Skip to toolbar
Pelan PerbelanjaanPengguna

Kepentingan Skor Kredit Untuk Urusan Kewangan Anda

Secara amnya, skor kredit berfungsi sebagai petunjuk mengenai keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman kepada institusi kewangan. Ia menilai sejarah kewangan anda supaya institusi kewangan boleh menentukan jika mereka ingin berurusan dengan anda. Jika anda menyediakan resume untuk memohon pekerjaan, begitu jugalah apabila anda ingin memohon pinjaman. Anda juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan kewangan yang lengkap.

Skor kredit yang baik akan memberi anda pelbagai pilihan pembiayaan kerana lebih banyak bank yang ingin berurusan dengan anda. Selain itu, bank-bank ini juga mungkin menawarkan pelan pembayaran balik yang lebih baik. Skor kredit yang kurang memuaskan mungkin boleh menyebabkan bank enggan memberikan pinjaman kepada anda.

Anda mungkin tidak menyedarinya, tetapi skor kredit anda telah mempengaruhi kehidupan anda, terutamanya keputusan kewangan anda – lebih daripada apa yang anda fikirkan.

Bagaimanakah Skor Kredit Ini Berfungsi?

Skor kredit memberikan anda penarafan berdasarkan bilangan pinjaman dan kad kredit yang anda telah ambil, serta konsistensi dalam pembayaran balik pinjaman.

Selain memberikan skor anda, laporan ini juga memberi analisis mendalam mengenai semua hutang dan tabiat pembayaran balik anda. Oleh itu, anda boleh menilai tabiat pembayaran balik pinjaman anda sendiri, dan juga menyemak jika anda terlepas apa-apa bayaran penting yang akan memberi kesan dan menjejaskan skor anda. Laporan anda juga akan memberitahu anda jika terdapat sebarang tuntutan undang-undang aktif yang diambil terhadap anda. Jika anda beranggapan bahawa tiada sesiapa akan mengetahui bahawa anda gagal membuat bayaran bulanan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk menikmati percutian hujung minggu – anda salah.

Sejarah kredit anda disimpan dan dijejak oleh pangkalan data dimiliki Bank Negara Malaysia yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Dari sini, agensi pelaporan kredit seperti RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI), CTOS, dan Biro Kredit Malaysia dibenarkan mengakses maklumat ini, justeru dapat menjana skor kredit anda.

Apakah Yang Akan Menjejaskan Skor Kredit Saya?

Skor kredit mengambil kira aspek pinjaman seperti pinjaman pendidikan sebagai contoh, PTPTN, pinjaman kenderaan, kad kredit, ansuran bulanan sewa beli, pinjaman perumahan dan sebagainya.

Agensi penarafan kredit mempertimbangkan banyak perkara, seperti sejarah pembayaran kredit individu, campuran kredit dan jumlah pinjaman yang terhutang, tempoh sejarah kredit, permohonan kredit baharu dalam tempoh 12 bulan yang lepas, dan rekod prestasi undangundang.

Secara ringkas, selagi anda mengutamakan pembayaran balik bulanan anda pada setiap bulan, anda akan mempunyai skor yang lebih tinggi. Ini bermakna sebaik sahaja anda mendapat gaji, anda akan terus membayar pinjaman pendidikan, pinjaman kenderaan, hutang kad kredit, dan hutang lain anda kepada institusi pemberi pinjaman.

Bagaimana Jika Saya Abaikan Skor Kredit?

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, skor kredit anda mempengaruhi kehidupan anda dalam pelbagai cara, sama ada anda menyedarinya atau tidak. Sekiranya anda tidak menjaga kesihatan kewangan anda, ia akan mendatangkanbanyak masalah kepada anda pada masa akan datang. Sebagai contoh, ia mungkin menjejaskan peluang untuk memiliki rumah impian anda kerana permohonan anda untuk pembiayaan rumah mungkin akan ditolak.

Ini juga boleh menjejaskan hubungan anda dengan pasangan anda kerana masalah tersebut mungkin disebabkan oleh salah seorang daripada anda.

Jika anda mempunyai skor kredit yang kurang memuaskan, ia juga mungkin menjejaskan prospek pekerjaan anda. Pada amnya, majikan tidak menyemak skor kredit bakal pekerja mereka. Namun demikian, jika pekerjaan tersebut berkait rapat dengan bidang kewangan, atau jika majikan ingin memberi anda tanggungjawab berkaitan hal-ehwal kewangan, skor kredit anda akan mendedahkan sikap anda terhadap pengurusan kewangan dan mempengaruhi keputusan bakal majikan untuk mengambil anda bekerja.

Sumber: www.imoney.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 110/Jun 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button