PenggunaPerancangan Kewangan

Kereta Baharu Vs Kereta Terpakai?

Kereta telah menjadi suatu keperluan untuk semua orang pada masa ini, terutama bagi mereka yang mempunyai keluarga. Ramai pengguna muda yang teruja untuk membeli kereta sebaik sahaja mendapat pekerjaan. Namun begitu, adakah anda pernah memikirkan sama ada anda perlu membeli kereta baharu atau kereta terpakai?

Keputusan untuk membeli kereta ini wajar ditimbangkan dengan sebaiknya. Tidak perlu terlalu ghairah apabila melihat model kereta keluaran baharu tanpa memikirkan komitmen yang bakal ditanggung kelak.

Berikut ialah langkah-langkah yang perlu diambil sebelum membuat keputusan membeli kereta:-

Langkah 1: Baharu vs Terpakai

Persoalan yang perlu difikirkan adalah yang mana satu paling ekonomi? Apakah kos-kos yang terlibat sekiranya anda membeli kereta baharu atau terpakai? Kereta terpakai mempunyai nilai yang tinggi sekiranya pemilik terdahulu kerap melakukan penyelenggaraan dan menjaga keadaan kenderaan dengan baik.

Anda boleh mempertimbang soalan-soalan berikut sebelum membuat keputusan:

  1. Adakah anda mempunyai beberapa model kereta dalam fikiran anda? Atau adakah anda tidak memilih mana-mana jenama atau jenis kenderaan yang ingin dibeli asalkan ia dalam keadaan yang baik?
  2. Berapakah bajet anda untuk menampung kos-kos dan pembiayaan kereta, sama ada kereta baharu
    atau terpakai?
  3. Apakah ciri-ciri dan aspek paling penting untuk anda memiliki kereta? (Warna, ruang yang selesa, penjimatan petrol dan sebagainya)
  4. Berapa lamakah anda bercadang untuk menggunakan kereta tersebut?

Apabila membuat keputusan, anda perlu melihat bajet serta kos-kos yang berkaitan, seperti petrol, bayaran letak kereta, kos penyelenggaraan, insurans dan paling penting adalah kemampuan anda untuk
membayar balik pinjaman. Sebaik sahaja anda telah memutuskan model kereta yang anda inginkan, langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan pinjaman kereta.

Langkah 2: Pinjaman Kereta

Kadar faedah bagi kereta terpakai biasanya lebih tinggi berbanding kereta baharu. Anda perlu membuat kajian terhadap kadar faedah yang ditawarkan oleh pihak bank. Bandingkan juga dengan tempoh pinjaman yang ingin diambil. Sesetengah syarikat kereta menjalinkan kerjasama dengan bank-bank untuk menawarkan kadar faedah yang terbaik bagi pinjaman kereta baharu. Gunakan hak anda untuk membuat pilihan.

Langkah 3: Bayaran pendahuluan

Kebiasaannya pembayaran pendahuluan untuk kedua-dua kenderaan baharu dan terpakai adalah sebanyak 10%. Namun begitu, terdapat pengeluar kereta yang mengecualikan pendahuluan ini. Perniagaan kereta terpakai tidak menawarkan pinjaman penuh kerana pihak bank tidak mahu menanggung risiko yang besar pada kereta terpakai. Hal ini disebabkan kontrak sewa beli sangat berisiko dan ada beberapa bank yang tidak menyediakan pinjaman untuk kereta terpakai. Kereta terpakaitidak mempunyai jaminan. Oleh itu, anda perlu memastikan kenderaan terpakai tersebut mendapat surat kebenaran dan telah menjalani pemeriksaan PUSPAKOM.

