Pengguna

Ketahui Jenis Penipuan Siber

Pengetahuan masyarakat tentang jenayah siber masih rendah dan memerlukan pendedahan pada pelbagai peringkat umur.

Jenayah tidak mengenal mangsa dan cara. Terkini dilaporkan jenayah penipuan siber telah mencecah jumlah jutaan ringgit. Jenayah ini kian meningkat setiap tahun. Mereka menggunakan taktik yang biasanya boleh memerangkap anda tanpa anda sedari, dengan ‘helah’ yang digunakan sangat licik dan seakanakan benar. Dalam hal ini, anda perlu berhati-hati.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh CyberSecurity Malaysia (CSM), yang dijalankan oleh My Team Response Komputer (MyCERT), statistik pengkelasan insiden secara umum yang dilaporkan sehingga bulan Oktober 2016, penipuan siber mencatatkan jumlah insiden tertinggi, iaitu berjumlah 3,295 kes. Manakala pencerobohan merupakan insiden kedua tertinggi dengan jumlah 2,143 kes (30.6%) bersamaan 47.1% daripada keseluruhan kes yang diterima oleh CSM.

Menurut laporan daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Polis Diraja Malaysia, penipuan siber di negara ini meningkat kepada 9,085 kes pada tahun lalu, berbanding 6,337 kes pada 2014 membabitkan kerugian RM179.3 juta dan RM161.8 juta. Trend itu menunjukkan peningkatan yang mencatatkan 5,785 kes dengan kerugian RM119.7 juta daripada Januari hingga Jun 2016.

Pengetahuan masyarakat tentang penipuan siber masih rendah dan memerlukan pendedahan pada pelbagai peringkat umur. Banyak jenayah baharu melalui media sosial semakin berleluasa. Dunia tanpa sempadan dan mudah untuk mengakses maklumat merupakan salah satu cara yang digunakan sebagai perangkap siber untuk memanipulasi maklumat pengguna.

Antara jenis-jenis penipuan yang sering berlaku di Malaysia adalah seperti berikut:-

Scam Bungkusan (Parcel Scam)

Mangsa “jatuh cinta” dengan suspek melalui media sosial dan berjanji akan memberikan bungkusan bagi membuktikkan cinta mereka. “Pegawai Kastam” atau syarikat kurier akan menghubungi mangsa, menuntut bayaran cukai atau insurans bagi mendapatkan bungkusan yang dikirimkan. Mangsa tidak  menerima bungkusan yang dijanjikan dan sindiket tersebut sering menghubungi mangsa untuk meminta wang.

Scam Percintaan (Love Scam)

Mangsa memulakan hubungan percintaan melalui internet. “Kekasih” meluahkan hasrat ingin berkahwin dengan mangsa di Malaysia tetapi telah “ditahan” semasa tiba di lapangan terbang. Mangsa diminta oleh suspek atau pihak sindiket untuk membuat bayaran bagi melepaskan suspek.

Scam Macau

Dalang sindiket biasanya warga asing yang mempunyai rangkaian di beberapa Negara ASEAN termasuk Indonesia, Laos, Kemboja dan Filipina. Sindiket menyamar sebagai seorang pegawai polis atau pegawai bank dan menghubungi bakal mangsa dan mengatakan bahawa mangsa dikehendaki bagi kesalahan jenayah seperti penggubahan wang haram atau membiaya aktiviti keganasan. Mangsa terdesak dan dikatakan mempunyai rekod jenayah di Bukit Aman, atau Bank Negara, dan untuk memadamkan rekod jenayah mangsa dipaksa untuk memindahkan wang ke dalam akaun penipuan/sindiket ini.

Scam Wang Hitam (Black Money Scam)

Sindiket penipuan meyakinkan mangsa bahawa kertas hitam bersaiz dolar Amerika Syarikat kononnya sengaja dihitamkan (black money) untuk diseludup ke luar negara bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa. Wang tersebut kononnya merupakan wang milik orang kaya yang telah meninggal duinia. Mangsa ditawarkan sebahagian daripada kekayaan sekiranya membantu membiaya kos membeli cecair kimia untuk membersihkan wang hitam tersebut. Setelah memperolehi wang daripada mangsa, suspek melarikan diri.

Scam Pelaburan (Investment Scam)

Scam pelaburan ini terdiri daripada pelbagai bentuk seperti panggilan telefon yang menawarkan peluang pelaburan atau mangsa menerima e-mel yang menawarkan mangsa untuk  membeli saham dengan menjanjikan pulangan yang tidak munasabah.

Tip Berikut ialah lima kaedah untuk mencegah risiko kepada penipian dalam talian :

  • Padam e-mel yang mencurigakan dan tidak boleh dipercayai
  • Abaikan iklan yang kelihatan ‘indah khabar daripada rupa’
  • Kemas kini perisian anti-malware anda
  • Cari maklumat mengenai penipuan secara dalam talian
  • Berkongsi pengetahuan dan tip pencegahan dengan rakan-rakan dan keluarga melalu media sosial

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 79/November 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button