Skip to toolbar
Pelan PelaburanPelan Pendapatan

Kelebihan Pelaburan Dalam Hartanah

Ramai yang menganggap bahawa pelaburan hartanah hanya untuk orang kaya. Pelaburan tersebut memerlukan wang deposit yang banyak, kajian yang menyeluruh dan penyediaan dokumen sokongan yang pelbagai.

Dalam masa yang sama, ramai yang berminat untuk melabur dalam bidang hartanah, tetapi tidak pasti sama ada pelaburan ini menguntungkan atau tidak.

Jika anda berminat untuk melabur dalam bidang hartanah, berikut adalah beberapa kelebihan yang akan anda perolehi.

Pendapatan Pasif

Pendapatan daripada pelaburan hartanah boleh diterima melalui dua sumber utama, iaitu sewa dan kenaikan harga rumah. Jika kadar sewa yang anda letakkan melebihi bayaran kepada bank serta kos-kos lain, lebihan tunai tersebut boleh dijadikan sebagai pendapatan pasif anda pada setiap bulan.

Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana jika kadar sewa yang diterima lebih rendah daripada bayaran kepada bank?

Bagaimana pula jika tiada siapa yang ingin menyewa rumah tersebut? Sebab itu dalam pelaburan hartanah anda perlu melakukan kajian yang menyeluruh sebelum buat keputusan untuk membeli rumah tersebut.

Selain pendapatan yang anda terima daripada sewa rumah setiap bulan, anda juga boleh mendapat keuntungan melalui kenaikan harga rumah. Setiap tahun, harga rumah terus naik bergantung pada lokasi rumah tersebut. Rumah yang berada di kawasan yang terkenal dan mempunyai permintaan yang tinggi seperti di kawasan Lembah Klang, lazimnya mengalami kenaikan harga rumah yang sangat tinggi.

Aset

Pemilikan aset atau rumah secara amnya memang satu perkara yang sukar untuk dimiliki jika tiada ilmu tentang pemilikan tersebut. Tujuan utama membeli rumah biasanya adalah sebagai tempat perlindungan.

Masih ramai tidak mampu memiliki rumah sendiri dan terpaksa menyewa untuk terus hidup. Aset yang anda miliki hari ini bukan sahaja boleh digunakan untuk keperluan anda, malah generasi akan datang juga akan mendapat manfaat.

Dengan kenaikan harga rumah yang terlalu tinggi, generasi akan datang mungkin akan menghadapi masalah untuk memiliki rumah sendiri. Oleh itu, anda seharusnya memiliki lebih banyak aset yang mampu milik untuk dijadikan sebagai aset generasi akan datang.

Selain itu, dengan memiliki aset sendiri, anda sebagai seorang suami juga telah menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak jika sesuatu berlaku kepada diri anda. Mereka tidak perlu lagi menyewa jika rumah tersebut telah dibayar menggunakan pampasan takaful pinjaman perumahan.

Melabur Menggunakan Teknik Leveraj

Satu kelebihan melabur dalam hartanah ialah anda hanya perlu menyediakan 10% daripada harga rumah dan selebihnya, iaitu 90% akan dibayar oleh pihak bank. Teknik ini dikenali sebagai leveraj (leveraging).

Jika anda mempunyai RM50,000, anda mungkin boleh membeli dua buah rumah yang bernilai RM250,000 setiap satu. Lebih menarik lagi, dalam pelaburan hartanah, anda boleh menggunakan simpanan daripada Akaun 2 KWSP untuk dijadikan deposit rumah.

Selain itu, kos pemilikan aset tersebut juga akan dibayar oleh orang lain, seperti penyewa rumah, jika kadar sewa rumah tersebut melebihi bayaran bulanan kepada pihak bank.

Jaringan

Pelaburan hartanah juga membolehkan anda mewujudkan jaringan dengan ramai orang yang terlibat secara langsung dalam pelaburan ini. Antara pihak yang terlibat seperti pegawai bank, ejen hartanah, peguam dan jurunilai.

Anda juga boleh berkenalan dengan pelabur hartanah lain yang mungkin mempunyai teknik dan cara pelaburan mereka sendiri. Melalui jaringan ini, anda dapat belajar banyak perkara daripada orang lain.

Jaringan ini sangat penting untuk membantu anda untuk lebih berjaya dalam pelaburan hartanah. Anda lebih mudah untuk mendapat rumah yang lebih murah, lebih mudah untuk mendapat kelulusan pinjaman perumahan, dan lebih penting lagi apabila proses jual beli rumah anda dapat diselesaikan dengan segera.

 

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 100/Ogos 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button