Pengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Kesilapan Lazim Dalam Pengurusan Kewangan

Jika anda bercadang untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti terlebih dahulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan agar anda dapat belajar daripadanya.

1) Gagal Merancang

Jika anda bertanya kepada orang di sekeliling anda, pasti anda akan mendapati ramai yang tidak merancang kewangan mereka. Alasan yang selalu diberikan ialah “Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya”. Sikap acuh tak acuh ini akan menjejaskan kedudukan wang anda. Dengan bebanan kerja yang banyak, menyebabkan ramai yang tidak memberi keutamaan kepada pengurusan wang dan membiarkan keadaan menjadi penentunya.

Sebenarnya, walaupun anda termasuk dalam golongan yang berpendapatan sederhana, tabiat merancang kewangan akan membolehkan anda menjadi seorang yang berjaya mengumpul kekayaan pada kemudian hari kelak.

2) Berbelanja Melebihi Kemampuan

Anda mungkin sering berbelanja melebihi kemampuan anda, akibat daripada desakan rakan-rakan dan juga terpengaruhi dengan iklan-iklan yang ada di sekeliling anda. Saban hari iklan-iklan di TV, surat khabar dan kompleks membeli belah mempromosikan gaya hidup yang mewah. Telefon bimbit model terkini, kereta mewah dan juga fesyen terbaru banyak mendorong anda untuk berbelanja di luar daripada kemampuan. Apatah lagi, ramai yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai yang hanya mempunyai baki yang sangat sedikit dalam akaun bank pada hujung bulan setelah ditolak pinjaman rumah dan kereta, bayaran kad kredit, bil-bil dan sebagainya.

3) Berbelanja Menggunakan Kad Kredit

Tabiat beli dulu dan bayar kemudian merupakan perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai yang memiliki lebih daripada satu kad. Walaupun kad kredit merupakan satu kemudahan tetapi ramai orang yang menyalahgunakannya dan menganggap ia adalah suatu alat untuk berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula, dengan bayaran minimum setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum tersebut, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung pada kemudian hari. Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Ini adalah realitinya kerana mengikut laporan kemuflisan (bankruptcy report), peratusan orang yang jatuh muflis sejak kebelakangan ini telah meningkat, terutama sekali dalam kalangan golongan muda.

Oleh itu, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat. Dengan membuat bayaran minimum setiap bulan, anda mungkin boleh terus berbelanja, tetapi anda harus ingat bahawa ia akan menyebabkan anda mengalami kerugian yang besar kelak.

4) Lewat Menabung Untuk Hari Tua

Ramai yang ingin bersara awal. Tetapi untuk memulakan persaraan, anda mesti memastikan bahawa anda mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Walau bagaimanapun, masih ramai terutamanya mereka yang sudah hampir bersara, masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan yang diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan juga turut naik. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Setiap kali gaji naik, perbelanjaan pula yang bertambah, contohnya mengubah suai rumah, kereta baru, menjadi ahli kelab tertentu untuk bersaing dengan rakan-rakan dan sebagainya. Perbelanjaan sedemikianlah yang menyebabkan anda sukar menabung untuk hari tua.

“Walaupun kad kredit merupakan satu kemudahan, tetapi ramai orang yang menyalahgunakannya dan menganggap ia adalah suatu alat untuk berbelanja dengan sewenang-wenangnya.

5) Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian

Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan anda melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, anda memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Jangan bergantung kepada kata-kata penasihat kewangan semata-mata, kerana ada antara mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Kadangkala ada penasihat kewangan yang tidak bertanggungjawab dan memberikan maklumat yang tidak tepat untuk meningkatkan komisen jualan mereka. Jadi pastikan anda meneliti ciri-ciri sesuatu produk pelaburan tersebut dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.

6) Insurans sebagai perlindungan

Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan yang membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan anda akan tergugat, terutama sekali apabila hilang pendapatan / pekerjaan. Keadaan akan menjadi lebih malang jika orang yang hilang pendapatan tersebut merupakan ketua keluarga atau pencari nafkah dalam keluarga. Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana. Pada ketika itu sudah agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.

7) Terlampau Memikirkan Pasal Wang

Dalam usaha untuk memupuk tabiat yang baik tersebut, janganlah pula anda terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa terhadap perkaraperkara lain yang amat bermakna dalam kehidupan, seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan anda. Tanpa perkara ini, hidup anda tidak akan memberi sebarang makna walaupun anda mempunyai wang jutaan ringgit.

Akhir sekali, anda juga perlu sentiasa mengingatkan diri tentang kepentingan untuk merancang kewangan. Jika anda tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 22/Februari 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button