Pelan PerlindunganPengguna

Kekeliruan Mengenai Perlindungan Insurans Perubatan

Ramai yang tidak mengetahui apa yang sebenarnya dilindungi di bawah Insurans Hospital dan Pembedahan.

Polisi Insurans Hospital & Pembedahan (HSI) melindungi anda bagi perbelanjaan yang ditanggung semasa anda dimasukkan ke hospital disebabkan penyakit yang dilindungi atau disebabkan kemalangan. Antara perlindungan yang biasa ialah perbelanjaan penginapan dan rawatan di hospital, perbelanjaan pembedahan (bayaran pakar bedah dan kos yang berkaitan dengan pembedahan), perbelanjaan pakar perubatan dan ujian pesakit dalam wad. Terdapat juga polisi HSI yang menyertakan perlindungan luar negara, manfaat kematian akibat kemalangan dan ujian atau perundingan pesakit luar.

Pada umumnya, anda akan dilindungi sebagai pesakit hanya sekiranya anda dimasukkan ke wad. Walau bagaimanapun, polisi HSI juga melindungi anda bagi rawatan kecemasan pesakit luar akibat kemalangan. Selain itu, polisi HSI juga mempunyai manfaat “Pembedahan Harian” yang melindungi prosedur pembedahan yang tidak memerlukan anda bermalam di hospital, contohnya pembedahan katarak mata. Dengan manfaat ini, anda tidak perlu bermalam di hospital untuk layak menerima perlindungan dan ini merupakan penjimatan kos perubatan kepada anda.

Polisi HSI biasanya tidak melindungi sebarang caj kemasukan ke hospital atau rawatan yang berkaitan dengan kehamilan, kejanggalan kongenital, pembedahan kosmetik, rawatan pergigian yang tidak berkaitan dengan kemalangan, penyakit yang dijangkiti melalui hubungan kelamin, pemeriksaan kesihatan rutin dan penyakit berkaitan psikiatri.

Satu pengecualian yang biasa terdapat di bawah polisi HSI ialah keadaan atau penyakit sedia ada, yang wujud sebelum tarikh berkuat kuasa polisi HSI, yang anda sedang menerima rawatan atau menunjukkan gejalanya. Sebagai contoh, sekiranya anda pernah berjumpa doktor perubatan untuk sebarang rasa sakit atau rasa tidak selesa yang berkaitan dengan keadaan itu, ia akan dianggap sebagai gejala sesuatu penyakit tertentu. Oleh itu, penyakit tersebut akan dikecualikan daripada perlindungan polisi anda.

Terdapat juga beberapa penyakit tertentu yang tidak akan dilindungi, jika penyakit itu telah dirawat atau berlaku dalam tempoh tangguh 120 hari pertama dari bermulanya polisi anda, tanpa mengira sama ada anda mengetahuinya atau tidak.

Sebagai contoh, anda mungkin baru mengetahui bahawa anda mempunyai sista di dalam abdomen anda dua bulan selepas anda membeli polisi HSI dan dinasihatkan supaya membuangnya. Anda tidak akan dilindungi untuk prosedur ini kerana ia adalah salah satu daripada penyakit tertentu itu dan ia masih dalam tempoh 120 hari.

Oleh itu, anda perlu menyemak senarai penyakit tertentu ini bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau salah faham pada masa akan datang. Sila ambil perhatian bahawa anda tidak layak membuat sebarang tuntutan yang timbul daripada sebarang keadaan perubatan atau fizikal dalam tempoh 30 hari pertama perlindungan, kecuali kecederaan akibat kemalangan, tanpa mengira sama ada anda mengetahui atau tidak tentang keadaan itu.

Walau bagaimanapun, ini tidak pula bermakna anda dilindungi secara automatik selepas 30 hari pertama itu kerana anda masih lagi tertakluk kepada tempoh tangguh 120 hari bagi penyakit tertentu dan pengecualian keadaan / penyakit sedia ada.

Adalah amat penting untuk anda mendedahkan semua maklumat perubatan anda dengan betul semasa permohonan polisi. Syarikat insurans berhak menolak tuntutan perubatan jika mereka mempunyai bukti bahawa orang yang diinsuranskan tidak mendedahkan sebarang maklumat penting pada masa membeli polisi.

Kebanyakan polisi HSI sekarang ini melanjutkan perlindungannya hingga umur 80 tahun dan sesetengahnya hingga umur 100 tahun. Walau bagaimanapun, sentiasa terdapat umur penyertaan terakhir dan pastikan anda menyertai pelan itu sebelum umur yang ditetapkan itu dan jangan sesekali membiarkannya luput. Jika tidak, anda tidak akan mempunyai perlindungan pada saat anda paling memerlukannya.

Selain itu, walaupun polisi HSI biasanya melindungi rawatan luar negara, manfaatnya akan terhad kepada caj munasabah, biasa diamalkan dan perlu dari segi perubatan bagi rawatan yang sama di Malaysia, dan tidak termasuk kos pengangkutan ke tempat rawatan.

Sebagai contoh, katakan kos pembedahan apendisitis yang biasa di dalam negara ialah sebanyak RM2,000, tetapi anda perlu menjalani pembedahan di Singapura yang menelan belanja S$3,000. Jadi, anda akan dibayar kembali sebanyak RM2,000.

Di samping itu, jika anda tinggal atau mengembara keluar Malaysia selama lebih daripada 90 hari berturut-turut, manfaat tidak akan dibayar bagi rawatan perubatan di luar Malaysia. Oleh itu, jika anda tidak merancang untuk pulang ke Malaysia selama lebih daripada 90 hari berturut-turut, anda mungkin perlu mendapatkan pelan HSI yang lain di negara yang anda tinggal.

Tetapi sebaik sahaja anda kembali ke Malaysia, perlindungan HSI akan bermula semula sehinggalah anda keluar dari Malaysia sekali lagi selama lebih daripada 90 hari berturut-turut.

Artikel berikut disediakan sebagai nasihat sematamata. Untuk butir-butir khusus, sila dapatkan nasihat daripada profesional insurans dengan menghubungi mana-mana syarikat insurans hayat yang disenaraikan dalam laman sesawang rasmi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di www.liam.org.my.

Sumber : Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM)/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 26/Jun 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button