Pelan PerlindunganPengguna

Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia

Pernahkah anda mengalami kehilangan atau kerosakan bagasi, penerbangan telah ditangguh atau dibatalkan tanpa syarikat penerbangan memberi notis terlebih dahulu? Sebenarnya anda tidak berseorangan.

Terdapat banyak aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang syarikat penerbangan. Antara aduan yang diterima ialah kesukaran untuk menuntut balik pemulangan bayaran (refund), perkhidmatan pelanggan yang lemah, syarikat penerbangan mengambil masa yang lama untuk memberi maklum balas terhadap aduan pengguna serta pampasan yang diberikan tidak mencukupi jika dibandingkan dengan nilai kerugian yang ditanggung oleh pengadu.

Ramai pengguna yang tidak mengetahui kewujudan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk melindungi dan mempertahankan hak pengguna yang mempunyai masalah dengan penerbangan mereka.

Tetapi sebelum itu, pengguna yang mempunyai masalah haruslah terlebih dahulu mengemukakan aduan secara bertulis kepada syarikat penerbangan tersebut sejurus selepas kejadian tersebut berlaku.

Jika syarikat penerbangan tidak menyelesaikan aduan anda dalam tempoh 30 hari, anda boleh mengemukakan aduan kepada MAVCOM atau NCCC.

Contohnya, jika penerbangan itu ditangguhkan lebih daripada dua jam, pengguna berhak mendapat makanan, telefon dan akses Internet (jika berkenaan). Sekiranya penerbangan itu ditangguhkan selama lima jam atau lebih, pengguna berhak untuk menuntut kemudahan yang sama seperti tempoh kelewatan dua jam dan ditambah dengan penginapan hotel (termasuk pengangkutan dari dan ke hotel). Pengguna boleh mendapatkan lebih banyak maklumat di www.mavcom.my.

Jika pengadu ingin membuat laporan, simpan bukti pembayaran, maklumat penerbangan serta gambar bagasi yang rosak tersebut untuk tujuan tuntutan.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button