swasta | RM4,000 – RM6,000 | RM6,000 – RM20,000 |
Kerajaan | RM250 – RM700 | RM500 – RM1,400 |
Kos anggaran di atas merangkumi kelahiran yang tidak rumit dengan perkhidmatan asas. Kos ini tidak termasuk caj bagi rawatan tambahan dan prosedur seperti pentadbiran epidural (ubat tahan sakit untuk para ibu bagi melahirkan anak) yang mungkin memakan kos sekitar RM1,000 untuk hospital swasta.
Dengan penjagaan rapi persendirian, anda mungkin akan dikenakan bayaran tambahan untuk perubatan bayi baru lahir dan yuran jururawat yang berjumlah RM1,000 hingga RM2,5000.
Penjawat awam dan persara (merangkumi pasangan juga) mendapat manfaat daripada menggunakan rawatan di hospital kerajaan kerana mereka dikecualikan daripda yuran tertentu, seperti caj wad dan beberapa prosedur pranatal.
Bagaimana Saya Boleh Membayarnya?
- Pembayaran Sendiri
Jika anda tidak membuat perancangan bagi perbelanjaan perubatan (termasuk mengandung) dan tidak mempunyai insurans, berkemungkinan juga anda perlu berdepan dengan kos hospital serta kelahiran (purata untuk kelahiran normal adalah 1 hingga 2 hari dan untuk kelahiran pembedahan Caesarean adalah 3 hingga 5 hari) menggunakan kewangan anda sendiri.
Anda mungkin dikehendaki membayar deposit yang bermula dari RM1,000 di kebanyakan hospital kerajaan dan sebanyak RM3,5000 bagi hospital swasta.
- Faedah Perlindungan Perubatan Syarikat
Ada syarikat menanggung bil rawatan untuk pekerja mereka. Namun begitu, perlindungan perubatan yang disediakan sesebuah syarikat, pada lazimnya, tidak merangkumi segalanya (atau keseluruhan), terutama dalam hal kehamilan dan kelahiran yang berkaitan seperti yuran dan penjagaan bagi bayi baru lahir.
Terdapat juga hospital swasta yang mengenakan terma dan syarat yang memerlukan anda membuat pembayaran terlebih dahulu dan membuat tuntutan kemudian. Oleh itu, anda perlu memeriksa bentuk rawatan yang dibiayai oleh syarikat tempat anda bekerja terlebih dahulu.
- Insurans
Ini adalah pilihan yang terbaik untuk menyelesaikan bil-bil hospital. Untuk jumlah liputan perlindungan, anda perlu membeli polisi yang merangkumi perkara yang berkaitan dengan kehamilan. Walau bagaimanapun, polisi demikian biasanya dibeli oleh bakal para ibu (atau ia disertai dengan pelan perlindungan keluarga) sebelum kehamilan.
Ini adalah kerana kebanyakan polisi tidak membolehkan anda untuk membuat tuntutan (atau hanya sebahagiannya) sehingga berakhir tempoh menunggu, biasanya dari 8 bulan hingga 2 tahun.
Apakah Kos-Kos Lain Yang Terlibat?
Apabila anak anda semakin membesar, kos perbelanjaan hariannya turut meningkat. Walaupun ia adalah suatu kegembiraan untuk melihat bayi anda membesar, tanggungan kewangan anda juga bertambah. Berikut adalah beberapa perbelanjaan keluarga untuk seorang kanak-kanak berumur daripada 0-6 tahun seperti di bawah :
a) Makanan Serta Bekalan
Pada peringkat awal, anda mungkin selesa dengan hadiah-hadiah yang diterima dari segi pemakaian dan makanan, terutamanya jika anda mempunyai ramai sanak saudara dan juga kawan-kawan yang sanggup membantu anda. Tetapi tidak lama kemudian, anda perlu membuat persediaan awal untuk menjaga rapi kewangan anak anda serta perbelanjaan bermula daripada pakaian hingga kepada alat-alat permainan mereka. Pertimbangkan beberapa senarai di bawah bagi keperluan anak anda dan berapa banyak kos diperlukan :
Untuk Dibeli Setiap Bulan | Kos Anggaran |
Makanan dan Susu | RM 450 |
Makanan Tambahan | RM 75 |
Pemakaian / Lampin | RM 150 |
Barang-barang Kebersihan | RM 40 |
Jumlah | RM 715 |
Apabila kedua-dua pasangan bekerja, salah seorang dari pasangan tersebut harus berfikir siapa yang harus menjaga anak mereka.
Pada masa ini, secara purata yuran bulanan untuk pengasuh berlesen bermula dari RM750 ke RM1,500, dan kemudian biasanya termasuk aktiviti-aktiviti pengajaran dan pendidikan. Pengasuh bayi yang berasal dari pinggir dan luar bandar akan mengenakan caj kurang daripada mereka yang menetap di bandar.
Untuk Dibeli Sekali atau Kadang-kadang | Kos Anggaran |
Peralatan Tempat tidur / Buaian / Tilam | RM 600 |
Peralatan Identiti Kanak-Kanak | RM 500 |
Strollers | RM 200 |
Permainan / Pembelajaran / Hiburan | RM 100 |
Peralatan Makanan | RM 60 |
Jumlah | RM 1,460 |
Sekiranya anda mempunyai perlindungan insurans /takaful serta pelan simpanan, anda dapat memberikan kemudahan pendidikan untuk anak-anak dengan lebih baik. Perlindungan insurans / takaful dan wang simpanan dapat mengurangkan bebanan kewangan anda untuk menampung perbelanjaan anak-anak.
Kesimpulan
Seperti yang telah dinyatakan, perbelanjaan awal anda bermula dari pemeriksaan pra-bersalin hingga melahirkan anak, boleh menelan kos yang tinggi yang memungkinkan anda perlu mempunyai insurans /takaful perubatan untuk menampung perbelanjaan tersebut. Selain itu, anda juga perlu bersedia dari segi kewangan bagi perkara-perkara yang tidak dilindungi insurans / takaful seperti keperluan serta bekalan buat anak anda. Mempunyai kewangan yang kukuh akan membuatkan anda sentiasa bersedia bagi membina keluarga yang sempurna tanpa perlu bimbang tentang masalah kewangan kelak.
Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 92/Disember 2017