Akta dan PerundanganPelan PerbelanjaanTip dan Panduan

Kerosakan Dikenakan Bayaran Walaupun Masih Dalam Tempoh Waranti

Saya telah membeli sebuah periuk nasi elektrik. Selepas dua kali menggunakannya, periuk tersebut gagal berfungsi. Oleh sebab periuk nasi elektrik tersebut masih dalam tempoh waranti, saya telah menghantar semula ke kedai untuk dibaiki.

Sebulan kemudian, periuk nasi tersebut kembali rosak. Sekali lagi saya menghantar semula ke kedai untuk dibaiki. Namun kali ini, pekerja kedai tersebut meminta bayaran sebanyak RM150 sebagai kos pembaikan walaupun tempoh waranti masih ada. Apakah hak saya sebagai seorang pengguna dalam hal ini?

Waranti / Gerenti

Satu jaminan yang diberikan oleh pengeluar atau syarikat kepada pembeli untuk membaiki atau menggantikan barangan yang rosak atau cacat dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang caj dikenakan kepada pembeli.

Seksyen 32 Akta Perlindungan Pengguna 1999, memperuntukkan bahawa barang yang dibekalkan kepada pengguna mempunyai gerenti tersirat, iaitu barang itu adalah daripada kualiti yang boleh diterima dan selamat untuk digunakan.

Seksyen 41 (1) (a) dan 46 pula menyatakan, bagi barang yang gagal mematuhi gerenti, pembekal boleh:

  1. membaiki barang, jika kegagalan itu tidak berkaitan;
  2. memulihkan apa-apa kecacatan hak milik, jika kegagalan itu berkaitan dengan hak milik;
  3. menggantikan barang itu dengan barang yang serupa jenisnya; atau
  4. memberikan bayaran balik apa-apa wang yang telah dibayar atau balasan lain yang telah diberikan oleh pengguna berkenaan dengan barang itu jika pembekal tidak dapat dengan munasabahnya dikehendaki membaiki atau menggantikan barang itu atau memulihkan apa-apa kecacatan hak milik.

Berdasarkan aduan yang dikemukakan, anda berhak untuk meminta wang dipulangkan atau menggantikan barang tersebut jika barang tersebut mengalami masalah kerosakan yang sama secara berulang-ulang.

Biasanya pihak kedai akan membaiki kerosakan pada periuk nasi elektrik tersebut. Sekiranya kerosakan itu tidak boleh dibaiki, barulah mereka akan menggantikan periuk nasi berkenaan dengan periuk nasi yang baharu.

Menurut undang-undang di Malaysia, semua produk pengguna mempunyai jaminan secara automatik. Jaminan ini dikenali sebagai gerenti tersirat. Ia bermaksud semua produk pengguna yang dijual di negara ini perlu mempunyai kualiti yang berpatutan. Pengeluar dan pengedar perlu memastikan produk yang dijual berkualiti dan boleh digunakan pada jangka masa yang munasabah.

Sekiranya pihak kedai menafikan hak anda untuk menuntut pembaikan atau penggantian, anda boleh membuat aduan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) atau memfailkan kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membuat tuntutan. Anda perlu melampirkan bukti pembelian (resit / kad waranti) apabila membuat tuntutan tersebut. Maklumat lanjut mengenai TTPM boleh dilayari di pautan https://tribunal.kpdnkk.gov.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 99/Julai 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button