Pengguna

Kontrak Perkhidmatan Pusat Kecantikan

Setiap hari, pengguna akan didatangi dengan pelbagai iklan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan produk kecantikan, pusat kecergasan dan sebagainya. Mereka menawarkan pakej-pakej dan tawaran yang hebat serta diskaun yang menarik.

Walaupun bayaran perkhidmatan yang dikenakan oleh pusat-pusat tersebut agak tinggi, namun masih terdapat pengguna yang bersedia untuk mengeluarkan wang ribuan ringgit untuk menggunakannya. Malangnya, perkhidmatan yang ditawarkan itu tidaklah seperti apa yang didakwa dan akhirnya ramai yang mendapati mereka sebenarnya telah tertipu dengan tawaran perkhidmatan tersebut.

Terdapat peningkatan dalam jumlah aduan mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima sebanyak 1,359 aduan pada tahun 2014 tentang perkhidmatan pusat kecantikan, pusat kecergasan dan seumpamanya, dengan kerugian berjumlah lebih kurang RM1 juta. Lebih membimbangkan aduan berkaitan perkhidmatan ini meningkat kepada 1,848 dengan kerugian hampir RM6 juta pada tahun 2015.

Antara aduan yang diterima ialah kesukaran untuk mendapatkan bayaran balik apabila mereka ingin menamatkan kontrak. Begitu juga, terdapat kes cawangan perkhidmatan yang telah ditutup tanpa terlebih dahulu memaklumkan pengguna yang sedia ada. Ini menyebabkan pengguna mengalami kerugian kerana tidak lagi dapat menggunakan perkhidmatan, sedangkan bayaran telah dibuat.

Terdapat juga perunding di pusat kesihatan yang memberikan keyakinan dan janji-janji palsu kepada pengguna. Hakikatnya, produk tersebut tidak sesuai dengan pengguna tersebut sehingga menyebabkan pengguna itu mengalami alahan terhadap kulit mereka. Tidak kurang juga pengguna yang tidak mengalami apa-apa perubahan walaupun telah beberapa lama menggunakan produk tersebut.

Walaupun tanggungjawab untuk memantau aktiviti pusat kesihatan dan melakukan pemeriksaan secara berkala diletakkan kepada pihak berkuasa, para pengguna juga perlu memainkan peranan untuk membuat keputusan yang bijak sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut.

Antara langkah yang perlu dilakukan pengguna ialah:

  1. Pengguna haruslah membuat pemeriksaan dahulu sebelum mendaftar untuk membuat sebarang rawatan / prosedur, seperti memeriksa sama ada pusat rawatan itu berlesen atau mendaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
  2. Pengguna mesti membaca dan faham terma-terma dan syarat-syarat kontrak.
  3. Pengguna tidak boleh menandatangani kontrak tanpa membaca terlebih dahulu. Begitu juga, jangan menandatangani borang yang kosong atau memberikan butiran kad kredit mereka.
  4. Segeralah membuat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan yang tegas boleh diambil sekiranya pengguna mendapati terdapat sebarang salah laku yang dilakukan oleh pusat tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 87/Julai 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button