Pelan Perbelanjaan

Kewajipan penghuni pangsapuri dan kondominium menjelaskan bayaran penyelenggaraan bulanan

Bagi yang menduduki pangsapuri ataupun kondominium, mereka mempunyai tanggungjawab untuk melunaskan bayaran penyelenggaraan bulanan seperti yang terkandung dalam perjanjian antara penghuni dengan pemaju rumah ataupun Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body). Tanggungjawab dan kuasa sesebuah Badan Pengurusan Bersama jelas terkandung dalam Akta Badan Pengurusan Bersama dan dikawal selia oleh pesuruhjaya bangunan di pihak berkuasa tempatan.

Secara amnya, sesebuah Badan Pengurusan Bersama memikul tanggungjawab bagi memastikan segala kemudahan pangsapuri ataupun kondominium berada dalam keadaan selamat dan dapat sentiasa digunakan tanpa kesulitan. Contohnya lif yang selamat dan tidak rosak, bangunan yang bersih, parkir yang secukupnya, bekalan air yang bersih dan berterusan.

Sekiranya bayaran penyelenggaraan ini tidak dijelaskan tepat pada masanya kepada Badan Pengurusan Bersama, pelbagai masalah yang boleh timbul. Ia menimbulkan kesulitan kepada semua penghuni pangsapuri ataupun kondominium. Umpamanya jika sebahagian besar penghuni tidak menjelaskan bayaran penyelenggaraan, ia boleh menyebabkan bekalan air dan elektrik dipotong, yang bukan sahaja menimbulkan masalah kepada mereka yang tidak membuat bayaran, tetapi juga kepada mereka yang sudahpun menjelaskan bayaran penyelenggaraan. Kes-kes seperti ini seringkali diadukan kepada NCCC kerana rasa tidak puas hati sesetengah pihak, khususnya mereka yang membuat bayaran seperti yang ditetapkan Badan Pengurusan Bersama.

Selain itu, kelewatan membayar bayaran penyelenggaraan juga boleh dikenakan caj lewat bayar, iaitu kadar faedah dikenakan atas amaun yang belum dijelaskan. Ini boleh membawa kepada masalah pada masa hadapan sekiranya ada pihak yang ingin menjual pangsapuri atau kondominiumnya. Penghuni pangsapuri ataupun kondominium memerlukan kebenaran daripada Badan Pengurusan Bersama sebelum mereka dapat menjual rumah mereka kepada pihak yang ingin membeli. Sekiranya bayaran tidak dijelaskan, maka Badan Pengurusan Bersama tidak akan membenarkan pihak yang ingin menjual sehinggalah semua bayaran serta caj lewat telah dijelaskan.

Dalam sesetengah kes, beban ini dipindahkan oleh penjual kepada pembeli, tanpa pengetahuan si pembeli. Setelah semua proses selesai, barulah Badan Pengurusan Bersama akan memberitahu si pembeli tentang kegagalan pemilik terdahulu menjelaskan yuran penyelenggaraan. Oleh itu, rumah tersebut tidak akan dibekalkan dengan air ataupun elektrik sehingga bayaran dijelaskan. Ini sama sekali tidak adil kepada si pembeli kerana telah menjadi mangsa keadaan.

Apabila masalah ini diajukan kepada penghuni tentang mengapa mereka tidak menjelaskan bayaran penyelenggaraan, seringkali jawapan yang diberikan adalah Badan Pengurusan Bersama tidak menunaikan tanggungjawab mereka, seperti membaiki segala kemudahan yang perlu, menjaga keselamatan dan kebersihan pangsapuri dan kawasan di dalamnya. Ada pula yang merungut Badan Pengurusan Bersama hanya mengutip duit dan tidak menjalankan audit tahunan, yang merupakan salah satu perkara yang wajib dilakukan oleh setiap Badan Pengurusan Bersama.

Masalah ini mungkin timbul akibat daripada kegagalan pihak berkuasa untuk mengawasi dan memantau Badan Pengurusan Bersama. Pemilik rumah sebenarnya boleh membuat aduan secara bertulis kepada pesuruhjaya bangunan jika mereka mendapati Badan Pengurusan Bersama gagal menjalankan tugasan mahupun tanggungjawab mereka.

Sekiranya kedua-kedua pihak, iaitu penghuni dan Badan Pengurusan Bersama, memainkan peranan masing-masing dan bersikap bertanggunjawab, masalah-masalah yang timbul antara kedua-dua pihak ini akan dapat diatasi.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 57/Januari 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button