Pengguna

Kepentingan Surat Perjanjian untuk Membuat Tebus Rugi

Akta Perlindungan Pengguna dan hak asas pengguna menyatakan bahawa pengguna mempunyai hak untuk membuat tuntutan sekiranya berlaku sebarang perkara yang mencabuli hak mereka. Namun begitu, terdapat sesetengah pengguna gagal untuk mempertahan hak mereka kerana kekurangan bukti untuk mengukuhkan aduan mereka. NCCC sering menerima aduan yang menunjukkan bahawa hak pengadu telah dicabuli, namun tindakan sukar diambil kerana bukti yang diperoleh tidak cukup untuk menyokong aduan tersebut.

Justeru itu, penting bagi pengguna untuk menyimpan setiap bukti transaksi, seperti surat perjanjian, resit pembelian, slip pembayaran dan lain-lain. Pengguna juga dinasihatkan supaya bertegas untuk mendapatkan salinan dokumen/bukti bagi tujuan simpanan mereka sebagai persediaan sekiranya tuntutan akan dilakukan kelak. Bagi transaksi yang melibatkan pembayaran wang, pengguna disarankan supaya menyimpan slip-slip bayaran yang telah dibuat. Ini bagi mengelakkan penjual daripada mengatakan bahawa tiada bayaran yang dibuat dan kemudian menyenaraihitamkan nama pengguna walaupun pada hakikatnya bayaran telah dibuat.

NCCC menerima aduan tentang pengguna yang telah menerima maklumat atau persetujuan yang tidak terkandung di dalam terma dan syarat pembelian. Dalam situasi begini, pengguna dinasihatkan supaya meminta wakil penjual tersebut menulis perkara yang tidak dinyatakan di dalam kontrak tersebut di atas lampiran dokumen yang baru. Persetujuan itu juga perlu ditandatangani oleh wakil tersebut. Perkara ini sangat penting kerana, penjual perlu mengotakan janji yang diberikan oleh wakil mereka semasa transaksi komersial yang dibuat dengan pengguna. Ini bermakna akan terdapat dua jenis dokumen, iaitu perjanjian asal dan perjanjian tambahan.

Saksi juga memainkan peranan yang penting sewaktu proses perbincangan dilakukan. Apabila tiada dokumen sampingan direkodkan, saksi boleh digunakan untuk menyokong kehadiran perkaraperkara yang tidak dinyatakan di dalam perjanjian, lebih-lebih lagi jika tuntutan tersebut memerlukan proses mahkamah. Selain itu, perakam suara juga boleh digunakan jika tiada saksi turut hadir sewaktu perbincangan tersebut dijalankan.

Kesimpulannya, bukti atau rekod merupakan bahan utama yang diperlukan apabila tuntutan dibuat kerana ia dapat memudahkan proses tebus rugi.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 48/April 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button