Pelan Perlindungan

Kepentingan Insurans Perjalanan Ketika Melancong

 

Perlindungan perjalanan sudah menjadi satu keperluan apabila anda ke luar negara, sama ada perjalanan untuk melancong, perniagaan dan sebagainya. Pengambilan skim perlindungan insurans adalah penting kerana ia menyediakan perlindungan terhadap kehilangan bagasi, pembatalan penerbangan, masalah hotel, belanja perubatan dan lain-lain.

Kebanyakan agensi pelancongan dan syarikat penerbangan akan menawarkan pelbagai pilihan insurans, tapi adakah ia pilihan yang terbaik mengikut perjalanan dan keperluan anda?

Anda mempunyai hak untuk mengetahui apa yang dilindungi dan tidak dilindungi dalam skim perlindungan insurans perjalanan tersebut. Kalau anda kerap bercuti (beberapa kali dalam setahun), polisi insurans tahunan adalah lebih baik daripada polisi individu.

Kebanyakan insurans perjalanan menawarkan perlindungan untuk kehilangan bagasi, kelewatan perjalanan, pembatalan penerbangan, perbelanjaan perubatan dan pemindahan dalam situasi kecemasan.

Satu aspek penting yang perlu dipertimbangkan adalah kos perubatan di destinasi anda. Kos perubatan di Amerika Syarikat, Jepun, Timur Tengah, beberapa bahagian di Eropah, Amerika Selatan dan Afrika adalah tinggi. Jadi, anda perlu memastikan yang anda mempunyai perlindungan perubatan yang komprehensif dalam polisi insurans anda. Sebaliknya, kalau anda membuat perjalanan ke Thailand, rawatan perubatan adalah antara yang termurah di dunia. Oleh yang demikian anda boleh membuat perjalanan dengan perlindungan perubatan yang lebih kecil. Semuanya bergantung kepada keperluan anda.

Apakah yang anda perlu pertimbangkan sebelum membuat pilihan? Satu perkara yang perlu dipertimbangkan ialah sama ada syarikat insurans tersebut mempunyai talian kecemasan yang sentiasa bersedia menerima aduan daripada semua tempat yang anda jejaki.

Talian ini perlu beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.

Individu yang kerap melancong tentu pernah merasa kehilangan bagasi walaupun sekali. Apabila perkara ini berlaku, anda perlu hubungi kaunter aduan syarikat penerbangan yang biasanya terletak berdekatan dengan karusel bagasi dan maklumkan mereka tentang kehilangan tersebut. Banyak syarikat penerbangan yang akan membayar pampasan serta-merta terutamanya kalau anda memerlukan pakaian dan barang keperluan harian.

Tapi, nilai pampasan biasanya tidak tinggi. Ia bergantung pada kelas penerbangan dan kekerapan anda bersama-sama dengan syarikat penerbangan tersebut.

Kalau anda tidak mendapat semula bagasi anda, syarikat insurans biasanya menyediakan jumlah pampasan yang bersesuaian.

Kalau anda mengembara dengan kamera, peralatan video, komputer riba dan sebagainya, dapatkan maklumat terperinci daripada syarikat insurans tentang kadar jumlah pampasan untuk peralatan ini sekiranya terjadi kes kehilangan atau kecurian.

Kalau anda merancang untuk melakukan aktiviti berisiko tinggi semasa perjalanan anda seperti, terjun lelabah (bungee jumping), terjun udara (sky diving), rakit redah jeram (white water rafting), atau aktiviti kurang berisiko seperti menyelam, luncur air (water skiing), luncur jet (jet ski) dan sebagainya, pastikan bertanya sama aktiviti ini termasuk dalam perlindungan perjalanan.

Perlindungan perubatan dalam insurans adalah yang paling penting. Pastikan anda mengetahui jenis kemudahan rawatan yang dilindungi oleh polisi insurans anda di negara yang akan anda lawati dan cara membuat tuntutan sekiranya peristiwa tidak diingini berlaku.

Contohnya,ada syarikat insurans yang menawarkan perkhidmatan menghantar nombor saudara terdekat anda sekiranya anda dimasukkan ke hospital.

Akhir sekali, dengan keadaan dunia yang tidak stabil sekarang ini, anda juga perlu bertanya bagaimana syarikat insurans anda akan melindungi anda dalam kes keganasan, penculikan dan sebagainya.

Pastikan perlindungan insurans anda membuat pembayaran balik kalau anda membatalkan perjalanan disebabkan peperangan atau keganasan di negara yang anda lawati.

Insurans pelancongan sepatutnya menyebabkan anda berasa tenang semasa bercuti. Walaupun proses memilih polisi yang betul agak merumitkan, ia akan memberikan anda rasa dilindungi sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini semasa bercuti.

Selamat bercuti dengan tenang!

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button