Pengguna

Ketahui Hak Tandatangan Anda

Segala urusan rasmi, yang melibatkan pembelian atau langganan, memerlukan tandatangan pengguna bagi mengesahkan transaksi tersebut. Pengguna disarankan supaya lebih berhati-hati sebelum menurunkan tandatangan mereka ke atas apa jenis dokumen sekalipun. Pihak NCCC menerima banyak aduan daripada pengguna yang berkaitan denganproduk dan perkhidmatan. Namun begitu, kebanyakan aduan yang diterima adalah berpunca daripada kecuaian pengguna sendiri. Apabila keadaan ini berlaku, agak sukar bagi pengguna untuk menuntut hak mereka walaupun mereka berada di pihak yang benar.

Ruangan kali ini akan menceritakan tentang kejadian yang pernah berlaku kepada pengguna. Salah satu kes yang pernah diterima oleh NCCC adalah berkaitan dengan pusat kecergasan. Pengadu telah menurunkan tandatangan beliau di atas kontrak pakej yang ditawarkan dan memberitahu kepada pekerja di syarikat tersebut supaya menunggu pengesahan daripada beliau sebelum memproses dokumen tersebut. Tiada pengesahan yang diberikan oleh pengadu kepada pekerja syarikat tersebut. Namun setelah suatu jangka yang agak lama, pengadu menerima bil dan juga surat peringatan untuk menjelaskan bayaran.

Apabila aduan seperti ini diterima kepada NCCC, agak sukar bagi NCCC menjelaskan kepada syarikat yang diadu bahawa pengadu tidak pernah berniat untuk melanggan pakej tersebut. Ini kerana wujudnya tandatangan pengadu di atas kontrak membuktikan bahawa pengadu faham dan setuju dengan segala isi kontrak tersebut. Walaupun syarikat tersebut bersetuju untuk membatalkan kontrak tersebut, namun seperti yang diterangkan di dalam keluaran sebelum ini, pihak pengusaha boleh mengenakan caj 5% daripada harga kontrak bagi pembatalan kontrak perkhidmatan masa hadapan. Bayangkan kerugian yang perlu ditanggung oleh pengguna jika harga kontrak tersebut berjumlah lebih daripada RM10,000.00.

Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak menandatangani apa jua dokumen jika subjek di dalam dokumen tersebut tidak diberikan kepada pengguna. NCCC juga menerima aduan berkenaan dengan perkhidmatan perkongsian masa, yang pengadu tidak diberikan prospektus, namun beliau telah menandatangani dokumen akuan penerimaan. Apabila timbul pertelingkahan antara pengadu dan pengusaha, pengadu tidak dapat mempertahankan pendirian bahawa beliau tidak menerima prospectus tersebut disebabkan oleh kehadiran dokumen akuan penerimaan tersebut.

Sehubungan itu, pihak NCCC menasihatkan agar pengguna lebih berhati- hati sebelum menandatangani apa jua dokumen bagi mengelakkan sebarang implikasi yang tidak diingini pada masa hadapan. Pengguna dapat mengelakkan diri mereka daripada menghadapi masalah dan risiko apabila mereka lebih berhati-hati.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 41/September 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button