PenggunaPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Kesihatan Kewangan Pekerja Gig

Seiring dengan transformasi teknologi yang pantas, peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig mengalami pertumbuhan pesat dewasa ini. Malaysia yang sedang giat membangunkan ekonomi digital tidak terkecuali daripada perubahan drastik landskap ekonomi tersebut. Menurut laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, ekonomi gig berkembang 31% pada tahun 2017, mengalahkan tenaga kerja konvensional. Data Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization) juga menunjukkan bahawa penduduk yang bekerja sendiri merangkumi 25% daripada 15 juta tenaga kerja di Malaysia pada tahun 2020, bersamaan dengan hampir empat juta orang. Pekerja gig adalah sebahagian daripada mereka yang dikategorikan sebagai bekerja sendiri. Memandangkan pertumbuhan yang pesat ini, Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) akan memberi tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai salah satu teras utama ekonomi negara.

Ekonomi gig didefinisikan sebagai sebuah model ekonomi berasaskan permintaan dan penawaran perkhidmatan jangka masa pendek atau berdasarkan tugasan, dengan dipacu aplikasi teknologi. Berbeza dengan pekerjaan konvensional yang tertakluk kepada kontrak pekerjaan jangka sederhana/ panjang, penjanaan pendapatan dalam sektor ekonomi gig adalah melalui kerja yang dapat diselesaikan dalam jangka pendek dan dengan kontrak kerja yang bersifat sementara serta terhad. Di samping itu, pekerja gig menikmati kebebasan untuk mengatur jadual kerja dan memilih pelanggan atau kerja, berbeza dengan pekerja konvensional yang mempunyai skop kerja dan jadual kerja yang tetap. Contoh pekerja gig termasuklah pemandu Grab yang menghantar pelanggan ke destinasi pilihan, rakan kerja foodpanda yang menghantar makanan kepada pelanggan, pemberi khidmat pembersihan yang diupah melalui aplikasi mudah alih untuk membersihkan rumah dan pengasuh kanak-kanak yang dipilih melalui aplikasi yang memadankan pengasuh dengan ibu bapa.

Perkembangan ekonomi gig telah membuka peluang kepada orang ramai untuk menjana pendapatan di samping menikmati keanjalan waktu pekerjaan. Sifat ekonomi gig yang inklusif juga membolehkan penyertaan kumpulan yang mungkin dipinggirkan daripada bekerja dalam sektor ekonomi konvensional seperti wanita, belia, dan warga emas. Selain penjanaan peluang pekerjaan, perkembangan ekonomi gig turut mendatangkan impak positif terhadap pelbagai aspek kehidupan seharian kita, daripada pengangkutan dan santapan sehinggalah kepada urusan membeli barangan keperluan.

Kesihatan Kewangan Pekerja Gig

Memandangkan pentingnya sektor ekonomi gig dalam memacu pertubuhan ekonomi negara, Kumpulan Wang Pembangunan Modal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Capital Development Fund, UNCDF) telah menjalankan Tinjauan Kesihatan Kewangan Pekerja Gig2 yang meliputi empat platform gig di Malaysia (GoGet, FastJobs, Grab, dan foodpanda) pada Mac hingga Ogos 2020 untuk meneliti aspirasi dan kesihatan kewangan pekerja gig.

Secara spesifik, kajian tersebut bertujuan untuk menilai tahap keselamatan dan daya tahan kewangan serta kemampuan menikmati kebebasan kewangan di kalangan pekerja gig. Dapatan Kajian UNCDF menunjukkan bahawa waktu kerja yang fleksibel, autonomi dalam menentukan jadual kerja dan memilih pelanggan/kerja, serta penjanaan pendapatan tambahan menjadi daya tarikan utama ekonomi gig di kalangan tenaga kerja yang memilih untuk menyertai sektor ekonomitersebut. Namun, keanjalan yang ditawarkan ekonomi gig juga mengakibatkan pekerja gig berdepan dengan ketidaktentuan pendapatan dan tiadanya faedah pekerjaan, seperti cuti berbayar dan perlindungan kesihatan, yang menjadi dua punca utama kerisauan mereka.

Kajian tersebut juga mendedahkan pelbagai cabaran kesihatan kewangan yang dihadapi oleh pekerja gig. 80% pekerja gig tidak dapat atau merasa sukar untuk menyediakan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan. Dapatan tersebut lebih tinggi, berbanding Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan Bank Negara Malaysia pada tahun 2018 yang menunjukkan bahawa 52% rakyat Malaysia merasa sukar untuk menyediakan RM1,000 bagi menangani kecemasan.

Di samping itu, tiga daripada empat pekerja gig tidak mempunyai amalan menyimpan atau menabung hanya sekalisekala, dan satu daripada dua pekerja gig mempunyai baki simpanan bawah RM500. Tinjauan Tingkah Laku Kewangan 2018 oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit turut memperolehi hasil kajian yang serupa, di mana hanya 29% daripada dewasa bekerja dapat menyimpan lebih daripada 10% daripada pendapatan mereka. Menurut pekerja gig yang tidak mempunyai amalan menyimpan secara berkala, dua punca utama mereka gagal menyimpan adalah sumber pendapatan terhad (64%) dan terjadinya perbelanjaan tidak terjangka yang menghalang mereka daripada menabung (57%).

Dapatan kajian UNCDF juga menunjukkan bahawa walaupun majoriti pekerja gig menggunakan perkhidmatan kewangan peringkat asas seperti akaun simpanan biasa (84%), penggunaan produk kewangan yang lebih kompleks adalah terhad – insurans (25%), kad kredit (15%) dan produk pelaburan (10%). Selain itu, hanya 17% daripada pekerja gig mempunyai pinjaman dengan pihak bank, yang menandakan kesukaran akses pembiayaan di kalangan pekerja gig akibat daripada ketidakpastian pekerjaan mereka.

Perkhidmatan Kewangan Digital untuk Pekerja Gig

Memandangkan perkembangan trend pekerjaan dalam sektor ekonomi gig masih agak baru di Malaysia, aspek perlindungan sosial serta keselamatan kewangan yang lain untuk pekerja gig masih belum matang dan memerlukanperhatian khusus daripada semua pihak. Melalui kerjasama dengan beberapa rakan kongsi tempatan, UNCDF sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf kesihatan kewangan pekerja gig di Malaysia melalui penawaran produk simpanan, pinjaman, perlindungan insurans, pelaburan, dan lain-lain perkhidmatan kewangan yang disesuaikan dengan keperluan unik pekerja gig. Selain itu, panduan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan melalui perkhidmatan seperti skor kredit percuma juga akan disediakan. Inisiatif-inisiatif tersebut diharapkan dapat membantu pekerja gig untuk menyimpan dan mengembangkan wang serta mencapai matlamat kewangan mereka di samping dapat mengurus risiko kewangan secara efektif.

 

Sumber:United Nations Capital Development Fund (UNCDF)/Edisi 115/Jan 2021

Artikel Berkaitan

Lihat Juga
Close
Back to top button