Pelan PelaburanPengurusan Hutang

Kisah Benar: Beringat-ingat Mengambil Risiko Kewangan

Rokiah (bukan nama sebenar) dan suaminya sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga. Pada awal tahun 1990-an, ketika ekonomi negara dalam keadaan baik, Rokiah dan suaminya telah membuat keputusan untuk mengambil pinjaman untuk membiayai pembelian saham. Ketika itu, Rokiah memegang jawatan selesa di sektor awam, manakala suaminya yang berkhidmat dengan syarikat swasta baru sahaja dinaikkan pangkat. Keadaan ekonomi yang memberangsangkan memberi petanda baik kepada keluarga ini.

Kedua-dua pasangan yang berusia pertengahan 40-an ini merancang untuk mendaftarkan anak sulung mereka menuntut dalam bidang perubatan di sebuah universiti terkemuka di luar negara. Pasangan itu yakin mampu membiayai perbelanjaan pembelajaran tiga orang anak mereka melalui pelaburan yang dilakukan melalui pinjaman tersebut. Walaupun hidup dalam kemewahan, namun mereka masih berbelanja mengikut kemampuan masing-masing dan memahami kepentingan berjimat cermat demi keperluan pendidikan ketiga-tiga anak mereka.

Namun, pada tahun 1996, berlakunya kejatuhan nilai saham bagi syarikat yang dilaburkan. Pinjaman juga tidak terbayar hasil daripada nilai saham tersebut yang begitu rendah. Keadaan menjadi lebih buruk apabila suami Rokiah turut kehilangan pekerjaan. Bayaran makin tertunggak, pihak bank terpaksa meneruskan tindakan undang-undang terhadap Rokiah dan suaminya bagi menuntut bayaran balik pinjaman tersebut.

Keadaan tersebut telah mengakibatkan mereka berada dalam kemelut kewangan sehingga mencetuskan perbalahan antara Rokiah dan suaminya, yang akhirnya mereka berdua memilih jalan untuk berpisah. Mereka bimbang tentang masa depan yang tidak menentu, namun masih cuba untuk mencari jalan penyelesaian lain.

Rokiah dan bekas suaminya bertungkus lumus berunding dengan pihak bank dalam tempoh yang lama sebelum mendapatkan bantuan AKPK pada tahun 2006. Melalui proses kaunseling, pegawai AKPK telah memberi penerangan berkenaan keadaan kewangan peminjam dan juga telah membuktikan kepada pihak bank bahawa Rokiah dan bekas suaminya mempunyai aliran tunai yang positif. Mereka juga berazam untuk membayar balik hutang secara ansuran melalui Program Pengurusan Kredit, AKPK.

Pihak bank telah menerima cadangan AKPK untuk Rokiah dan bekas suaminya membuat bayaran secara ansuran bulanan dalam tempoh yang dipersetujui oleh semua pihak. Dengan mengikuti kaunseling tentang perancangan kewangan yang disediakan oleh AKPK, pasangan ini secara beransur-ansur dapat membina kehidupan mereka semula.

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button