Beberapa syarikat perniagaan menawarkan tiada bayaran pendahuluan, dan pinjaman meliputi sehingga 90% daripada kos untuk membeli kereta baharu. Walaupun ia nampak seperti satu kelebihan, namun anda perlu bijak merancang. Kereta baharu juga dijamin waranti dan boleh mengurangkan kos penyelenggaraan anda. Walau bagaimanapun, apabila memiliki kenderaan baharu, sebaik-baiknya anda tidak menjualnya dalam tempoh masa terdekat. Hal ini disebabkan kereta baharu akan mengalami susut nilai sekurang-kurangnya 10% pada tahun pertama.

Berikut adalah jadual pengiraan sewa beli:-

Sumber: Buku Power, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Langkah 4: Kos susut nilai

Salah satu kelemahan utama membeli sebuah kereta baharu adalah ia akan mengalami susut nilai lebih tinggi dalam beberapa tahun pertama. Susut nilai tetap akan berlaku walaupun anda seorang yang sangat teliti dan cermat dalam penjagaan kereta.

Contoh carta kos bagi sebuah kereta tempatan, kereta import dan terpakai serta jumlah susut nilai dalam tempoh 5 hingga 6 tahun.

Pengiraan kos bagi kereta tempatan baharu dan terpakai

Pengiraan kos bagi kereta import baharu dan terpakai

*Harga diperoleh dalam talian dan adalah tepat pada masa penyelidikan dilakukan oleh Michelle Brohier, penulis Ringgitplus. Harga kereta terpakai berbeza berdasarkan pengedar dan keadaan kereta

Merujuk jadual di atas, kedua-dua kereta mengalami susut nilai mengikut peratusan yang berbeza. Anda perlu bijak membuat keputusan setelah meneliti carta di atas.

Sebagai panduan, anda boleh merujuk perbandingan kebaikan dan keburukan membeli kereta baharu dan terpakai:-

Kereta baharu

Kebaikan

  • Ciri
    • Lebih banyak pilihan untuk memenuhi keperluan anda (jenama, warna, spesifikasi).
    • Teknologi terkini (hybrid).
    • Keselamatan (penggera, ABS, beg udara).
  • Kebolehpercayaan
    • Tidak perlu bimbang tentang sejarah latar belakang.
    • Kos penyelenggaraan rendah.
    • Tempoh jaminan lebih panjang.
  • Kewangan
    • Mudah diperoleh.
    • Margin pembiayaan lebih tinggi.
    • Kadar faedah lebih rendah.
    • Tempoh pinjaman lebih panjang.

Keburukan

  • Harga lebih tinggi.
  • Susut nilai tinggi – sekurangnya 10 % dalam tahun pertama. Oleh itu kerugian lebih tinggi akan dialami apabila kenderaan dijual semula.
  • Premium insurans lebih tinggi.
  • Kos kewangan lebih tinggi sepanjang tempoh pinjaman.

Kereta Terpakai

Kebaikan

  • Biasanya lebih murah.
  • Lebih mampu milik.
  • Boleh dibeli secara tunai dan memudahkan pengguna.
  • Premium insurans lebih rendah.

Keburukan

  • Ciri
    • Kurang pilihan.
  • Kebolehpercayaan
    • Sejarah latar belakang yang tidak pasti.
    • Kos penyelenggaraan lebih tinggi.
    • Tanpa jaminan.
    • Pemeriksaan PUSPAKOM.
  • Kewangan
    • Mungkin agak sukar diperoleh.
    • Margin pembiayaan lebih rendah.
    • Kadar faedah lebih tinggi.
    • Tempoh pinjaman lebih singkat.

Sumber: Buku Power, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Yang manakah pilihan anda?

Pilihan terletak di tangan anda. Kedua-dua kereta baharu dan terpakai mempunyai pro dan kontra seperti yang ditunjukkan sebelum ini. Segelintir daripada anda lebih menyukai kereta lama daripada yang baharu. Buat keputusan berdasarkan bajet anda. Paling penting, anda mampu membuat bayaran balik pinjaman.

Sumber: Olahan daripada artikel Michelle Brohier, penulis Ringgitplus dan Buku Power, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 54/Oktober 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button