Pelan Perbelanjaan

Ketahui Hak Dalam Jualan Kredit

Semenjak kebelakangan ini terdapat banyak isu berkaitan dengan syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan jualan barang secara kredit atau ansuran. Kebanyakannya berkaitan dengan isu ugutan atau ancaman yang dibuat oleh samseng daripada pihak syarikat tersebut terhadap pengguna yang masih belum menjelaskan tunggakan ansuran atau memeras pengguna untuk membuat bayaran lebihan walaupun hutangnya telah diselesaikan beberapa tahun lepas.

Apakah yang dimaksudkan dengan jualan kredit? Jualan kredit ialah pembekal melakukan aktiviti pembekalan barang dan pembekalan kredit apabila barang itu dijual kepada pengguna yang tidak ingin/ mampu membuat pembayaran yang sepenuhnya dalam satu transaksi.

Pada hemat pengguna, skim bayaran ansuran yang ditawarkan ini mungkin dapat mengurangkan bebanan kewangan ke atas individu yang tertentu. Namun, terdapat sesetengah syarikat ini menggunakan kekerasan dan mengugut apabila pengguna gagal menjelaskan bayaran ansuran. Berdasarkan aduan yang diterima oleh NCCC, pengadu telah dihubungi oleh pihak syarikat dan menyatakan beliau mempunyai tunggakan bayaran ansuran perabot. Walhal, bayaran perabot tersebut telah dilangsaikan beberapa tahun yang lalu. Pemungut hutang juga bertindak mengugut pengadu jika tidak membuat bayaran.

Tindakan ugutan yang dilakukan oleh pemungut hutang ini perlu dipandang serius. Tindakan ini tidak wajar dilakukan oleh pemungut hutang. Syarikat seharusnya perlu bertanggungjawab mengemas kini pembayaran pengguna agar kesilapan maklumat tidak berlaku.

Kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa mereka perlu mendapatkan surat pelepasan daripada syarikat-syarikat tertentu, kerana mereka menganggap pengesahan secara lisan oleh syarikat itu merupakan keputusan akhir untuk ansuran yang diambil oleh mereka. Surat pelepasan boleh dijadikan sebagai bukti bahawa pengguna telah melangsaikan bayaran ansuran daripada syarikat terbabit.

Tidak dinafikan, ramai pengguna memerlukan skim bayaran ansuran bagi mengurangkan beban kewangan mereka serta mempermudah pembelian barangan isi rumah untuk menghiasi rumah mereka,terutama pada musim perayaan seperti, Hari Raya Adilfitri dan perayaan yang lain. Pengguna dinasihatkan supaya berbelanja secara berhemat atas barangan keperluan dan tidak diperangkap oleh tawaran atau gimik jualan murah. Pengguna juga perlu mengesahkan caj faedah sebelum menandatangani sebarang perjanjian dan membandingkan penawaran faedah dengan syarikat lain. Hal ini disebabkan bayaran ansuran mungkin kelihatan mudah/senang untuk membayar, tetapi sebaliknya anda mungkin membayar dua kali ganda jumlah harga asal disebabkan oleh caj-caj kadar faedah yang tinggi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2012 pada 1 Oktober 2012. Peraturan ini bertujuan untuk melindungi pengguna yang membuat urus niaga secara kredit atau ansuran.

Peraturan ini telah mewajibkan penjual dan pemberi kemudahan kredit untuk memaklumkan kepada pengguna secara lisan dan bertulis mengenai beberapa maklumat penting sebelum urus niaga secara kredit dilaksanakan, seperti kadar faedah yang dikenakan, jumlah harga barangan termasuk faedah, caj sampingan, caj bayaran lewat dan formula pengiraannya. Selain itu, peraturan ini juga telah menetapkan beberapa perkara seperti berikut:

  1. Tidak membenarkan penjual memberi kemudahan kredit dan mengenakan lebih daripada satu fi pemprosesan dokumen untuk pembelian melebihi satu barangan dengan satu transaksi;
  2. Kadar faedah tidak boleh diubah selepas perjanjian jualan kredit ditandatangani;
  3. Pengguna tidak boleh dikenakan sebarang bentuk fi jika permohonan kredit tidak diluluskan; dan
  4. Pengguna tidak boleh dikenakan penalti jika membuat penyelesaian awal pembayaran.

Namun, jumlah caj kadar faedah yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tidak dikawal oleh mana-mana badan atau agensi. Terdapat aduan tentang kadar faedah yang diberikan oleh syarikat agak tinggi. Oleh itu, pengguna perlu bijak membuat perbandingan harga dan caj kadar faedah yang ditawarkan.

Pengguna boleh membuat aduan sekiranya terdapat syarikat-syarikat yang tidak mematuhi peraturan-peraturan ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui talian hotline 1800-886-800 atau memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Gunakan hak anda untuk memilih dan membuat keputusan dalam pembelian!.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button