Perancangan Kewangan

Kisah Benar: Hidup bersara bebas hutang

Rubiah ialah seorang ibu tunggal yang tinggal bersama-sama empat orang anak. Suaminya telah meninggal dunia dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil. Sejak itu, Rubiah membesarkan anak-anaknya seorang diri. Beliau telah berjanji tidak akan membiarkan anak-anaknya merasai kehilangan ayah mereka. Rubiah telah bekerja keras untuk memberikan mereka apa yang diperlukan. Beliau masih teringat tentang kesusahannya sebagai seorang wanita yang tidak berpendidikan, terpaksa menyuap nasi kepada empat orang anaknya.

Pendapatan Rubiah sebagai kerani yang tidak seberapa itu cukup untuk anak-anaknya meneruskan pendidikan supaya mereka boleh bergantung pada diri sendiri kelak. Rubiah selalu memastikan anak-anaknya mempunyai keperluan yang mencukupi. Untuk itu, beliau sentiasa bekerja lebih masa untuk menyara keluarganya.

Rubiah tidak pernah jatuh ke dalam cengkaman hutang sewaktu membesarkan anak-anaknya. Semua anaknya telahpun dewasa dan mempunyai kerja tetap. Anak perempuan Rubiah kemudiannya melahirkan seorang anak lelaki yang menjadi harapan beliau. Selepas beberapa tahun membanting tulang bekerja, beliau tidak sabar untuk bersara dan berehat sambil meluangkan masa dengan cucu-cucunya. Malangnya, cucu Rubiah mengalami kemerosotan kesihatan. Beliau tidak pernah membayangkan cucunya memerlukan pelbagai pembedahan untuk kegagalan jantung kecilnya itu.

Rubiah dan keluarga bertungkus lumus menjaga cucu kesayangan beliau. Mereka turut memastikan dia menerima rawatan perubatan yang terbaik supaya dapat diselamatkan dan memberi peluang untuk hidup secara normal. Apabila kedua-dua anak perempuan dan menantunya tidak dapat menanggung kos untuk anaknya, Rubiah melibatkan diri lalu mengambil tanggungjawab menjaga kesihatan cucunya yang makin merosot.

Untuk menyelamatkan cucu beliau, Rubiah terpaksa mengumpul wang yang cukup untuk membiayai semua bil rawatan cucunya. Beliau tidak tahu kepada siapa untuk mendapatkan pembiayaan lalu membuat keputusan untuk mengeluarkan simpanan KWSP.

Apabila wang itu telah habis digunakan, beliau menggunakan kad kredit untuk menyelesaikan bil-bil perubatan yang selebihnya. Malangnya tanpa disedari, bil kad kredit Rubiah melonjak tinggi.

Rubiah tidak mampu membiayai jumlah kos bil yang tinggi dan akhirnya telah memenuhi had kad kreditnya. Setelah itu, beliau mula gagal membayar bil kad kreditnya dan juga lambat membuat bayaran pinjaman keretanya.

Walaupun keadaan cucunya bertambah baik disebabkan pembedahan, kewangan Rubiah memerlukan perhatian yang serius. Beliau telah berhutang sebanyak RM80,000 dan tidak mempunyai jalan penyelesaian. Apabila keretanya ditarik dan dihantar pelbagai surat guaman oleh pemiutang untuk tindakan undang-undang, beliau bertekad untuk mencari pertolongan.

Sebelum itu, Rubiah pernah mendengar tentang perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit melalui kawan-kawan, lantas beliau membuat keputusan untuk pergi ke agensi bagi menyelesaikan masalah ini.

AKPK telah menasihatkan beliau bagaimana menguruskan kewangannya dengan lebih baik untuk waktu-waktu yang memerlukan. Hal ini untuk memastikan bahawa Rubiah tidak akan jatuh ke dalam cengkaman hutang sekali lagi.

Kaunseling kewangan AKPK yang dilalui oleh Rubiah berserta program pengurusan kewangan AKPK membolehkannya berusaha untuk mencapai kehidupan bersara yang bebas daripada hutang.

*Nama individu dalam cerita ini telah diubah untuk melindungi identiti individu berkenaan. Kisah kejayaan ini hanyalah bertujuan untuk memaklumkan pembaca tentang perkhidmatan AKPK dan sebagai nasihat untuk pembaca daripada sudut pengurusan kewangan.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 52/Ogos 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button