Pelan PerbelanjaanPengguna

Kesan Kenaikan Tarif Elektrik Kepada Pengguna

Kerajaan baru-baru ini telahmerasionalisasikan tarif elektrik. Secara purata kenaikan tarif adalah sebanyak 7.12%. Walaupun sektor perindustrian dan perdagangan akan mengalami kenaikan purata 8.35%, pengguna domestik dengan penggunaan bulanan tidak melebihi 200 kilowatt per jam (kWj) tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif. Pengguna domestik akan terus menikmati kadar subsidi iaitu 21.8 sen/kWj. Seterusnya pengguna dengan penggunaan 300kWj sebulan dan ke bawah tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif. Dengan itu, sejumlah 75% pengguna domestik tidak akan mengalami kenaikan tarif.

Tambahan pula, rebat kepada pengguna  domestik yang menggunakan elektrik sehingga RM20 sebulan akan dikekalkan sehingga akhir tahun 2011.

Subsidi bagi golongan miskin ini perlu diteruskan sebagai tanggungjawab kerajaan kepada masyarakat yang miskin dan terpinggir.

Kenaikan tarif adalah sebahagian besar disebabkan kenaikan harga gas asli dan kos batu arang. Gas asli dan batu arang merupakan input utama kepada pembekalan bahan elektrik. Oleh itu, kenaikan kos input tersebut akan memberi kesan langsung kepada kos bekalan elektrik.

Kali terakhir semakan tarif asas dibuat ialah pada Jun 2006. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai kos termasuk kos infrastruktur dan kos modal telah meningkat. Ini merupakan sebahagian daripada faktor yang menyebabkan kepada rasionalisasi tarif elektrik.

Apakah kesan ini kepada pengguna?

Pertama, walaupun 75% pengguna tidak akan mengalami kenaikan tarif secara langsung, namun pengguna akan mengalami kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Apabila tarif elektrik naik, kos pengeluaran juga akan meningkat. Sejauhmana kesan kenaikan ini kepada kos barangan bergantung kepada kepentingan kos elektrik kepada pembuatan barang berkenaan. Jika kos elektrik merupakan komponen utama dalam kos pengeluaran, maka kesannya adalah besar.

Apabila kos pengeluaran naik, besar kemungkinan harga jualan barangan tersebut juga akan meningkat. Maka, pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk barangan tersebut. Kerajaan telah memberikan jaminan bahawa kesan kenaikan tarif ini kepada pengguna pada paras minimum.

Dalam pada itu, pengguna juga harus mengambil peluang ini untuk lebih memahami tentang tenaga dan harga tenaga. Secara am, harga elektrik bagi pengguna domestik dan industri adalah rendah kerana ia diberikan subsidi oleh kerajaan. Oleh yang demikian, harga yang rendah ini tidak memberi inisiatif kepada industri dan pengguna untuk menjimatkan penggunaan elektrik.

Kempen yang dijalankan oleh FOMCA untuk menggalakkan pengguna Malaysia mengambil tindakan-tindakan tertentu untuk menjimatkan elektrik dan air tidak mencapai kejayaan yang diharapkan. Mungkin bagi pengguna, jika air adalah percuma (di Selangor) dan tarif elektrik adalah murah, mengapa mereka harus mengurangkan penggunaannya.

Kini, sudah tiba masanya bagi pengguna mengubah sikap dan pendirian mereka. Lakukan penjimatan dalam penggunaan elektrik bagi menjimatkan bil elektrik mereka. Penjimatan elektrik memberikan faedah dari segi:

Wang – Dengan menjimatkan penggunaan elektrik, ia dapat mengurangkan bil elektrik. Sebagai contoh, jika enam juta rumah menggantikan 100W mentol tungsten (bulat) kepada lampu neon atau lampu flouresen kompak 20W, maka ia akan menyebabkan penjimatan elektrik yang mencecah hampir 1.56 bilion kW/j, iaitu bersamaan dengan hampir RM615 juta setahun.

Alam Sekitar – Penjanaan tenaga elektrik di Malaysia dihasilkan dengan gas, petroleum dan batu arang, iaitu sumber yang tidak boleh diperbaharui (non-renewable resource). Sumber-sumber ini menyebabkan berlakunya perubahan iklim dunia dan menghasilkan sisa buangan yang berbahaya. Justeru, dengan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, ia akan mengurangkan pencemaran dan menyelamatkan alam sekitar..

10 langkah untuk menjimatkan elektrik:

  1. Lakukan pengauditan tenaga elektrik di rumah. Ini boleh dilakukan dengan memeriksa penggunaan peralatan elektrik yang menggunakan banyak tenaga elektrik. Bil elektrik hendaklah konsisten dengan penggunaan peralatan elektrik.
  2. Matikan suis dan tanggalkan plag apabila peralatan elektrik tidak digunakan.
  3. Matikan suis lampu, kipas dan hawa dingin apabila tiada sesiapa di dalam bilik.
  4. Bertukar kepada lampu jenis fluoresen untuk pencahayaan dalaman.
  5. Peti sejuk – elakkan daripada membuka pintu peti sejuk dengan kerap kerana 30% udara sejuk akan keluar setiap kali pintu dibuka.
  6. Pendingin hawa – tetapkan suhu pendingin hawa kepada 23 – 26 darjah C.
  7. Beli pendingin hawa yang sesuai saiz bilik kerana ia akan membantu mengelakkan pembaziran tenaga.
  8. Mesin basuh – Jika anda kerap menggunakan mesin basuh, dicadangkan membeli mesin basuh jenis muatan hadapan.
  9. Komputer – Elakkan penggunaan “screen saver” dan matikan suis monitor jika tidak digunakan. 10. Seterika – setiap kali menggosok pakaian, hendaklah dalam jumlah yang banyak.

Sumber : FOMCA/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 13/Mei 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button